Berikut penjelasan YaPEIM oleh Ketua
Pengarah/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YaPEIM.
Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia
(YaPEIM) adalah sebuah institusi yang ditubuhkan di bawah Akta Pemegang Amanah
1952 pada 13 Oktober 1976 sebagai instutusi yang berorentasikan ekonomi dan
kebajikan.
Salah satu program pembangunan ekonomi Islam yang
paling berjaya ialah Program Ar Rahnu YaPEIM yang kini telah dilaksanakan
melalui 202 buah cawangan di seluruh negara.
Malah YaPEIM adalah pelopor dan peneraju dunia dalam
memperkenalkan instrumen Ar Rahnu sejak 1993.
Program Ar Rahnu terbukti telah menjana
keuntungan yang amat memberangsangkan. Tahun ini sahaja, YaPEIM berjaya menjana
pendapatan mencecah RM83 juta dari aktiviti Ar Rahnu. Pendapatan ini telah
meningkat sebanyak RM11 juta berbanding RM72 juta tahun 2014.
Selain daripada Ar-Rahnu, YaPEIM kini mula
terlibat secara aktif di dalam bidang perniagaan yang lain seperti pasaraya,
perniagaan berasaskan emas, bidang keselamatan (termasuk perlindungan takaful
dan CCMS) dan pelaburan hartanah. Ketika ini YaPEIM sedang menggerakkan Tabung
Ibadah Qurban dan meneliti peluang untuk menceburi di bidang penternakan.
Melalui pelbagai pendekatan ekonomi yang
dilaksanakan ini, Rezab Pendapatan YaPEIM terus bertambah dengan Aset Bersih
sebanyak RM138 juta pada tahun 2014 dan dijangka bertambah menjadi RM160 juta
sehingga Disember tahun 2015. Berdasarkan Laporan Kewangan 2014, jumlah aset
keseluruhan YaPEIM berjumlah RM1.034 bilion.
YaPEIM berjaya menjana pendapatan sendiri tanpa
perlu bergantung kepada bantuan (geran) kerajaan dalam pengurusan dan
operasinya.
Hasil dari kejayaan dan keuntungan yang dijana
melalui pelbagai aktiviti perniagaan pembangunan ekonomi YaPEIM memperkenalkan
pelbagai program kebajikan seperti Skim Kecemerlangan Pelajar Nasional – SANTUN
(melibatkan 5,200 orang pelajar yang cemerlang termasuk pelajar dari keluarga
miskin), Program Sinar Kasih dan Skim Khairat Nasional (dengan kumpulan sasar
200 ribu keluarga yang berdaftar di bawah e-Kasih), Program Pembangunan
Komuniti dan Program Pembangunan Keusahawanan (mencecah 120,000 orang pada
penghujung tahun 2015). Untuk rekod, YaPEIM juga merupakan penyedia dana dan
pelopor utama bersama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi Skim
Pembiayaan Ikhtiar Malaysia di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebelum
ianya diambil alih oleh Kerajaan.
Seiring dengan pendekatan YaPEIM yang ingin
berkongsi dengan masyarakat dalam melaksanakan pelbagai program kebajikan,
YaPEIM turut membuka ruang kepada masyarakat untuk menyumbang melalui skim-skim
yang diperkenalkan termasuk melalui Skim Potongan Gaji Bulanan.
YaPEIM sentiasa berpegang kepada prinsip Syariah
dan nilai integriti yang tinggi dalam urusan pengoperasiannya
Amat malang bagi umat Islam, walaupun YaPEIM
telah menempa pelbagai kejayaan dan telah menebar bakti sejak mula beroperasi,
kini YaPEIM terpaksa berdepan dengan pelbagai pertuduhan jahat daripada Akmal
bin Nasir, Ketua Cabang PKR Johor Bahru merangkap Pengarah Pusat Pemantauan dan
Pendedahan Maklumat Kebangsaan [National Oversight and Whistleblowers (NOW)]
yang bertujuan menjatuhkan reputasi YaPEIM.
