Asasnya, Islam tidak memandang
hina terhadap mereka yang begitu bersungguh-sungguh berusaha untuk meraih
pencapaian dunia yang lebih baik. Asalkan ianya terlaksana dalam keadaan
keizinan secara syari’.
Rupa paras zuhud yang dianjurkan
oleh Islam, tidak sesekali menidakkan atau mengharamkan segala aktiviti ekonomi
yang menjurus ke arah kecemerlangan materialisme, agar diri dan umat dapat
hidup dalam keadaan dan ‘tanzim’ kehidupan yang lebih baik dan makmur. Cuma,
apa yang Islam gagaskan agar kita tidak terlalu melampaui sehingga menidakkan
hak dan peranan akhirat dalam kehidupan. Di mana, sekiranya kita berada di dua
titik pertemuan yang memerlukan kita membuat pilihan antara dunia dan akhirat.
Maka, dalam keadaan itu prioritinya adalah akhirat.
Banyak situasi yang berlaku pada
hari ini yang merupakan persimpangan dan dilema kepada mereka yang begitu aktif
dan produktif dalam mencari habuan dunia. Di mana, seringkali urusan akhirat
menjadi pilihan yang kedua, dan barangkali yang terakhir sesudah segala urusan
yang berkaitan dengan mencari habuan dunia selesai. Dan, ada yang lebih
merumitkan dengan hanya menjadikan akhirat sebagai jalan keluar. Juga, ada yang
menjadikannya sebagai loncatan komersial demi meraih keuntungan peniaga yang
lebih besar.
Justeru, carilah apa sahaja
pencapaian materialisme asalkan tidak menyanggahi segala ketetapan yang telah
termaktub dalam dua polisi kehidupan yang paling sempurna dan bersandarkan
kepada nilai keadilan yang sebenar, iaitu al-Qur’an dan Sunnah. Selagi mana
kita tetap berpegang teguh kepadanya, walau dalam apa jua keadaan sekalipun,
baik ketika musim menuai hasilnya, mahupun ketika diuji dengan hasil semaian
yang tidak menjadi.
Saya akhiri tulisan singkat pada
kali ini dengan kata, ‘kaya itu lebih baik dengan takwa, jika miskin itu dengan
kufur’. Semoga kehidupan kita pada ‘sayyidul ayyam’ pada hari ini dan hari-hari
yang mendatang akan sentiasa melihat ‘tassawwur’ kehidupan secara lebih benar
dan adil. Dan, tidak terpesong akibat kejahilan dan kegoaan diri. Walluhu’alam.
No comments:
Post a Comment