Pages

Showing posts with label Fikrah. Show all posts
Showing posts with label Fikrah. Show all posts

Saturday, July 14, 2012

Wasatiyyah Dalam Orientasi Keuntungan

Secara kebetulan, pada tengahari rabu lepas saya berkesempatan 'lunch' di salah sebuah kafetaria di mahallah Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa (PMUIAM), di Seksyen 17 Petaling Jaya, bersama-sama dengan seorang sahabat yang berkhidmat di situ.

Kebetulan juga, waktu itu 'peak hour', maka ramailah adik2 mahasiswa/i berselerakkan untuk mengalas perut masing-masing...dipendekkan cerita, secara berseloroh dengan sahabat saya, 'kalau macam ni punya ramai, banyaklah untung tuan punya kantin ni'...namun, jawapan sahabat saya itu adalah sebaliknya, katanya,'tuan kantin seringkali merungut tak untung'.

Dalam perjalanan pulang ke pejabat, saya terfikir sendirian dan terkait pula dengan beberapa situasi ataupun insiden yang serupa, yang seringkali sampai ke halwa telinga, apabila ada rakan-rakan yang berkhidmat di sektor swasta, seringkali 'mengomel' sebagai tanda 'tidak puas hati', yang pada tahun ini 'increment' dan 'bonus' agak tak berbaloi dengan kerja keras sepanjang tahun kewangan yang lalu...sandaran alasannya, 'company' tak untung seperti tahun-tahun sebelumnya dan sebagai persediaan untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan anjakan pencapaian ekonomi yang tidak baik pada tahun berikutnya.

Dalam hal ini, jika ditelusuri frasa 'tak untung' seringkali dijadikan modal dikalangan pemilik perniagaan, baik yang berskala kecil-kecilan, apatah lagi yang sudah berstatus korporat, konglomerat...dan dengan bermacam-macam pangilan lagi...ini untuk memastikan keuntungan sentiasa berada pada tahap yang diinginkan atau optimum...sehinggakan dalam keadaan tertentu, sekiranya untung yang diperolehi tidak menepati 'budget', maka akan diistilahkan keadaan tahun kewangan perniagaan mereka sebagai 'tidak untung', dan lebih dahsyat lagi mengistilahkannya sebagai 'rugi'...

Dengan falsafah keuntungan sebegini rupa, kadang-kadang ia menjerat pemilik perniagaan untuk tidak menunaikan hak yang sepatutnya terutama kepada para pekerjanya...para pelangannya, dan seterusnya kepada masyarakat sekeliling. 

Dalam konteks pekerja contohnya, antara hak yang sepatutnya seperti membayar kadar upah (gaji) yang menepati keperluan semasa, penyediaan manafaat-manafaat asas seperti perubatan percuma, pemberian jumlah cuti tahunan yang bersesuaian, suasana kerja yang kondusif. Begitu juga dengan peluang kenaikan pangkat, ia bukan semata-mata dinilai kepada jumlah keuntungan yang mampu dibawa ke dalam 'uncang' perniagaan, ia juga perlu terkait dengan faktor kemanusiaan dan ketuhanan, yang semestinya tidak dapat diterjemahkan dalam ke dalam bentuk angka, yang semestinya memerlukan daya fikir dan tadabbur majikan itu sendiri untuk menilainya. Implikasinya cukup besar jika hak-hak sebegini dapat ditunaikan, antaranya pekerja-pekerja yang benar-benar berpotensi dan berbakat akan terus menumpahkan taat setia dan bekerja dengan pencapaian yang terbaik. Ini sudah tentu akan meningkatkatan tahap kecekapan yang seterusnya menyumbang ke arah peningkatan keberhasilan perniagaan yang lebih baik pada masa yang akan datang.

