Pages

Showing posts with label Umum. Show all posts
Showing posts with label Umum. Show all posts

Thursday, September 29, 2011

Pejuang Ilmu

Ilmu perlukan ‘perjuangan’ untuk memilikinya. Baik ilmu fardhu ain, mahupun ilmu fardhu kifayah. Ia tidak akan sesekali hadir tanpa ‘dicari’ serta melalui susah payah dan pahit maun kehidupan.

Ilmu ibarat ‘tuan’ yang memiliki pelbagai hikmah dan kebijaksanaan. Dan, kita adalah ibarat ‘hamba’ yang dahagakan hikmah dan kebijaksanaan  untuk mencari bekalan hidup dunia dan Akhirat.

Ilmu ibarat aliran air yang mengalir dari puncak gunung ke lembah – lembah dengan membawa seribu macam manafaat dan pengharapan kepada manusia dan seluruh makhluk ciptaan ALLAH SWT. Begitulah kiasannya, seorang pejuang ilmu perlu mencari ‘mualim’ untuk menadah  ketinggian hikmah ilmu. Bukannya ‘mualim’ yang melewati denai untuk menemui pejuang - pejuang ilmu. Begitulah hakikatnya, akhlak yang sebenar dalam pencarian ilmu.

Hari ini dunia makin menjadi lintang pukang. Mualim diasak atas dasar kebutuhan dunia  agar melewati denai yang berpenghujungan di lembah demi memenuhi tuntutan si pejuang ilmu. Pejuang ilmu hari ini tidak ramai yang sudi mahu merentas ‘hutan belantara’ untuk sampai ke puncak gunung untuk menemui mualim.

Hari ini dunia sudah seakan melupai peranan dan jasa besar mualim. Kedudukan mereka bukan lagi kedudukan yang dihormati seperti mana zaman ‘lampu minyak tanah’ yang menjadi ‘penyuluh kehidupan’ zaman datuk nenek moyang kita.

Mualim hari ini bukan lagi berwatakan satria yang menjadi dambaan masyarakat, seperti mana dahulu. Sehingga ada yang menggelarkan mualim hari ini adalah mualim ‘cari makan’. Begitu biadap bunyinya. Apakah kita sudah lupa? Tanpa mualim pejuang ilmu sepanjang zaman tidak akan mampu bertahan di gelanggang, warisan ilmu akan lenyap, dan hikmah serta kebijaksanaan akan menjadi galang ganti kepada kelesuan bangsa dan kehancuran tamadun yang dibina.

Pejuang ilmu hari ini lebih selesa bermualimkan kecanggihan teknologi dengan hanya beberapa ‘klik’ pada hujung jari. Soal sahih ataupun tidak, bukan lagi perkara pokok yang perlu diambil kisah. Apa yang penting, tugasan berwajib yang menjadi penentu kepada lulus atau gagal dalam sesuatu ‘pertempuran ilmu’ itu dapat disempurnakan tepat pada masa dan ‘skema’ yang  telah diperuntukkan. Soal ‘fakih’ bukan lagi isu. Sedangkan ilmu tanpa ‘kefakihan’ sebenarnya tidak membawa makna yang besar kepada kehidupan. Ibarat pohon yang subur tetapi tidak berbuah. Tampaknya gah, tetapi hakikatnya kosong!

Pejuang ilmu ada keutamaannya dalam kehidupan. Sebagaimana yang disebut oleh Allah SWT dalam Surah at-Taubah, ayat 122 yang bermaksud:

“Tidak sepatutnya bagi kaum mukminin semuanya pergi (ke medan perang). Mengapakah tidak ada sebahagian daripada mereka yang mendalami pengetahuan mereka tentang agama dan memberi peringatan kepada kaumnya pada saat mereka kembali...”

