Ekonomi Islam adalah ilmu yang
mempelajari perilaku ekonomi manusia bersandarkan kepada al-Quran dan Sunnah
dan urf tijari (amalan komersial) yang tidak bertentangan dengan syariat. Antara
tujuan utama ekonomi Islam adalah untuk mewujudkan keseimbangan di antara kepentingan
individu dengan kepentingan masyarakat. Dalam konteks ini, kepentingan individu
dan masyarakat harus sejajar dan tidak bertentangan antara satu sama lain.
Keseimbangan ini akan terbentuk melalui penglibatan anggota masyarakat di dalam
kegiatan ekonomi yang dibenarkan oleh syariat secara produktif di samping
penyelarasan melalui dasar, polisi dan akta tertentu yang digubal dan dilaksanakan
secara telus dan adil oleh pemerintah bagi mengawal dan mengurus sebarang
kemungkinan salah laku dalam pasaran.
Peranan kerajaan amat signifikan
dalam sesebuah ekonomi negara melalui gerak laku di peringkat makro dan mikro
berbanding unit-unit ekonomi yang lain, iaitu isi rumah dan peniaga. Justeru
itu, kerajaan perlu melaksanakan langkah-langkah yang sejajar dan bersrategik
secara berterusan untuk memperkasa amalan ekonomi Islam di Malaysia.
Di antara tindakan awal yang boleh
dilaksanakan bagi merealisasi tujuan ini adalah dengan menerapkan dan
merakyatkan kefahaman “pengagihan semula harta kekayaan ” (Redistribution of
wealth) dalam masyarakat. Di antara hikmah di sebalik perlaksanaan pengagihan
semula harta kekayaan adalah:
1)
Memenuhi keperluan asasi semasa masyarakat.
2)
Membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
3)
Menjana sektor ekonomi Negara.
Tindakan ini boleh dilaksanakan melalui
institusi zakat dan waqaf yang akan menggalakkan kitaran ekonomi yang sihat dalam
penyusunan semula sesebuah masyarakat atau negara ke arah memajukan dan
meningkatkan kualiti dan taradf hidup di peringkat individu dan masyarakat.
Bagi tujuan ini, pengukuhan institusi
zakat dari sudut pengagihan dan pentadbiran perlu diberikan perhatian dan
tindakan. Berdasarkan statistik, pungutan zakat di Selangor sahaja pada tahun
2014 telah melebihi sasaran, dengan jumlah kutipan sebanyak RM 582.1 juta
berbanding RM 517.3 juta dalam tempoh yang sama pada tahun 2013. Angka ini
membuktikan bahawa institusi zakat di Malaysia berupaya menjadi antara
penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Islam di Malaysia. Namun, penambah
baikan dari sudut pentadbiran dan agihan yang sedia ada perlu terlebih dahulu
dilaksanakan.
Dengan berdiri teguhnya institusi zakat,
sesebuah masyarakat atau negara boleh menjadi maju dan kualiti taraf hidup di
peringkat individu dan masyarakat boleh ditingkatkan melalui bantuan secara
menyeluruh dan bantuan bulanan kepada asnaf- asnaf zakat terutamanya golongan
fakir, miskin dan muallaf agar mampu berdikari dan akhirnya menyumbang kembali
kepada institusi zakat. Kitaran ini akan mewujudkan pertumbuhan dan pembangunan
ekonomi Islam yang lebih mapan.
Untuk itu, pusat zakat di setiap
negeri seharusnya mempergiatkan peranan untuk turun padang bagi mencari
golongan fakir dan miskin dengan pelbagai medium termasuklah dengan aplikasi
media sosial seperti facebook, whatsap, instagram dan sebagainya. Dan, pada
masa yang sama memupuk kesedaraan masyarakat umum tentangbagaimana zakat mampu
membasmi kemiskinan dan kesan positifnya kepada ekonomi Negara secara
keseluruhan. Perkara ini amat penting untuk memastikan tidak ada asnaf-asnaf yang
tercicir dalam pengagihan zakat ini dan masyarakat yang berkelayakan sebagai
pembayar zakat pula menunaikan tanggungjawab mereka secara berterusan. Jika ini dapat dilaksanakan secara konsisten,
ia akan melengkapkan kitaran ekonomi secara sihat dan asnaf-asnaf akan menyumbang
kembali sebagai pembayar zakat setelah mereka berjaya kelak.