Manakala, dalam konteks pelanggan, kadar harga barangan atau perkhidmatan yang dijual janganlah terlalu 'mencekik darah', apatah lagi jika kualiti turut terabai. Prinsip untuk memaksimakan keuntungan pada kos yang paling minima, bukanlah sesuatu yang sepatutnya dijadikan asas kepada gerak laku sesuatu perniagaan. Dalam situasi ini saya berpengalaman menjamah nasi beriani di gerai tepi jalan ketika ' peak hour' solat Jumaat di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur dengan harga RM17 sepinggan...menu yang sama sebenarnya boleh diperolehi dengan harga yang jauh lebih murah, tidak melebihi RM10. Apabila diselidik, rupa-rupanya gerai tersebut hanya dibuka pada hari Jumaat...dan secara berseloroh , barangkali harga tersebut dah ' factor in' keuntungan hari-hari lain yang gerainya ditutup.

Begitu juga dalam konteks masyarakat sekeliling, perniagaan perlu lebih sensitif terhadap keperluan serta kehendak masyarakat, dengan bukan hanya menjual barang dan perkhidmatan yang mempunyai permintaan dan keuntungan yang tinggi di dalam pasaran. Dalam hal ini, perlu ada sedikit sebanyak tanggungjawab sosial dengan turut menjual barang dan perkhidmatan tersebut, walaupun margin keuntungan agak begitu kecil. Sebagai contoh, kawasan yang tidak mempunyai nilai ekonomi yang tinggi, tetapi tinggi nilai sosialnya akan menghadapi masalah dalam pembinaan lebuhraya berbanding dengan kawasan yang tinggi nilai ekonominya...kerana pihak-pihak yang berwajib tidak sanggup menerima keberhasilan yang minimum, sedangkan kos yang dikeluarkan begitu besar. Inilah antara realiti yang berlaku kepada mereka yang seringkali berulang alik daripada Kuala Lumpur ke Kota Bharu, melalui Gua Musang.

Begitu juga, perniagaan tidak seharusnya menjadikan orientasi keuntungan sehinggan terabainya sensitiviti masyarakat terutamanya yang terkait dengan agama, bangsa dan budaya. Sebagai contoh, dua tiga hari lepas saya ada mengunjungi sebuah kedai buku di salah sebuah pusat membeli belah di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur, apa yang saya dapati promosi jualan aidilfitri sudah mulai rancak, sedangkan kita masih belum melangkah ke bulan Ramadhan...

Asasnya, tidak salah untuk agresif dalam perniagaan. Sedangkan, Islam sendiri menuntut kita untuk meraih keuntungan dengan sebanyak mungkin melalui perniagaan, sehingga ia diiktiraf sebagai 9/10 daripada sumber rezeki kehidupan. Namun perlu disedari, keuntungan dalam bentuk RM bukanlah segala-galanya. Perlu ada beberapa peratusan tertentu nilai keuntungan yang berupa keberkatan keberhasilan rezeki, yang secara tanpa disedari ia akan menyumbang kepada kualiti kehidupan yang lebih baik.

Untuk berada pada kualiti kehidupan yang lebih baik secara hakiki, minda wasatiyyah dalam orientasi keuntungan perniagaan perlu dijadikan asas, kerana ia menjurus kepada implikasi keadilan kepada semua pihak, yang seterusnya menyumbang kepada implikasi keberhasilan yang lebih baik kepada perniagaan secara konsisten secara jangka panjang, bukan setakat 'untung singkat' dalam terjemahan bentuk RM dan ketenangan hidup.

Wassalam.

Abdul Hadi B. Jusoh,
Kajang, 3.30pagi.


Saturday, July 7, 2012

Detik Yang Berlalu...