Dalam konteks ‘muamalat’ contohnya, pejuang ilmu yang benar-benar ‘fakih’ tentang ilmu muamalat perlu terus disuburkan dalam pelbagai dimensi. Agar ruang lingkup kewangan Islam pada hari ini akan mampu menyaingi keperkasaan kewangan konvensional yang sudah bertapak sejak hampir 500 tahun yang lalu. Matlamatnya hanya satu, iaitu untuk menyediakan sistem kewangan alternatif yang terbaik  yang menunjangi pencarian rezeki umat serta menjadi teladan terhadap keindahan ajaran Islam itu sendiri. Bukan hanya sekadar  untuk memenuhi tuntutan agama.

Diharap dengan pemugaran kefakihan dalam pelbagai lapangan ilmu, para pejuang ilmu akan mampu menyumbang ‘sesuatu’ kepada keberkatan dan kesejahteraan hidup umat di dunia dan di Akhirat kelak. Semoga usaha yang kerdil ini akan menjadi catatan kebaikan tatkala berhadapan dengan penghakiman ALLAH  SWT di Padang Mahsyar kelak. InsyaAllah...

Sekadar Menginsafi Diri,
ABDUL HADI JUSOH, 27 Sep 2011.

Tuesday, September 6, 2011

Merdeka Hati

Alhamdulillah! Setinggi-tinggi syukur ke hadrat ALLAH SWT, atas ruang dan kesempatan yang diberikan, kerana sekali lagi kita dapat meraikan ulang tahun kemerdekaan yang ke-54 pada tahun ini. Tanggal 31 Ogos 1957, telah menjadi titik permulaan terbebasnya Tanah Melayu daripada cengkaman penjajahan kuasa asing  yang berlarutan sejak tahun 1511, apabila Portugis mula menakluki Kesultanan Melayu Melaka.

Pengalaman pahit dan jerih payah kehidupan ketika di bawah penjajahan beberapa kuasa asing seperti Belanda, Jepun dan British telah memberikan makna yang besar terhadap erti kemerdekaan dan kebebasan kepada kita.  Alfatihah! kita sedekahkan kepada semua para pejuang kemerdekaan, termasuklah kepada mereka yang dikatakan ‘tidak tercatat’ dalam dokumentasi sejarah semasa atas jasa dan pengorbanan mereka demi tanahair yang tercinta ini. Percayalah, tanpa susah payah dan penat jerih mereka yang menggerakkan agenda perjuangan menentang kezaliman penjajah, barangkali kita masih berada di bawah belenggu ‘tilam empuk’ mereka. Doa kita agar rmereka ditempatkan dikalangan para syuhada’ dan mereka yang beriman. InsyaAllah…

Jika diperhatikan, disepanjang usia 54 tahun kita menjalani kehidupan sebagai ‘rakyat yang merdeka’ di bumi Malaysia yang bertuah ini, pelbagai mehnah ataupun ujian berjaya kita lalui dalam suasana penuh aman damai dalam kejeleketan ukhuwah serta mahabbah sesama kita, tanpa mengira soal perbedaan kaum, fahaman politik, amalan agama dan budaya. Alhamdulillah…

Namun sejak akhir-akhir ini, mulai terbit anasir-anasir yang boleh dianggap sebagai mencemari ‘nikmat kemerdekaan’ yang sudah kita kecapi sejak lebih lima abad yang lalu. Hari ini, makin menjadi-jadi ‘pertelingkahan’ sesama kita sehingga Al-Qur’an dan Hadis tidak lagi dijadikan ‘tempat kembali’ tatkala bertelagah dan berbeza pandangan. Begitu juga, ‘keredhaan’ sesama sendiri lebih menjadi ‘aulawiyyat’ (keutamaan) daripada keredhaan ALLAH SWT.

Pada mereka yang berbeda fahaman politik pula, seolah-olah mahu ‘berkerat rotan’ untuk tidak mahu mencari jalan damai. Apa yang menjadi dasar dan fokus perjuangan adalah menunding jari untuk mencari kesalahan ‘puak-puak’ lain yang tidak sefahaman dengan mereka, dan ‘adabul ikhtilaf’ (adab-adab perbedaan pandangan) sudah dipandang begitu enteng. 

