Menyoroti
kembali coretan yang telah ditulis 3 tahun yang lalu sebagai pemugar
muhasabah diri, tatkala Ramadhan yang makin beranjak pergi meninggalkan
kita...diri ini tidak pasti samada masih berkesempatan untuk bersuanya
lagi pada kali yang berikutnya.
Syurga Dambaan
"Keadaan hujan renyai-renyai tidak mengizinkan perjalanan selancar
biasa. Sungguhpun jam sudah menghampiri 9.30 malam, masih banyak
kereta yang berderetan di atas jalanan. Masing-masing seolah-olah
berkejaran sesama sendiri. Seakan ingin seberapa segera untuk sampai ke
destinasi dan lari daripada hiruk-pikuk kesesakan trafik Bandaraya Kuala
Lumpur yang entah bila akan menemui titik noktahnya.
Dengan
pandangan samar melalui tingkap kereta yang dibasahi sedikit hujan
renyai, masing-masing kelihatan begitu penat dan tidak bermaya. Mana
tidaknya, sudah seharian suntuk berkejaran mencari rezeki untuk memenuhi
tangunggjawab diri dan keluarga.
Anak-anak dan 'bibit' di
rumah barangkali tidak sabar-sabar menanti kepulangan 'ibu dan bapak'.
Mana tidaknya, berpagian seawal sesudah subuh anak-anak sudah
ditinggalkan bersama bibit dan pulangnya pula pada lewat malam. Bagi
anak-anak mungkin ingin melihat dan merasai apakah habuan yang dibawa
pada hari ini. Manakala bagi 'bibit' mungkin ingin seberapa segera
menyelesaikan tugas berbayar 'mendidik dan mengasuh' anak majikannya.
Seperti biasa, fikiran saya melayang-layang sekadar memenuhi
'kekosongan masa' dan menghilangkan rasa mengantuk dalam deretan
kesesakan trafik yang berlanjutan hampir 1 jam lamanya.
Minda
dan hati saya terdetik. Apakah yang sebenarnya kita dambakan dalam hidup
ini? Sehingga kita sanggup melakukan apa saja demi memenuhi dambaan
kita itu? Apakah dambaan kemewahan dunia yang kita cari? Apakah dambaan
kesenangan Akhirat yang kita cari? Atau kedua-duanya sekali?
Saya tercari-cari apakah dambaan yang paling sesuai untuk dihujahkan
dalam kehidupan. Lantas teringat kepada pesanan Baginda Rasulullah (SAW)
bahawa 'dunia ini adalah jambatan Akhirat'. Terus minda saya
mengungkapkan 'dambaan syurga' sebenarnya yang kita cari.
Lantaran itu, terungkaplah juga bait kata-kata berikut yang saya istilahkan sebagai 'Jika Syurga Dambaan'...
Jika syurga menjadi dambaan,
Lepasi Siratul Mustaqim dengan iman...
Jika ingin lepasi Siratul Mustaqim dengan iman,
Lepasi jambatan dunia juga dengan iman...
Jika ingin lepasi jambatan dunia dengan iman,
Hiduplah dalam keredhaan Tuhan...
Jika ingin hidup dalam keredhaan Tuhan,
Damaikanlah hidup dalam keberkatan...
Jika ingin damaikan hidup dalam keberkatan,
Carilah rezeki yang halal dalam kehidupan...
Jika ingin cari rezeki yang halal dalam kehidupan,
Jauhi sumber yang haram...
Begitu juga yang subhah...
Jika ingin jauhi sumber yang haram,
Jauhilah sesuatu yang jelas haram.
Jika ingin jauhi sumber yang subhah,
Jauhilah sesuatu yang tidah sahih...
Jika riba kita benamkan,
Tipu muslihat dapat kita ketepikan...
Ketamakan kita leraikan...
Keborosan kita hentikan...
Dan, jika muamalat secara Islam menjadi pilihan...
Kejujuran menjadi amalan...
Qanaah menjadi pegangan...
Kesederhaan menjadi peneman...
InsyaALLAH...Syurga bukan lagi dambaan"
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment