Penubuhan Daya Fikir asasnya bermula daripada satu platform perkongsian dan mobilisasi ilmu yang berkait dengan subjek ekonomi, kewangan dan perbankan dalam kerangka cetusan Islam dan konvensional.
Platform ini telah diterjemah hasil daripada kesepakatan ukhuwah Islami secara tidak formal dikalangan sahabat-sahabat yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam industri ataupun dunia akademik dengan hasrat untuk memugarkan kepakaran masing-masing, demi memertabatkan kefahaman dan penerimaan masyarakat terhadap cara hidup berekonomi yang asasnya telah termaktub dalam Islam dengan begitu komprehensif.
Untuk merealisasikan tujuan tersebut, pelbagai pendekatan ataupun minhaj yang telah dan akan dilaksanakan termasuklah dengan melaksanakan diskusi, forum, seminar dan penerbitan. Untuk peringkat permulaan, Daya Fikir dengan kerjasama Kolej Dar al-Hikmah dan Akademi Kajian Ketamadunan telah menganjurkan Usrah Muamalat 2012 secara bermodul selama enam bulan, bermula Jun 2012. Partisipasinya adalah terbuka kepada khalayak umum yang berminat dan tiada sebarang bayaran dikenakan.
Melihat kepada kepentingan gabungan antara yang 'baru dan lama', Daya Fikir berhasrat untuk menghidupkan budaya ziarah ke kediaman ' senior-senior' yang pernah dan sedang terlibat secara langsung ataupun tidak dalam industri mahupun dunia akademik, bagi mencungkil ilmu dan pengalaman mereka, demi memantapkan lagi usaha para penggerak Daya Fikir tatkala berhubungan dengan masyarakat khalayak.
Dengan keterbatasan ruang waktu dan tenaga yang ada, In shaa Allah setiap program yang dirancang akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin agar ianya memberikan kesan yang mendalam kepada masyarakat khalayak, yang seterusnya meletakkan keindahan Islam sebagai satu cara hidup yang syumul.
Semoga segala amal kebaikan yang kita laksanakan ini akan menjadi bekalan Akhirat pada kita semua. In shaa Allah.