Juga, mereka yang berlainan amalan agama dan budaya, saling menyanggahi antara satu sama lain, sehingga agama dilihat sebagai ‘penyebab’ kepada permusuhan terutamanya kepada mereka yang tidak memegang kepada mana-mana ‘anutan ketuhanan’. Dengan itu, Islam sebagai ‘ad-din’ yang memanifestasikan satu cara hidup yang lengkap, perlu mengambil pendekatan yang bersifat ‘mendamaikan’. Namun, mestilah dalam kerangka ketinggian serta kesempurnaan Islam sebagai agama samawi yang terakhir.

Juga dilihat, yang berharta makin begitu terpisah dengan mereka yang tidak berharta dan hidup dalam serba kedaifan. Seolah-olah wujudnya ‘tembok pemisah’ yang menghalang terlaksananya semangat bertolongan ke arah kebaikan (taawun ala birri wa taqwa), sehingga yang daif terus dalam kedaifan, yang kaya terus kaya raya.

Juga menyedihkan, yang berkuasa semakin angkuh dengan kuasa yang dimiliki, sehingga ia sanggup digunakan sewenang-wenangnya demi kepentingan diri dan kaum kerabatnya. Amalan rasuah dan penipuan semakin begitu melekat dalam kehidupan. Maruah diri sudah dinilai dengan harta dan wang ringgit! Begitu juga dengan budaya ‘saman menyaman’ di mahkamah dan ‘sumpah laknat’ di rumah-rumah ALLAH dijadikan senjata ampuh untuk mempertahankan antara yang hak dan batil.

Juga pada mereka yang berilmu, mulai zahir nilai takburnya dan rasa kehebatan diri terhadap ilmu dan kepakaran yang dimiliki, sehingga lunturnya semangat ‘balighu anni walau ayah’ (sampaikan daripadaku walaupun sepotong ayat) dikalangan umat. Jikapun ada, habuan lebih diutamakan dan soal ‘amanah ilmu’ dikemudiankan!

Inalillahi wainna ilaihi raajiun…inilah antara ‘mehnah besar pasca merdeka’ yang jika diamati sebenarnya  berpunca daripada ‘hati-hati yang tidak merdeka’. Walaupun secara zahirnya, kita sudah lama merdeka!

Merdeka hati sebenarnya amat signifikan dengan kehidupan kita seharian. Yang membawa kesan yang begitu besar kepada seluruh kehidupan kita di dunia ini dan di Akhirat kelak. Sungguhpun begitu, ramai yang terlepas pandang dan tidak melihat ia sebagai hakikat pencetus dan pengukuh semangat serta hasil kemerdekaan yang kita nikmati hari ini.

Secara simboliknya, Rasulullah SAW mengibaratkan hati sebagai raja kehidupan. Manakala, seluruh anggota badan dianggap sebagai rakyat yang pasti akur kepada suruhannya. Begitu juga, Baginda meletakkan hati sebagai punca kemaksiatan diri seseorang terhadap ALLAH. Hati adalah tempat jatuhnya pandangan ALLAH, tidak sebagaimana ‘jasad’ yang menjadi tempat jatuhnya pandangan manusia. Jika baik hatinya, maka baiklah penilaian dan tindakannya, jika jahat hatinya, maka jahatlah penilaian dan tindakannya.

Hati yang merdeka perlu mempunyai 4 sifat asas yang utama iaitu rabbani (bertuhan), akhlaqi (berakhlak), insani (manusiawi) dan wasati (seimbang). Jika keempat-empat sifat ini dirangkum bersama, InsyaAllah, kita akan dapat menikmati sebuah kehidupan yang benar-benar merdeka bukan setakat di dunia, bahkan apa yang lebih penting kemerdekaan di Akhirat kelak.

