Madrasah Ramadhan akan berlalu
pergi meninggalkan kita. Belum pasti samada kita masih berkesempatan menemuinya
lagi pada tahun-tahun yang mendatang untuk meraih gedung pahala yang berlipat ganda
yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada pencinta-pencinta amal kebaikan.
Sungguhpun begitu, berakhirnya bulan
Ramadhan tidak bermakna berakhirnya juga segala amal kebaikan yang telah kita
lakukan di sepanjang bulan tersebut, termasuklah amalan sedekah kepada golongan
yang daif dan tidak berkemampuan.
Bahkan, ia perlu diteruskan disepanjang tahun kerana hikmah dan
kebaikannya amat begitu besar kepada prestasi dan pencapaian ekonomi umat
secara keseluruhannya. Lantaran itulah, Islam meletakkan tangan yang memberi
adalah lebih aula daripada tangan yang menerima. Sabda Rasulullah SAW dalam satu
hadis yang bermaksud:
“Tangan yang di atas adalah lebih baik daripada tangan yang
di bawah”
Secara teori dan praktikal ekonomi,
amalan bersedekah akan meningkatkan pendapatan boleh guna (disposable income) isi rumah yang seterusnya diterjemahkan
sebagai kuasa beli (purchasing power)
yang boleh digunakan untuk membeli barangan dan perkhidmatan dalam pasaran.
Barangan dan perkhidmatan yang dibeli kemudian dapat digunakan untuk memenuhi
fitrah keperluan dan kehendak kehidupan, yang seterusnya menjadi antara faktor
kesempurnaan taraf kehidupan diri dan keluarga.
Memiliki taraf hidup yang baik akan
membuka ruang dan peluang yang lebih baik untuk makin mendekatkan diri kepada
Allah SWT. Keadaan diri dan keluarga yang hidup dalam serba kekurangan akan meminimakan
fokus dalam banyak perkara, termasuklah fokus terhadap Allah SWT. Tanpa fokus
yang baik kepada-Nya, kehidupan secara keseluruhannya pasti menjadi tidak menentu
akibat jiwa yang seringkali berada dalam keadaan bercelaru.
Dari sudut ekonomi, peningkatan
kuasa beli akan turut meningkatkan permintaan terhadap barangan dan
perkhidmatan dalam pasaran. Meningkatnya permintaan akan seterusnya
meningkatkan penawaran yang direalisasikan melalui peningkatan
aktiviti-aktiviti pengeluaran pelbagai
bidang dalam ekonomi seperti pertanian, penternakan, perikanan, perbankan,
pendidikan, pengangkutan dan sebagainya.
Peningkatan dalam aktiviti-aktiviti
pengeluaran akan memberikan impak positif kepada ekonomi secara keseluruhannya,
antaranya:
1.
Meningkatkan pelbagai peluang pekerjaan
2.
Meningkatkan jumlah pendapatan kasar (gross income) dan pendapatan boleh guna
(disposable income).
3.
Meningkatkan jumlah simpanan dan pelaburan
4.
Meningkatkan jumlah kutipan zakat pendapatan dan perniagaan .
5.
Meningkatkan kutipan cukai pendapatan dan korporat kerajaan.
Peningkatan aktiviti-aktiviti
pengeluaran secara berterusan akan seterusnya memberikan kesan kepada pertumbuhan
dan pembangunan ekonomi secara lebih mapan kepada umat dan Negara. Walaubagaimanapun,
untuk merealisasikan matlamat tersebut, setiap sedekah yang dihulurkan perlulah
bersifat ‘memberi pancing, bukannya memberikan ikan’. Agar mereka tidak
terus menjadi pasif dan hilang motivasi bekerja, yang akhirnya menjadi penerima
sedekah selama-lamanya.
Hakikatnya, kesan berganda
(multiplier effect) daripada sedekah ini ada termaktub dalam al-Qur’an dengan
kiasan sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai dan setiap tangkai
mengandungi 100 biji.
1
biji X 7 tangkai X 100 biji = 700 biji
(10%
X 100 biji) X 7 tangkai X 100 biji = 7, 000 biji
Dalam
hal ini, Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 261 yang bermaksud:
“Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah
seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada
seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki dan Allah
Maha Luas, Maha Mengetahui”
Sebab itulah, adalah lebih baik
memberikan sedekah dalam bentuk peluang pekerjaan, kepakaran dan kemahiran, modal
perniagaan ataupun peralatan tertentu seperti pembajak, alatan memasak dll berbanding
memberikan sejumlah tunai sekaligus kepada mereka. Ini kerana, wujud
kecenderungan tunai tersebut akan digunakan untuk tujuan yang tidak produktif,
melainkan mereka yang memiliki keuzuran diri dari segi kesihatan dan kecacatan
anggota badan yang menghalang mereka untuk bekerja secara normal.
Dipihak pemberi sedekah pula, mereka perlulah benar-benar ikhlas
semata-mata untuk mencari redha Allah SWT. Bukannya mengharapkan timbal balas
daripada penerima. Apatah lagi, dengan
menjadikannya sebagai ‘marketing tools’ untuk melipat gandakan keuntungan
perniagaan.
Sewajarnya juga, ia perlu berlangsung dalam keadaan ‘tangan kanan yang
member, tangan kiri langsung tidak mengetahuinya’ agar tidak hilang hikmah dan
kesan yang sepatutnya dapat dirasai kelak. Allah SWT berfirman dalam Surah
al-Baqarah, ayat 265 yang bermaksud:
“Dan perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya untuk
mencari redha Allah dan untuk memperteguh jiwa mereka, seperti sebuah kebun
yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan yang lebat, maka kebun
itu menghasilkan buah-buahan dua kali ganda. Jika hujan lebat tidak
menyiraminya, maka embun (pun memadai). Allah melihat apa yang kamu kerjakan”
assalamualaikum, boleh tanya.. tahun bila ya artikel ni diterbit?
ReplyDelete