Keputusan pihak kerajaan untuk melakukan pindaan terhadap "Printing Presses and Publications Act" adalah sesuatu yang diharapkan sejak sekian lama oleh banyak pihak.
Difahamkan antara pindaan yang akan dibuat adalah bukan setakat 'do away' ketetapan untuk memperbaharui permit secara tahunan, tetapi apa yang lebih penting ialah tentang pemansuhan kuasa mutlak menteri, yang akan membuka ruang kebebasan media yang lebih luas dan terbuka. Dengan ini, pihak penerbit mempunyai ruang untuk mencabar keputusan menteri yang menarik balik atau menggantung permit penerbitan mereka di mahkamah secara lebih kukuh.
Namun demikan, apa yang kita harapkan liberalisasi media ini tidak akan disalah guna oleh mana-mana pihak atas nama hak kebebasan asasi semata-mata. Perkara-perkara yang bersabit dengan 'maslahah ummah' dan maqasid as-shariah perlulah diambil kira-kira oleh pengamal-pengamal media, agar ruang kebebasan yang diberikan tidak ibarat seperti 'api dalam sekam' atau 'gunting dalam lipatan', yang menyebabkan kemudaratan kepada ummah, agama dan negara secara tanpa kita sedari.
Takrifan kebebasan dalam Islam perlu dihayati dan direalisasikan sepenuhnya. Islam tidak menghalang kebebasan untuk meluahkan pandangan atau melahirkan pendirian masing-masing secara vokal. Namun, Islam meletakkan batasan serta adab-adab tertentu yang perlu dijaga, agar segala perbezaan yang timbul dalam masyarakat menjadi penawar yang memanafaatkan, bukannya tuba yang memudaratkan. Ini kerana, naluri ataupun fitrah manusia sebagaimana yang disebut dalam al-Quran sebagai 'sikap suka melampaui batas', akan menjurus ke arah mengambil hak ataupun peranan orang lain secara tidak sah. Ini seterusnya akan menimbulkan kecelaruan dalam susur perjalanan kehidupan seharian masyrakat. Dan, jika ia tidak ditangani dengan baik serta berhikmah, ummah dan negara akan berada dalam keadaan tidak menentu ibarat 'tarik papan, sorong papan'. Akibatnya, banyak masa dan tenaga dihabiskan untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang tak henti-henti.
Justeru, apa jua mekanisme yang dilaksanakan untuk mengurus fitrah perbezaan dalam kelompok masyarakat, ia perlulah lebih mengutamakan untuk mencari 'titik-titik pertemuan', bukannya merungkai 'titik-titik pemisah' yang ada. Dengan kata lain, semangat perpaduan dan kebersamaan dalam masyarakat tanpa mengira batasan agama, fahaman politik dan budaya adalah menjadi keutamaan. Dan, segala ruang perbezaan yang ada perlu sedaya mungkin dilitupi dengan semangat 'ukhuwah Islamiah'.
Wassalam.
Sekadar meluahkan pandangan,
Abdul Hadi Jusoh.
No comments:
Post a Comment