Hati yang rabbani sentiasa meletakkan segala-galanya kerana ALLAH di sepanjang kehidupannya di dunia, samada ketika suka dan duka. ‘Habluminallah’ (hubungan dengan ALLAH) akan sentiasa diperkukuhkan. Dan, setiap perancangan, perlaksanaan dan matlamat akhir setiap ikhtiarnya, akan disandarkan sepenuhnya kepada ALLAH. Ini bertepatan dengan firman ALLAH SWT yang bermaksud:

“Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di setiap penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezeki-Nya. Dan, hanya kepada-Nyalah kamu (kembali setelah) dibangkitkan” (Surah al-Mulk : 15)

Penyerahan diri kepada manusia hanya akan meyebabkan hati menjadi kecewa dan gundah gulana serta hilang nikmat ketenangan, terutama jika apa yang dihajati tidak kesampaian. Ini kerana, keupayaan sifat adil manusia begitu terbatas, maka tidak ia akan mampu memberikan keadilan yang hakiki kepada semua pihak. Dan apa yang pasti, segelintir atau sebahagian terpaksa dikorbankan. Namun, tidak sepertimana keadilan ALLAH, ini kerana ruang lingkup keadilan-Nya sedikitpun tidak terbatas. Dengan itu, setiap makhluk pasti akan merasainya berdasarkan kepada ikhitiar masing-masing. Maka tidak perlu timbul soal zalim menzalimi antara satu sama lain, kerana fokusnya adalah ‘keadilan rabbani’, bukannya ‘keadilan manusiawi’.

Hati yang akhlaqi terbit daripada hati yang rabbani yang akan sentiasa terlekat padanya sifat-sifat mahmudah (sifat-sifat yang baik) dan terhindar daripada sifat-sifat mazmumah (sifat-sifat yang keji). Bertepatan dengan peranan hati sebagai raja kehidupan, pengaruh sifat-sifat mahmudah ini akan dilangsungkan kepada seluruh anggota badan kita. Natijahnya, agar lahirlah penilaian dan tindakan yang baik dalam konteks dan peranan masing-masing. Seorang penjawat awam contohnya, dia akan sentiasa melaksanakan amanahnya dengan sebaik mungkin tanpa terjerat dengan perkara-perkara yang tidak baik seperti rasuah, penipuan, diskriminasi, konspirasi dan sebagainya. Begitu juga, seorang ahli politik akan sentiasa berpolitik secara ‘intergriti’ bukannya semata-mata kerana ‘undi’. Justeru, tiada lagi budaya politik wang, sakit menyakiti antara satu sama lain, cantas mencantas sesama sendiri, fitnah-memfitnah. penipuan dan sebagainya. Begitu juga dalam konteks hubungan kejiranan yang semakin ditinggalkan pada hari ini. Dengan adanya sifat mahmudah ini, keakraban jiran akan menjadi lebih menusuk dan sikap bertolongan akan terus menjadi amalan. Hasilnya, akan lahirlah sebuah komuniti kejiranan yang aman damai serta bebas daripada ancaman yang tidak sihat seperti fitnah mefitnah, berprasangka buruk, kecurian dan sebagainya. Dan, hak-hak jiran akan sentiasa terpelihara.

Hati yang insani pula akan sentiasa menyuburkan semangat ‘habluminannas’ (hubungan sesama manusia) dengan mengeratkan hubungan silaturrahim secara istiqamah dan ikhlas.  Ini sejajar dengan saranan ALLAH SWT bahawa setiap mereka yang beriman adalah bersaudara dan keakrabannya ibarat ‘cubit peha kiri, peha kananpun akan turut terasa’. Dengan itu, segala sifat mazmumah seperti hasad dengki, angkuh dan sombong, memperkecilkan orang lain dan sebagainya perlulah dipadamkan dalam hati sepenuhnya. Jangan biarkan ia terbit walaupun sedetik! Dengan suburnya sifat insani ini, budi pekerti akan sentiasa dijaga tatkala berhubungan, kerana dibimbangi akan menyakiti hati. Begitu juga, biar apapun ujian, ia tidak mudah diganggu gugat dengan api fitnah dan adu domba yang dilemparkan. Akhirnya, seluruh umat dapat hidup dalam suasana yang aman damai dan ‘merdeka’ dalam erti kata yang sebenar.