Alhamdulillah, setinggi-tinggi syukur ke hadrat Ilahi atas ruang dan kesempatan yang terus diberikan kepada kita untuk menghirup udara segar dipagi sabtu sya'ban ini, yang makin menghampiri ke penghujungnya...dan harapan serta doa agar kita sempat bertemu dengan Ramadhan kali ini, yang barangkali inilah Ramadhan yang terakhir buat kita semua...
Alhamdulillah yang tidak putus-putus secara tulusnya kepada Tuhan yang memiliki dan menetapkan segala-galanya, pada saat segelintir daripada kita yang begitu angkuh...sombong dengan kuasa dan kedudukan yang dimiliki dengan melakukan pelbagai kerosakan di bumi ALLAH ini...tetapi, alhamdulillah kita masih diberikan kekuatan...kesabaran untuk terus mempertahankan sesuatu yang hak pada kedudukannya...alhamdulillah, kerana ganjaran bagi mereka yang menjadi penyebab...pendokong...penyokong kepada kerosakan, kepada bumi dan seisinya adalah amat perit di Akhirat kelak, walaupun di pentas dunia pada hari ini, mereka diarak...disanjung...dan dinobat dengan pelbagai gelaran serta dihidangkan dengan bermacam-macam ganjaran.
Walauapapun rentak dan permainan pentas di bumi pada hari ini, iktikad dan keyakinan kita kepada ALLAH SWT jangan sesekali terdetik untuk meraguinya. Biarpun nikmat yang kita harapkan tidak kunjung tiba, yang secara 'asbabnya' terkait dengan permainan jahat tangan-tangan tersembunyi sesetengah daripada kita, yang begitu rakus untuk mengambil hak orang lain secara batil.
Jika itu benar-benar berlaku, katakan dengan penuh yakin kepada hati dan sanubari bahawa:
'...dapat alhamdulillah, tak dapatpun alhamdulillah...kerana setiap detik yang berlalu terisi dengan pelbagai hikmah ALLAH SWT, yang kadang-kadang membuatkan kita begitu sukar untuk menerimanya...namun yakinilah DIA tidak akan sesekali menzalimi hamba-Nya, sebagaimana kita menzalimi sesama sendiri...yang kuat menindas yang tidak berdaya...yang kaya merompak yang miskin...yang berkuasa menekan yang lemah...sehingga dunia dan seisinya menjadi porak-poranda dek tangan-tangan manusia yang sentiasa rakus dan tidak pernah cukup dengan anugerah yang dimiliki, walaupun segunung emas sudah ditakluki. Moga-moga kita termasuk dikalangan mereka yang sentiasa bersyukur dengan apa jua anugerah ALLAH SWT kepada kita! Kerana, semakin kita bersyukur, janji-Nya akan memberikan nikmat yang berlipat-ganda...'
Untuk itu marilah sama-sama kita secara istiqamah bermuhasabah dan berdoa kita agar 'terus' diberikan kekuatan untuk 'terus' bersyukur, walaupun dengan sekecil-kecil nikmat yang kita terima. Kerana percayalah, detik-detik kehidupan ini adalah ibarat putaran yang akan bersilih ganti. Dimana, hari ini jika kita memiliki, esok belum tentu kita akan terus memiliki...begitu juga, jika hari ini kita tidak mempunyai 'apa-apa', tidak bermakna esok kita juga akan terus hidup dalam keadaan tidak memiliki 'apa-apa'.
Semoga detik yang berlalu akan terus memberikan ingatan dan keyakinan pada kita untuk melalui detik-detik yang seterusnya dengan wadah kesyukuran yang lebih baik. InsyaALLAH
Coretan hamba yang daif, Abdul Hadi B. Jusoh
7 Julai 2012, jam 5pagi.

Thursday, April 19, 2012

Pindaan - "Printing Presses and Publications Act"

Keputusan pihak kerajaan untuk melakukan pindaan terhadap "Printing Presses and Publications Act" adalah sesuatu yang diharapkan sejak sekian lama oleh banyak pihak.

Difahamkan antara pindaan yang akan dibuat adalah bukan setakat 'do away' ketetapan untuk memperbaharui permit secara tahunan, tetapi apa yang lebih penting ialah tentang pemansuhan kuasa mutlak menteri, yang akan membuka ruang kebebasan media yang lebih luas dan terbuka. Dengan ini, pihak penerbit mempunyai ruang untuk mencabar keputusan menteri yang menarik balik atau menggantung permit penerbitan mereka di mahkamah secara lebih kukuh.