Akmal bin Nasir pada 9 November 2015 membuat satu
pertuduhan bahawa YaPEIM telah membelanjakan wang sejumlah RM223,000.00 untuk
kempen pilihan raya kecil di Parlimen Rompin.
Kemudiannya pada 11 November 2015, Akmal bin
Nasir membuat pertuduhan bahawa Presiden dan Timbalan Presiden serta
keluarganya menerima pendapatan keseluruhan sebanyak RM154,700 sebulan.
Pada 13 November 2015, Akmal bin Nasir
mengeluarkan lagi kenyataan bahawa terdapat satu skandal melibatkan YaPEIM di
mana wang sebanyak RM410,978.56 yang sepatutnya digunakan untuk amal jariah
telah disalahgunakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Y.B Dato’ Seri
Jamil Khir Baharom. Akmal bin Nasir menambah bahawa walaupun perjalanan
tersebut dikatakan untuk tujuan “Pemantapan dan Pemerkasaan Kelab Santun
YaPEIM”, berdasarkan perbelanjaan-perbelanjaan yang dicaj dan dibayar oleh
YaPEIM adalah bersifat sukaria dan langsung tiada unsur amal jariah. Beliau
turut menyatakan bahawa pembayaran dibuat menggunakan duit yang dikhususkan
untuk kegunaan anak yatim dan miskin.
Namun keesokan harinya pada 14 November 2015
beliau tampil membuat pembetulan jumlah yang dibelanjakan iaitu sebanyak
RM590,000.00 yang dibelanjakan di dalam program di Amerika Syarikat dan
mendakwa hanya melibatkan 100 orang peserta sahaja.
Terbaru pada 16 November 2015 petang, Akmal Nasir
membuat pertuduhan bahawa YaPEIM membelanjakan sebanyak RM290,000.00 bagi
penganjuran kursus perkahwinan di Paris yang dirasmikan oleh Dato’ Seri Jamil
Khir Baharom. Beliau membuat tuduhan bahawa program tersebut tidak mencerminkan
matlamat kebajikan dan amal jariah.
YaPEIM memandang serius segala pertuduhan yang
dilemparkan oleh Akmal Bin Nasir kerana ianya telah menyebabkan krisis
keyakinan dikalangan penyumbang dan meletakkan YaPEIM di dalam pandangan umum
yang sangat buruk. Ianya turut memberi kesan negatif dalam urusan perniagaan
YaPEIM. Tuduhan penyalahgunaan dan penyelewangan dana Amal Jariah (Skim
Potongan Gaji) serta pembaziran adalah tuduhan berat yang berniat jahat dan
bermotifkan politik. Lebih mendukacitakan ia telah diterima oleh sebahagian
daripada masyarakat di dalam dan luar negara berdasarkan maklumat yang
terkandung dalam dokumen dalaman YaPEIM yang dicuri dan kemudiannya
diputarbelitkan oleh NOW.
YaPEIM dengan ini menyangkal sekeras-kerasnya
segala pertuduhan dan ingin menjelaskan serta menyatakan dengan tegas bahawa:
1 – YaPEIM bukanlah sebuah badan kerajaan. YaPEIM
adalah sebuah perbadanan yang tertakluk kepada Surat Ikatan Amanah yang
berdaftar di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 (selepas ini
dirujuk sebagai “Surat Ikatan”).
2 – Setakat tahun 2014, YaPEIM telah mengeluarkan
sejumlah RM453,089,453.00 bagi tujuan program pembangunan sosio-ekonomi (amal
jariah). Dalam tempoh yang sama jumlah kutipan sumbangan amal jariah YaPEIM
melalui Skim Potongan Gaji (SPG) dan skim-skim lain hanyalah sebanyak
RM334,931,764. Manakala sejumlah RM118,157,689.00 adalah jumlah penambahan dari
Dana Perniagaan YaPEIM bagi pengeluaran amal jariah yang diambil daripada
sumber dana perniagaan YaPEIM.