Akhir sekali, hati yang wasati iaitu, hati yang sentiasa meletakkan kesederhanaan (wasatiyyah) dalam setiap timbang tara kehidupan, samada ketika beribadah mahupun bermuamalah. Hati yang terpahat dengan kesederhaan akan mendidik diri agar sentiasa menikmati kehidupan ini dengan penuh rasa kesykuran serta menerima nikmat yang dimiliki seadanya. Terlalu ghairah mendambakan apa yang tiada telah menyebabkan tercetusnya pelbagai konflik dalam kehidupan. Mereka yang kaya akan sentiasa mencari jalan untuk menambah kekayaan mereka walaupun dengan cara yang salah. Begitu juga mereka yang berkuasa akan terus merasa ‘tamak’ dengan kuasa yang ada dan mencari pelbagai ‘jalan’ dan ‘helah’ untuk terus kekal berkuasa sehingga ‘matlamat difatwakan untuk menghalakan cara’. Bagi masyarakat khalayak pula, masing-masing berlumba-lumba mendekati mereka yang dianggap dapat memberikan ‘habuan’ yang lumayan, sehingga ukhuwah menjadi bermusim dan bersebab. Hasilnya, kehidupan masyarakat dan umat menjadi porak poranda dan akhirnya akan membuka ruang kemusnahan umat kelak.

Justeru, tidak bermakna kemerdekaan yang kita nikmati pada hari ini jika hati kita tidak benar-benar merdeka. Percayalah, tanpa kemerdekaan hati akan terbukalah ruang dan peluang umat dan Negara kita di jajah kembali. Ayuh! kita semarakkan 'merdeka hati' ini bersama-sama demi Islam dan tanahair yang tercinta ini. Allahuakbar!!

Wassalam

Friday, May 6, 2011

Pak Hamka, "Jangan Merosakkan Perhubungan"

Alhamdulillah syukur pada hadrat ALLAH SWT kerana masih diberikan kudrat yang tidak ternilai ini. 

Ketika membelek-belek beberapa rujukan untuk menyempurnakan tugasan berkenaan dengan 'ukhuwah dalam konteks ekonomi', tersentuh dengan coretan Pak Hamka dalam buku karangannya, iaitu 'Falsafah Hidup'. 

Dalam salah satu para, Pak Hamka menyebut 'Jangan merosakkan hubungan'. Dimulakan para tersebut dengan petikan dua ayat daripada Surah al-Hujurat, ayat ke-11 dan 12, di mana ALLAH SWT berfirman yang maksudnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah satu kaum memperolok-olokkan kaum yang lain, kerana boleh jadi mereka lebih baik (daripada mereka yang memperolok-olokkan), dan janganlah perempuan-perempuan memperolok-olokkan perempuan yang lain, kerana boleh jadi mereka lebih (daripada mereka yang memperolok-olokkan). Janganlah kamu saling mencela antara satu sama lain, dan janganlah kamu memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah yang buruk (fasik) setelah beriman. Sesiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim" (ayat ke 11)

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain, dan janganlah ada diantara kamu mengumpat sebahagian yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada ALLAH SWT, sesungguhnya ALLAH SWT maha menerima taubat dan maha peyanyang" (ayat ke 12)

Berdasarkan rungkaian ayat-ayat di atas, Pak Hakma menggariskan 6 adab utama dalam melaksanakan hubungan sosial sesama manusia, iaitu:

  • Tidak mencela, menghina dan memandang rendah antara satu sama lain.
  • Tidak bermain dengan api fitnah
  • Tidak memilih gelaran yang buruk sesama sendiri
  • Menyingkirkan prasangka buruk terhadap orang lain dalam diri
  • Menjauhi daripada orang yang sentiasa berprasangka buruk terhadap orang lain
  • Tidak membicarakan atau mendedahkan aib orang lain.