Namun demikan, apa yang kita harapkan liberalisasi media ini tidak akan disalah guna oleh mana-mana pihak atas nama hak kebebasan asasi semata-mata. Perkara-perkara yang bersabit dengan 'maslahah ummah' dan maqasid as-shariah perlulah diambil kira-kira oleh pengamal-pengamal media, agar ruang kebebasan yang diberikan tidak ibarat seperti 'api dalam sekam' atau 'gunting dalam lipatan', yang menyebabkan kemudaratan kepada ummah, agama dan negara secara tanpa kita sedari.

Takrifan kebebasan dalam Islam perlu dihayati dan direalisasikan sepenuhnya. Islam tidak menghalang kebebasan untuk meluahkan pandangan atau melahirkan pendirian masing-masing secara vokal. Namun, Islam meletakkan batasan serta adab-adab tertentu yang perlu dijaga, agar segala perbezaan yang timbul dalam masyarakat menjadi penawar yang memanafaatkan, bukannya tuba yang memudaratkan. Ini kerana, naluri ataupun fitrah manusia sebagaimana yang disebut dalam al-Quran sebagai 'sikap suka melampaui batas', akan menjurus ke arah mengambil hak ataupun peranan orang lain secara tidak sah. Ini seterusnya akan menimbulkan kecelaruan dalam susur perjalanan kehidupan seharian masyrakat. Dan, jika ia tidak ditangani dengan baik serta berhikmah, ummah dan negara akan berada dalam keadaan tidak menentu ibarat 'tarik papan, sorong papan'. Akibatnya, banyak masa dan tenaga dihabiskan untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang tak henti-henti.

Justeru, apa jua mekanisme yang dilaksanakan untuk mengurus fitrah perbezaan dalam kelompok masyarakat, ia perlulah lebih mengutamakan untuk mencari 'titik-titik pertemuan', bukannya merungkai 'titik-titik pemisah' yang ada. Dengan kata lain, semangat perpaduan dan kebersamaan dalam masyarakat tanpa mengira batasan agama, fahaman politik dan budaya adalah menjadi keutamaan. Dan, segala ruang perbezaan yang ada perlu sedaya mungkin dilitupi dengan semangat 'ukhuwah Islamiah'. 

Amatlah diharapkan dengan ruang kebebasan media yang semakin terbuka ini, rakyat akan mendapat liputan ataupun sebaran maklumat yang lebih adil dan telus tidak seperti mana hari ini, yang masing-masing 'condong' terhadap fahaman-fahaman tertentu seolah-olah seperti 'berkerat rotan'. Masing-masing saling menyanggahi antara satu sama lain, sehinggalah rakyat kebanyakan berada dalam keadaan keliru dalam mencari erti kebenaran dan keadilan yang sebenar. Moga-moga, dengan terbukannya kebebasan media ini akan lebih mendamaikan kita semua, kerana tanpa kedamaian banyak perkara yang terpaksa kita korbankan, termasukalah kesucian 'ad-deen al-haq', yakni Islam.

Wassalam.

Sekadar meluahkan pandangan,
Abdul Hadi Jusoh.