Selain daripada itu juga, ekonomi
Islam dapat diperkasakan melalui institusi Waqaf dimana individu atau
organisasi menyumbangkan harta benda mereka secara sukarela. Ini berbeza dengan
zakat, harta waqaf boleh turut dilaburkan dan hasil pelaburan tersebut boleh
melipat gandakan jumlah bantuan kewangan kepada penerima yang layak. Justeru
itu, kerajaan perlu bertindak sebagai medium penggerak untuk mengukuhkan
kedudukan institusi waqaf dalam ekonomi Negara. Antaranya dengan mengkomersialkan
harta waqaf dan menggalakkan pemberian waqaf wang tunai melalui atas talian dan
memberikan insentif tertentu kepada majikan-majikan yang menggalakkan potongan
gaji. Ini kerana institusi waqaf dilihat
berpotensi dalam pembangunan ekonomi negara khususnya pembangunan ekonomi Islam
dimasa hadapan.
Antara tindakan lain yang boleh
dilaksanakan oleh kerajaan adalah dengan menggalakkan penglibatan masyarakat dalam
pembangunan industri kecil dan sederhana yang bermatlamat untuk meningkatkan
pengeluaran barang-barang dan perkhidmatan yang bersifat keperluan dalam
pasaran. Untuk itu, langkah drastik perlu diambil dengan menyediakan modal
pendahuluan melalui pinjaman tanpa faedah melalui institusi waqaf kepada
peniaga-peniaga yang layak serta memberikan latihan khususnya berkaitan
perniagaan dan perusahaan. Langkah ini dapat membantu dalam memastikan kestabilan
jangkamasa panjang ekonomi masyarakat Islam di Malaysia.
Galakan secara berterusan harus
diberi kepada masyarakat Islam untuk menjadi pengeluar barangan halal keperluan
harian dan mengurangkan kebergantungan kepada produk-produk asing. Dan, ini
boleh juga dianggap sebagai keperluan ke arah mencapai kestabilan ekonomi.
Di samping itu, pasaran modal Islam
juga perlu diperkukuhkan. Setakat ini, Malaysia adalah perintis kepada kewujudan
pasaran modal Islam secara lebih berstruktur dan ‘well-regulated’. Penglibatan
kerajaan dalam menjayakan misi ini dilihat sebagai penyumbang terbesar dalam
kejayaan industri pasaran modal Islam. Sehubungan dengan itu, untuk memastikan kestabilan
dan kerancakan pasaran modal Islam, kerajaan harus terus mendukung dengan
memberi insentif seperti potongan cukai di atas penerbitan sukuk dan pelaburannya oleh
syarikat-syarikat dana pelaburan tempatan dan antarabangsa. Ini bertujuan untuk
menggalakkan lebih ramai pelabur menyertai pasaran modal Islam terutama pelabur
individu sekaligus dapat memperkasa ekonomi dan keyakinan global terhadap
sistem ekonomi Islam.
Selain itu,kerajaan perlu lebih
menggalakan institusi perbankan konvensional untuk beralih kepada penawaran produk
perbankan patuh syariah. Ini kerana sistem ekonomi konvensional yang
berorientasikan riba atau caj faedah dan pelaburan dana dalam aktiviti tidak
patuh Shariah seperti pelaburan dalam perniagaan arak atau judi telah
menimbulkan banyak krisis dalam masyarakat. Tambahan, sistem perbankan yang
berasaskan riba telah membuka lebih banyak peluang kepada aktiviti-aktiviti
spekulasi dalam pasaran yang boleh menyumbang kepada ketidakstabilan ekonomi
Negara dan krisis ekonomi yang pastinya akan menyusahkan banyak pihak dalam
masyarakat
Sebab itulah, Islam secara jelas mengharamkan
amalan riba atau faedah dalam aktiviti ekonomi, Allah s.w.t berfirman di dalam
surah Al-Baqarah ayat 275 yang bermaksud:
‘’ Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak
dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan
dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah
disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama
sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli
(berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya
peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba),
maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi
haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi
lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di
dalamnya”.
Secara teori, kadar faedah yang
tinggi akan menimbulkan inflasi yang mengurangkan kuasa beli pengguna dan
kemudiannya akan memberi kesan negatif kepada ekonomi secara keseluruhan.
Inflasi juga akan menggalakkan aktiviti penyorokan barangan (hoarding) oleh
peniaga yang ingin mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan yang lebih
tinggi. Ini akan menyumbang kepada ketidakcekapan dalam pengurusan ekonomi
keseluruhannya.
Bahkan, sistem ekonomi yang
berasaskan riba ini juga akan mencipta jurang ekonomi yang besar antara
golongan kaya dan golongan miskin. Data IMF membuktikan bahawa jurang besar
berlaku sejak tahun 1965 sehingga ke hari ini. Kadar faedah juga memberi kesan
kepada pelaburan, pengeluaran dan mewujudkan pengangguran. Dengan peningkatan
kadar faedah, ia akan memberi kesan kepada kemerosotan dalam pelaburan
seterusnya akan menjejaskan kadar pengeluaran dan akan menyebabkan peningkatan
kadar pengangguran dan kemiskinan.
No comments:
Post a Comment