Semoga kita semua mendapat iktibar daripada ingatan ALLAH SWT dan lanjutan daripada Pak Hamka. Wallahu'alam.

Saturday, December 18, 2010

Jika Syurga Dambaan

Assalamualaikum wrt wbt, bersua lagi untuk ke sekelian kalinya.

Hari ini selepas menunaikan solat maghrib di Masjid Negara dan solat isya' di Masjid Bukit Aman, saya langsung ke Rawang atas sedikit urusan yang ingin disempurnakan.

Keadaan hujan renyai-renyai tidak mengizinkan perjalanan selancar biasa. Sungguhpun jam sudah menghampiri 9.30 malam, masih banyak kereta yang berderetan di atas jalanan. Masing-masing seolah-olah berkejaran sesama sendiri. Seakan ingin seberapa segera untuk sampai ke destinasi dan lari daripada hiruk-pikuk kesesakan trafik Bandaraya Kuala Lumpur yang entah bila akan menemui titik noktahnya.

Dengan pandangan samar melalui tingkap kereta yang dibasahi sedikit hujan renyai, masing-masing kelihatan begitu penat dan tidak bermaya. Mana tidaknya, sudah seharian suntuk berkejaran mencari rezeki untuk memenuhi tangunggjawab diri dan keluarga. Anak-anak dan 'bibit' di rumah barangkali tidak sabar-sabar menanti kepulangan 'ibu dan bapak'. Mana tidaknya, berpagian seawal sesudah subuh anak-anak sudah ditinggalkan bersama bibit dan pulangnya pula pada lewat malam. Bagi anak-anak mungkin ingin melihat dan merasai apakah habuan yang dibawa pada hari ini. Manakala bagi 'bibit' mungkin ingin seberapa segera menyelesaikan tugas berbayar 'mendidik dan mengasuh' anak majikannya.

Seperti biasa, fikiran saya melayang-layang sekadar memenuhi 'kekosongan masa' dan menghilangkan rasa mengantuk dalam deretan kesesakan trafik yang berlanjutan hampir 1 jam lamanya.
Minda dan hati saya terdetik. Apakah yang sebenarnya kita dambakan dalam hidup ini? Sehingga kita sanggup melakukan apa saja demi memenuhi dambaan kita itu? Apakah dambaan kemewahan dunia yang kita cari? Apakah dambaan kesenangan Akhirat yang kita cari? Atau kedua-duanya sekali?

Saya tercari-cari apakah dambaan yang paling sesuai untuk dihujahkan dalam kehidupan. Lantas teringat kepada pesanan Baginda Rasulullah (SAW) bahawa 'dunia ini adalah jambatan Akhirat'. Terus minda saya mengungkapkan 'dambaan syurga' sebenarnya yang kita cari.

Lantaran itu, terungkaplah juga bait kata-kata berikut yang saya istilahkan sebagai 'Jika Syurga Dambaan'...