Saturday, April 14, 2012

Manifesto Penghapusan PTPTN

Manifesto penghapusan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) oleh Pakatan Rakyat (PR) jika mereka berjaya menguasai Putrajaya pada Pilihanraya Umum yang akan datang, makin begitu hangat diperbincangkan dengan pelbagai pandangan diutarakan, ada yang menyokong, tidak kurang juga yang membangkang. Ada juga yang menganggap ia hanya sekadar isu ‘ pemanas’ untuk meraih sokongan kalangan pengundi-pengundi muda pada saat-saat akhir, sekiranya pilihanraya umum diadakan dalam tempoh yang terdekat, setidak-tidaknya seawal bulan Jun ataupun September 2012. Namun, secara umumnya kalangan khalayak, khususnya dikalangan mahasiswa/i menyambut baik terhadap cadangan manifesto tersebut.
Di sebalik pandangan yang bercampur-baur, saya cuba untuk melihat dan menilai manifesto ini daripada perspektif yang berbeza. Pada saya, bukan isu utama samada ia boleh dilaksanakan ataupun tidak. Angka RM46 million yang dianggap sebagai kos penghapusan PTPTN, bukanlah satu masalah yang besar kepada kerajaan Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat (walaupun ia masih belum berada di lapangan). Ia memang boleh diperolehi dengan pelbagai instrumen yang ada. Juga, tidak perlu timbul isu kerajaan akan menjadi muflis ataupun papa-kedana, jika ada fokus dan keutamaan yang jelas serta telus dalam aspek pengurusan sumber kewangan yang ada.
Namun demikian, pada saya isu yang paling utama yang perlu dibangkitkan oleh kedua-dua belah pihak adalah implikasi secara jangka panjang kepada mahasiswa/I dan institusi yang terbabit, samada yang berstatus IPTA, mahupun IPTS pasca penghapusan. Memang tidak dinafikan, penghapusan tersebut akan memberikan ‘ nafas serta keyakinan baru’ kepada rakyat. Iaitu, dengan menikmati kos pendidikan pada peringkat tinggi secara percuma dan tanpa sebarang liabiliti setelah tamat tempoh pengajian kelak. Namun jika difikirkan secara mendalam,  ianya akan mencetus pelbagai implikasi jangka panjang yang kurang sihat kepada banyak pihak, tambahan jika tidak ada tindakan susulan dan kawal selia yang cekap serta telus terhadap pihak-pihak yang terlibat, khususnya institusi pendidikan tinggi dan juga mahasiswa/i yang terlibat. Berikut antara implikasi yang perlu diselami oleh pihak-pihak yang terlibat, samada yang mencetus atau yang membangkang terhadap perlaksanaan manifesto tersebut:
Pertama, bersangkutan dengan sumber dana yang ingin digunakan untuk merealisasikan hasrat ini. Sekiranya Pakatan Rakyat mengambil keputusan untuk menggunakan sejumlah tertentu daripada mana-mana dana awam dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Lembaga Tabung Haji (LTH) dan sebagainya untuk menampung kos penghapusan PTPTN, implikasi jangka panjang yang konsisten kepada nilai pelaburan serta pulangan kepada ahli-ahlinya perlu diambil perhatian. Apakah ia hanya dianggap sebagai ‘qardhul hasan’ (pinjaman tanpa faedah) institusi-institusi tersebut kepada kerajaan? Jika benar, bagaimana pula ia akan dibayar balik? Dan, apakah jaminan yang ianya akan dibayar balik sepenuhnya?