* Kutipan SPG dan Skim-skim lain RM334,931,764.00
* Dana Perniagaan YaPEIM RM118,157,689.00
* Jumlah Pengeluaran Amal Jariah RM453,089,453.00
3 – Maka tuduhan bahawa YaPEIM menyalahgunakan
atau menyeleweng kutipan duit sumbangan amal jariah daripada para penyumbang di
bawah Skim Potongan Gaji adalah tidak benar sama sekali dan jelas ianya
merupakan satu fitnah jahat yang bertujuan untuk menghakis keyakinan penyumbang
kepada institusi perniagaan Islam seperti YaPEIM.
4 – Atas sebab itu, tidak timbul sebarang isu
kononnya YaPEIM membayar elaun Presiden dan Timbalan Presiden menggunakan duit
sumbangan amal jariah melalui Skim Potongan Gaji. Segala pembayaran gaji, elaun
dan keseluruhan kos operasi ditanggung sepenuhnya melalui dana daripada
aktiviti perniagaan dan perkhidmatan yang dilaksanakan YaPEIM. Lebih penting
sejak awal penubuhan hingga kini YaPEIM diaudit oleh Jabatan Audit Negara.
5 – Presiden dan Timbalan Presiden telah memberi
sumbangan yang besar dan berkesan kepada kemajuan dan perkembangan YaPEIM.
Melalui usaha dan komitmen penuh mereka dan disokong pengurusan dan semua
kakitangan menjadikan Rezab Pendapatan YaPEIM terus bertambah dengan Aset
Bersih sebanyak RM138 juta pada tahun 2014 dan dijangka bertambah menjadi RM160
juta sehingga Disember tahun 2015. Jumlah keseluruhan Aset YaPEIM berjumlah
RM1.034 bilion.
6 – YaPEIM menjalankan perniagaan seakan Syarikat
Berkaitan Kerajaan (GLC) seperti PNB, Tabung Haji dan Felda. Namun bagi jawatan
Presiden, Timbalan Presiden dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah tidak menikmati
pembayaran bonus dan dividen sebagaimana syarikat berkaitan kerajaan atau
institusi korporat yang lain.
7 – Berkenaan perlantikan ahli keluarga Timbalan
Presiden di dalam YaPEIM, ingin dijelaskan bahawa pelantikan mereka telah
dibuat mengikut proses dan prosedur perlantikan yang sah dan tiada peraturan
yang menghalang pelantikan ahli keluarga di dalam YaPEIM. Mereka mula dilantik
di dalam anak syarikat YaPEIM berdasarkan kelayakan dan keperluan yang wujud.
Wan Johan Wan Ismail memiliki ijazah sarjana muda Perancangan, Bangunan dan
Perumahan dan Ijazah sarjana (masters) pengurusan Projek daripada Universiti Sains
Malaysia manakala Tuan Haji Ismail bin Mohd Nasib pula merupakan pemegang
Ijazah Sarjana Kaunseling University of Western Michigan, Amerika Syarikat,
post graduate Diploma Universiti Kebangsaan Malaysia dan Sarjana Muda Sejarah,
Universiti Malaya. Beliau juga merupakan pensyarah Bachelor of Education TESL
Universiti Kebangsaan Malaysia dan jawatan terakhir adalah Pegawai Kebajikan
Pelajar, Chicago, Amerika Syarikat. Mereka juga telah memberikan sumbangan
kepada pembangunan perniagaan YaPEIM.
8 – Setiap aktiviti atau keputusan yang dibuat di
dalam YaPEIM adalah berdasarkan kepada polisi yang telah diluluskan oleh
Lembaga Pemegang Amanah selaras dengan Surat Ikatan. Ahli Lembaga Pemegang
Amanah pula terdiri daripada 12 ahli lembaga dari pelbagai latarbelakang
antaranya akauntan, peguam, bekas mufti, rektor universiti, mantan Timbalan
Naib Canselor, Pegawai Tinggi Kerajaan dan lain-lain. Selain itu YaPEIM turut
dikawal-selia Jawatankuasa Pengawasan Syariah yang sentiasa memantau segala
urusan operasi YaPEIM.