Jika syurga menjadi dambaan,
            Lepasi Siratul Mustaqim dengan iman...
Jika ingin lepasi Siratul Mustaqim dengan iman,
            Lepasi jambatan dunia juga dengan iman...
Jika ingin lepasi  jambatan dunia dengan iman,
            Hiduplah dalam keredhaan Tuhan...
Jika ingin hidup dalam keredhaan Tuhan,
            Damaikanlah hidup dalam keberkatan...
Jika ingin damaikan hidup dalam keberkatan,
            Carilah rezeki yang halal dalam kehidupan...
Jika ingin cari rezeki yang halal dalam kehidupan,
            Jauhi sumber yang haram...
            Begitu juga yang subhah...
Jika ingin jauhi sumber yang haram,
            Jauhilah sesuatu yang jelas haram.
Jika ingin jauhi sumber yang subhah,
            Jauhilah sesuatu yang tidah sahih...
Jika riba kita benamkan,
            Tipu muslihat kita ketepikan...
            Ketamakan kita leraikan...
            Keborosan kita  hentikan...
            Dan, muamalat menjadi pilihan...
Kejujuran menjadi amalan...
Qanaah menjadi pegangan...
Kesederhaan menjadi peneman...
InsyaALLAH...Syurga bukan lagi dambaan.

Thursday, December 16, 2010

Ilmu Warisan Anbiya'

Assalamualakium wrt wbt.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat-Nya yang tidak terhingga, kerana memberikan sedikit ruang dan kesempatan untuk terus mencoret sesuatu di blog ini bagi memugarkan 'agenda ekonomi dakwah' kepada diri dan umat.

Dua tiga minggu kebelakangan ini saya agar sedikit 'sepi', sibuk dengan pelbagai komitmen peribadi yang harus disempurnakan terlebih dahulu.

Tanggal 25 November 2010 lalu, saya menerima kelahiran putera ketiga, Ajmal Hasif. Satu ujian yang cukup yang cukup getir buat isteri tersayang, terpaksa 'bertarung nyawa' selama hampir 11 jam, demi melahirkan seorang 'zuriat' yang bakal meneruskan misi besar dakwah baginda Rasulullah (SAW).

Namun, atas berkat doa dan sokongan yang tidak putus-putus drpd keluarga dan rakan-rakan, semuanya dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin sekirar jam 8.11 pagi.

Situasi ini juga adalah satu ujian yang cukup getir buat saya, dalam keadaan kesibukan mebuat persediaan 'final eaxm', yang juga pada saya begitu penting khususnya dalam melengkapkan 'perjuangan & pertarungan ilmu' ke arah memartabatkan kewangan Islam sebagai alternatif terbaik pada umat. InsyaAllah...

Apabila menyebut tentang 'perjuangan & pertarungan ilmu' ini, tak kira apa jua bidang selagi mana ilmu itu bermanafaat kepada diri, agama, dan umat samada secara langsung atau tidak. Ia tetap akan mendapat 'habuan & ganjaran' daripada Allah SWT. Tambahan lagi, jika ia bersandarkan niat yang ikhlas kerana-Nya, Dia akan menganugerahkan 'tingkatan ibadah yang paling tinggi' khususnya kepada mereka yang mendalami ilmu Syariat.

Abu Darda' (RA) pernah mendengar baginda Rasulullah (SAW) membicarakan tentang kelebihan mereka yang begitu teruja mendalami ilmu. Sabda baginda Rasulullah (SAW) yang mafhumnya:

"Tidak ada seorang hamba yang keluar mencari ilmu kecuali para malaikat meletakkan sayap-sayapnya untuknya, dan dia menempuh jalan menuju ke syurga. Orang yang berilmu dipohon keampunan oleh semua makhluk yang ada di langgit dan di bumi termasuklah ikan paus di lautan. Keutamaan orang yang berilmu dibandingkan dengan orang yang suka beribadah bagaikan keutamaan bulan pada malam purnama dibanding dengan seluruh bintang. Ulama adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu..."

Ilmu adalah warisan yang cukup bernilai buat anak-anak kita. Jika harta yang diwarisi tanpa bertatahkan warisan ilmu, ia tidak akan berkekalan. Harta yang dimiliki pasti akan kehabisan, walau sebanyak manapun yang diwarisi.