Keduanya, penghapusan PTPTN secara angkanya akan menambahkan bebanan perbelanjaan mengurus kerajaan daripada dua aspek yang utama, iaitu pertama, untuk membayar semula pinjaman yang telah digunakan untuk menghapus PTPTN. Keduanya, untuk menampung kos yuran pengajian sepenuhnya. Situasi ini akan menjurus kepada kemungkinan, merundumnya kualiti dan kecekapan IPTA-IPTA yang ada, kerana ia akan berdepan dengan pelbagai kekangan kos. Yang mana, akan menyaksikan penghijrahan pakar-pakar akademik yang berkualiti ke IPTS ataupun industri. Juga, penyelengaraan IPTA-IPTA akan menjadi lebih tidak terurus, akauntabiliti semua pihak akan terabai, kerana ia telah dikuasai oleh ‘ mentaliti percuma’, akhirnya fasiliti IPTA akan menjadi seperti ‘ taman-taman permainan dan tandas-tandas awam’ yang ada di sekeliling kita.
Ketiga, tentang semangat dan nilai kecemerlangan akademik serta sakhsiah para pelajar yang kemungkinan besar akan terkesan dengan ‘mentaliti percuma’. Yang akhirnya, sekadar  melahirkan ‘graduan cukup makan’, dengan hanya sekeping pengiktirafan tanpa ‘value-added’ dan ‘ marketability’  yang sewajarnya. Paling dibimbangi, akan berlaku lambakan graduan yang tidak sejajar dengan perkembangan ekonomi, yang seterusnya akan meningkatkan kadar pengangguran.
Keempat, masa depan IPTS-IPTS bumiputera yang berskala kecil yang selama ini banyak bergantung harap kepada PTPTN perlu juga dilihat secara serius. Apakah kita merelakan mereka ‘ golongan tikar’ ataupun sekadar beroperasi dengan ‘jiwa dan raga’ yang cukup daif? Jika ini berlaku, peluang-peluang kerjaya akademik akan menerima tempias yang hebat, dan hanya mengharapkan IPTA-IPTA yang tempatnya sudah pasti amat terhad.
Justeru, untuk tidak menghampakan harapan rakyat, kedua-dua belah pihak perlu menggariskan satu pendekatan yang lebih telus dan praktikal untuk dilaksanakan, dan kembalikan semula kepada rakyat untuk dinilai berbanding dengan hanya penyelesaian melalui ‘ cakap-cakap politik’  yang tidak akan berpenghujung.
Pada saya, adalah lebih wajar jika PTPTN ditambah-baik dari sudut pengurusan sumber kewangannya daripada ia dihapuskan sepenuhnya. Agar satu hari kelak, ia akan menjadi sebuah institusi yang mampu berdiri di atas kaki sendiri dan mempunyai asas kewangan yang cukup kuat sebagai ‘ independent financier’ kepada institusi-institusi pengajian tinggi. Pada ketika itu, adalah sesuatu yang realistik bagi rakyat menikmati pendidikan tinggi secara percuma, sebagaimana yang dinikmati di peringkat sekolah hari ini. Antara saranan saya adalah seperti berikut:
Pertama, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu diberikan status dan hak untuk mencari dan mengurus sumber kewangan secara lebih proaktif dengan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti pelaburan sebagaimana yang dilaksanakan oleh dana-dana awam yang lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Lembaga Tabung Haji (LTH).
Kedua, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu diberikan hak untuk menerima sebahagian peratusan tertentu daripada Potongan Cukai Berjadual (PCB) yang dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Sebagai contoh, jika setiap orang pekerja membuat potongan cukai sebanyak RM100 sebulan, katakan 30% (RM30) perlu disumbangkan kepada PTPTN untuk dijadikan sebagai dana asas menjana aktiviti pelaburan mereka.