9 – Aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh YaPEIM
adalah bertujuan untuk memenuhi matlamat penubuhan iaitu pembangunan
sosio-ekonomi umat Islam dan kebajikan. YaPEIM telah menjalankan pelbagai
program samada di dalam negara mahupun di luar negara. Berkenaan
program-program yang dijalankan oleh YaPEIM di luar negara ianya merupakan
sebahagian daripada Strategi Lautan Biru bagi menerapkan nilai-nilai kepimpinan
dan keusahawanan di kalangan pelajar-pelajar Malaysia di luar negara selain
memastikan kebajikan mereka diberi perhatian. Program-program yang telah
dirangka juga adalah bertujuan memberikan peluang kepada pelajar-pelajar untuk
berdialog secara terus dengan YB Menteri yang bertanggungjawab mengenai Hal
Ehwal Islam. Sepanjang dialog dan interaksi yang dibuat mereka telah diberikan
kefahaman dan penerangan berkaitan isu-isu kenegaraan, isu-isu semasa hal ehwal
Islam, isu-isu keganasan, LGBT dan lain-lain.
10 – YaPEIM ingin menyangkal tuduhan bahawa YB
Menteri telah hadir ke program-program anjuran YaPEIM di luar negara adalah
untuk bersukaria. YB Menteri telah dijemput oleh YaPEIM bukan sahaja untuk
merasmikan dan terlibat di dalam program-program secara langsung dengan para
pelajar tetapi juga mewakili YaPEIM dalam mengadakan perbincangan dengan pihak
Kedutaan Malaysia dan Education Malaysia yang menjaga secara langsung kebajikan
para pelajar Malaysia di luar negara.
11 – Berdasarkan fakta-fakta di atas amat jelas
sekali bahawa pertuduhan-pertuduhan yang dilemparkan oleh Akmal Bin Nasir dan
NOW adalah tidak berasas sama sekali, berunsur fitnah dan berniat jahat. Ianya
telahpun berjaya menghakis keyakinan para penyumbang dan dengan persepsi serta
pandangan buruk masyarakat dan pelabur terhadap YaPEIM sudah pasti menjejaskan
perniagaan dan pertumbuhan YaPEIM sebagai satu badan yang telah banyak
menyumbang ke arah pembangunan sosio-ekonomi umat Islam.
12 – Tambah memeritkan daripada fitnah ini,
adalah kesan kepada penerima-penerima sumbangan amal jariah YaPEIM yang terdiri
daripada 200,000 keluarga kumpulan sasar Program Sinar Kasih dan Skim Khairat
Nasional, 120,000 usahawan kecil yang terlibat dalam program pembangunan
komuniti dan program pembangunan usahawan serta 5,200 pelajar di bawah Skim
Kecemerlangan Pelajar Nasional (SANTUN).
13 – Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada
semua yang masih mempunyai kepercayaan dan terus menyokong YaPEIM dalam
menjayakan misi membangun sosio-ekonomi umat Islam di negara ini.
14 – YaPEIM dan individu-individu yang
kredibilitinya terjejas teruk dengan fitnah NOW akan mengambil tindakan
undang-undang dalam masa terdekat. YaPEIM juga memohon kerjasama agensi-agensi
penguatkuasaan tertentu bagi menyekat kegiatan jahat NOW mencuri
dokumen-dokumen dalaman YaPEIM dan seterusnya menyebarkan maklumat palsu dan
memutarbelitkan fakta bertujuan memfitnah YB Menteri Di Jabatan Perdana
Menteri, Mejar Jeneral Dato Seri Jamil Khir Baharom, YaPEIM dan
peneraju-peneraju tertinggi YaPEIM.-17/11/2015
No comments:
Post a Comment