Ilmu yang bermanafaat akan terus menyubur dalam kehidupan kita. Ia bukan setakat menjadi 'sumber rezeki' kita di dunia, malah akan menjadi 'sumber pahala' ketika di Akhirat kelak.

Senjata kehidupan Akhirat adalah pahala yang kita kumpulkan selama hidup di dunia ini. Kehidupan akhirat tanpa pahala, ibarat kita memasuki hutan yang penuh dengan binatang buas tanpa sebarang senjata! Cuba renungkan, bagaimana keadaan kita ketika itu, apabila kita dikelilingi oleh binatang-binatang buas seperti harimau, singa, seringala dan sebaagainya yang hanya menanti saat dan ketika untuk membaham kita, sedangkan pada tangan kita 'kosong' tidak punyai apa-apa. Hanya berbekalkan kehebatan diri yang sudah menjadi lipatan sejarah.

Mencari ilmu tidak ada titik noktahnya. Bukan bermakna kita sudah memiliki PHD, kita boleh menitik noktahkan langkah kaki kita untuk mencari ilmu. Ia perlu diteruskan sampai bila-bila, hinggalah ke hujung nyawa. Baginda Rasulullah (SAW) ada menegaskan bahawa agenda ilmu bermula daripada 'alam buaian' ke 'alam liang lahad'. Ini satu gambaran bahawa mencari ilmu adalah agenda sepanjang hayat. Bukan agenda tahunan atau yang bermusim sifatnya.

Doa saya, agar kita tidak akan pernah berhenti untuk mencari dan mendalami ilmu. Carilah, dalamilah berdasarkan kemampuan serta keupayaan masing-masing. Tidak bermakna kita perlu hadir ke kelas-kelas formal dengan anugerah sijil-sijil tertentu. Setidak-tidaknya, belajarlah daripada kehidupan kita sendiri...

InsyaAllah, moga kita bertemu lagi.

Monday, December 6, 2010

Pelancaran Blog Al-Iqtisadiyyah Sempena Maal Hijrah 1432

Salam Maal Hijrah 1432. Semoga hijrah kita pada kali ini akan lebih diberkati dan diredhai-Nya. InsyaAllah.
Bersempena dgn kehadiran 1 Muharam, permulaan tahun baru bagi seluruh umat Islam di dunia, saya mengambil kesempatan ini untuk melancarkan 'Al-Iqtisadiyyah'. Iaitu satu blog yg akan menelaah, mengupas dan membicara isu-isu kewangan Islam secara 'ilmi' dan praktikal. 

InsyaAllah, berbekalkan sedikit sebanyak ilmu dan pengalaman serta sokongan daripada rakan-rakan yg turut berkecimpung secara langsung dlm bidang kewangan, akan membugarkan dan merakyatkan aspek kewangan Islam, bukan setakat dikalangan umat Islam, bahkan juga dikalangan mereka yg bukan Islam. 

Harapan dan hasrat saya, agar keindahan dan kecantikan Islam akan terus meresap dalam jiwa setiap insan dan akan dikagumi sebagai alternatif terbaik kepada sistem yg sedia ada.

Namun, ianya bukanlah satu usaha yg mudah tanpa komitmen dan disiplin diri yg tinggi. InsyaAllah, berbekalkan semangat untuk menyumbang kpd Islam dan umat, segala benteng 'kepayahan' akan tetap diharungi dgn sabar. Semoga usaha yg kerdil ini, akan menambah baik persediaan diri utk menghadapi realiti Akhirat kelak.

Sebagai permulaan, saya akan menelaah, mengupas dan membicara isu-isu kewangan Islam berdasarkan buku 'Ensiklopedi Fiqih Muamalah Dalam Pandangan 4 Mazhab', karangan Prof. Dr. Abdullah bin Muhammad Ath-Thayyar, Prof. Dr. Abdullah bin Muhammad Al-Muthlaq dan Dr. Muhammad bin Ibrahim.

Semoga bertemu lagi. Wallahu'alm.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Host