Ketiga, galakan lebih proaktif terhadap Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kepada golongan yang berumur 40 tahun ke bawah dengan skim dividen yang lebih ‘attractive’. Hasil kutipan daripada skim ini boleh digunakan oleh pihak PTPTN sebagai modal untuk lebih mengembangkan aktiviti perlaburan mereka.
Keempat, pembayaran balik pinjaman PTPTN tidak lagi bersifat 100% pada peringkat permulaan. Dengan adanya sumber kewangan yang kukuh, barangkali setiap pelajar yang meminjam dalam tempoh 3 tahun yang pertama, hanya perlu membayar katakan 70% daripada jumlah pinjaman mereka. Itupun, setelah mereka mendapat pekerjaan yang tetap. Dan, peratusan bayaran baliknya akan terus berkurang untuk tahun-tahun yang mendatang sehinggalah pada satu tahap pendidikan peringkat tinggi dapat diberikan secara percuma sepenuhnya.
Kelima, laksanakan pergabungan IPTA dengan tujuan untuk meningkatan kualiti dan kecekapan pada kos yang lebih optimum. Barangkali, sejumlah 20 buah IPTA yang ada pada hari ini diseluruh negara dapat digabungkan menjadi 10 IPTA dengan mengekalkan jumlah pengambilan seperti biasa. Bermakna, mana-mana fakulti atau jabatan yang dilihat saling bertindih antara satu sama lain, dapat digabung menjadi satu dengan turut memanafaatkan perkembangan teknologi dan ICT yang ada.
Keenam penubuhan Suruhanjaya Universiti Malaysia (SUM) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang akan menjadi ‘ regulator’ kepada IPTA/IPTS bagi membuat pantauan dan kawal selia terhadap operasinya agak sentiasa menepati piawai yang telah ditetapkan. Juga memberikan hak dan kuasa kepada SUM untuk mengambil tindakan mahkamah kepada mana-mana IPTA yang melanggari peruntukan yang telah ditetapkan. Dengan ini, diharapkan ia dapat beroperasi dengan lebih telus dan cekap, yang mana pada tempoh jangka panjang mampu meletakkan pengurusan IPTA pada kos yang lebih optimum tanpa mengorbankan kualiti akademik dan sakhsiah graduan yang bakal dilahirkan. Tidak terkecuali juga kepada IPTS.
Saya mencadangkan agar diadakan diskusi terbuka secara professional dan telus diadakan diantara kedua-dua belah pihak dengan membentangkan pendekatan masing-masing dalam menangani isu penghapusan PTPTN ini. Iaitu dekat satu tekad, untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik, bukannya sekadar untuk mencari populariti demi meraih sokongan. Soal sokongan, biarlah rakyat yang menentukan.
Pendekatan yang bersifat defensif dari ‘kubu masing-masing’  tidak akan dapat menyelesaikan isu ini secara berkesan. Seolah-olah dilihat, masing-masing berada di posisi ‘ tarik tali’ , seketika ke kanan dan seketika ke kiri, tidak ada apa-apa solusi. Akhirnya, apa yang ditarik tidak diperolehi, apa yang digengam terlepas. Barulah pada ketika itu, masing-masing mula berputih mata. Dan, apa yang lebih penting adalah nasib dan masa depan agama, rakyat dan negara yang diharus diperjudi semata-mata disebabkan perbezaan ‘manhaj’ politik masing-masing. Saya akhiri tulisan ini dengan satu ungkapan, ‘yang popular belum tentu benar, dan yang benar tidak semestinya popular’- Abd Hadi Jusoh

Friday, March 23, 2012

Kadar Gaji Minimum

Akhirnya pihak kerajaan mengambil pendirian yang begitu 'jelas' untuk melaksanakan kadar gaji minimum di sebalik 'never-ending political debate' yang masih rancak berlaku. Dengan ini, Malaysia akan termasuk dalam 'ranking' 90% dari negara-negara lain di dunia yang telah melaksanakan pendekatan ini. Mengikut laporan media, pengumuman secara rasmi akan dibuat oleh PM ketika sambutan hari pekerja pada bulan Mei nanti.
Sejak 'idea' perlaksanaan kadar gaji minimum ini dikemukan, ia telah menjadi 'topik panas' pelbagai pihak, khususnya dikalangan 'politician' dan 'populist' . Bermacam - macam ragam dan hujah... 'pros & cons' yang bermain di telinga kita...ia dihangatkan lagi apabila setengah media yang bersifat 'populist & bias' mula mengambil tempat sehinggakan masyarakat mulai keliru dan mula membina tanggapan yang tidak sepatutnya. Tambahan lagi, apabila wujud sesetengah majikan industri yang berasaskan industri kecil sederhana (IKS) mendakwa kedudukan kewangan mereka akan terjejas teruk sekiranya 'idea' ini dilaksanakan.
Ada 'sepuak' lagi yang melihat 'idea' ini sebagai 'gula-gula poltik' menjelang pilihanraya yang merupakan 'pertarungan hidup mati' parti pemerintah hari ini...tanggapan ini sukar 'dijustifykan' kerana ada yang menganggap ia hanya sekadar pandangan kalangan mereka yang berlainan ideologi dan fahaman politik.
Melihat kepada 'trend' perbalahan dan perselisihan politik yang akan 'never-ending' pada hari ini, bukan setakat dalam isu yang kita bincangkan ini, malah juga kepada isu-isu serata yang lain...saya cuba mengambil pendekatan untuk melihat dan memahami 'idea' ini daripada perspektif ataupun 'kaca mata' Islam, yang sepatutnya menjadi titik pertemuan dalam semua perkara.
Baik...Islam meletakkan kepentingan yang cukup tinggi terhadap aspek gaji yang dibayar oleh majikan kepada pekerjanya. Kadar gaji yang berpatutan amat penting, kerana ia akan mempengaruhi kuasa beli (purcashasing power) dan taraf hidup (living standard) individu dan masyarakat.
Perlu difahami, kejatuhan kuasa beli secara jangka panjangnya akan memberikan kesan kepada industri dan pengeluaran barangan pengguna secara keseluruhannya melalui jatuhnya permintaan terhadap barangan tersebut di dalam pasaran. Kejatuhan permintaan akan memberikan kesan kepada firma-firma yang menawarkan atau mengeluarkan barangan tersebut ke dalam pasaran. Seterusnya, kejatuhan penawaran akan menyebabkan aktiviti pengeluaran terpaksa diminimakan atau pengurangan kos terpaksa dilaksanakan termasuklah dengan memberhentikan sejumalah tertentu daripada bilangan pekerja yang sedia ada...begitulah putaran seterusnya yang tidak berhenti sekiranya isu kuasa beli ini tidak diambil peduli, khususnya oleh pihak kerajaan.
Cuma yang merumitkan keadaan, pihak majikan 'tidak sanggup' mengorbankan jumlah keuntungan sedia ada yang mereka perolehi...sebagai jalan mudah, mereka menaikan harga barang. Dan , kenaikan harga ini perlu ditanggung oleh pengguna. Ia seolah-olah 'cara halus' menarik kembali sebarang kenaikan gaji yang diberikan kepada pekerja mereka... dengan ini, masalah kuasa beli tidak akan dapat diselesaikan walaupun dengan perlaksanaan kadar gaji minimum, selagi mana tidak ada sifat 'qanaah' dikalangan majikan.
Menyebut tentang sifat 'qanaah' ini, ia juga perlu ditekankan dikalangan para pekerja...iaitu menerima kadar gaji yang selayaknya dengan apa yang disumbangkan kepada majikan. Adalah tidak sepatutnya, 'meminta-minta' gaji yang di luar sumbangan mereka apatah lagi di luar kemampuan majikan. Ini sebagaimana yang disebut oleh ALLAH SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 79 yang bermaksud:
'...kamu tidak menganiyai dan tidak pula dianiaya'
Jelasnya, kedua-dua pihak perlu berada dalam ruang lingkup yang adil. Menganiyai pekerja bermaksud tidak membayar kadar gaji yang munasabah dengan khidmat mereka. Manakala, menganiyai majikan bererti memaksa majikan membayar pada kadar yang melebihi kemampuannya...kadang-kadang para pekerja tidak menyedari bahawa mereka secara tidak langsung 'menekan' majikan apabila meletakkan nilai gaji yang cukup tinggi kerana kepakaran yang dimilikinya 'very rare in the market'.
Asasnya, perlaksanaan kadar gaji minimum ini adalah baik. Namun, ia perlu meletakkan nilai adil dan 'qanaah' baik dipihak majikan mahupun pekerja. Juga perlu dikaitkan dengan 'maqasid as-shariah' (tujuan pensyariatan sesuatu hukum). 
Firman ALLAH SWT dalam Surah Taha, ayat 118 - 119 boleh dijadikan 'benchmark' dalam menentukan kadar gaji minimum yang perlu dibayar, agar kedua-dua pihak terbela keadilannya:
'Sesungguhnya kamu tidak kelaparan di dalamnya dan tidak akan berpakaian dan sesungguhnya kamu tidak akan merasa dahaga dan tidak pula akan ditimpa panas matahari di dalamnya'
Akhir sekali, saya menyeru kepada semua pihak terutamanya dikalangan 'politician & populist' supaya meletakkan Islam sebagai titik-temu apabila berselisih dalam sesuatu perkara, kerana Islam melalui al-Qur'an dan hadis mampu memberikan penyelesaian terbaik, dalam erti kata membawa keadilan kepada semua pihak, tanpa mengira parti atau kumpulan mana yang didokong...kerana kita semua bukan setakat berkongsi  satu matlamat 1Malaysia, bahkan satu matlamat yang akan menentukan 'kedudukan terakhir kita, iaitu 1Akhirat... tidak guna kita berbalah kerana menegakkan kebaikan tetapi Islam terpaksa 'diterbalikkan'...Wallahua'lam...
Sekadar menginsafi diri - Abdul Hadi Jusoh.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Host