Tirai Ramadhan sudahpun berlabuh, petanda berakhirnya bulan yang
penuh dengan pahala dan keberkatan berlipat ganda, anugerah Allah SWT. Tidak
pasti samada dapat bertemunya lagi pada siri-siri Ramadhan yang akan datang.
Sungguhpun Syawal sudah melangkah hari kelapan. Namun,
kemeriahannya masih tetap dirasai dengan amalan kunjung mengunjung. Boleh dikatakan hampir disepanjang bulan
Syawal ini ‘diari’ pasti penuh dengan pelbagai
jemputan rumah terbuka. Baik yang bersifat institusi mahupun
perseorangan dengan pelbagai juadah dan pengisiannya.
Penganjuran rumah terbuka wajar ‘dihidupkan’, kerana ia boleh
menyuburkan dan mengembangkan tautan ukhuwah dan mahabbah sesama kita, yang
hari ini dilihat semakin hari semakin lesu. Barangkali, akibat tuntutan
kesibukan diri dengan kerjaya masing-masing dan juga gajet-gajet canggih yang
sudah mengambil alih peranan ‘setia kawan’ sesama kita.
Walaubagaimanapun, keghairahan menganjurkan rumah terbuka tidak
seharusnya menjadi penyebab kepada terhalangnya kepatuhan kepada syariat Allah
SWT. Ibarat jangan kerana adat terbatasnya syariat.
Sewajarnya, rumah terbuka bersifat benar-benar terbuka bukannya
tertutup dalam erti kata menghadkan para jemputan hanya kepada kelompok ataupun
kelas tertentu semata-mata. Sebaiknya, utamakan kepada golongan ‘fuqara’ dan
‘masakin’ yang benar-benar
memerlukan ‘sesuap nasi’ untuk meneruskan kehidupan. Jika para jemputan hanya
hanya kalangan mereka yang kaya dan berkedudukan, bimbang niat untuk mencari
pahala rumah terbuka itu akan bertukar menjadi dosa riak mencari ‘rumah
terkemuka’, yang menghiasi ‘wall fb’ dengan pelbagai status yang dikemaskini.
Alangkah baiknya, jika mereka yang dijemput seringkali bersilih
ganti pada setiap tahun. Tidak hanya ‘muka-muka’ yang sama. Tidak hanya
‘pangkat-pangkat’ yang sama. Tidak hanya ‘status-status’ yang sama...Barulah
makin menyubur, makin mengembang ukhuwah dan mahabbah umat. Agar, kekuatan umat
bukan lagi ibarat himpunan buih-buih di lautan. Nampaknya seperti banyak, tetapi hakikatnya sekali
disimbah ombak, habis hancur berderai mencari arah dan haluan masing-masing.
Alangkah baiknya juga, jika ianya tidak menjurus ke arah mencari
‘menu rumah siapa yang paling kelas dan ada prestij’. Hakikatnya, yang penting bukanlah
menunya, tetapi suasana yang boleh menyubur dan mengembangkan ukuhwah dan
mahabbah dikalangan tetamu yang hadir, yang barangkali selama ini tidak pernah
kenal antara satu sama lain sebelum ini. Apa guna ‘standard menu hotel kelas
berbintang-bintang’ jika kalangan yang hadir hanya sibuk menjamah juadah dalam
keadaan ‘berjemaah’ hanya dengan ahli keluarga masing-masing. Jika ini yang
terjadi, akhirnya tidak akan membawa apa-apa erti, hanya ibarat sekadar majlis
makan-makan dan gelak tawa.
Bagi tetamu yang diundang ke rumah-rumah terbuka, hiasilah dengan
keindahan akhlak Islamiah. Jadikanlah ia sebagai medan penyubur ukhuwah dan
mahabbah dalam melengkapkan amanah ‘habluminannas’ ke arah penyempurnaan amanah
yang lebih unggul, iaitu ‘habluminallah’, selagi ruh masih dikandung jasad.
Tidak wajar, hadir ke rumah-rumah terbuka hanya sekadar untuk
memenuhi tuntutan ‘business networking’ dengan harapan sesudah itu pelbagai
anugerah kontrak perniagaan akan diterima. Yang paling ‘menyakitkan’ (jika
tidak dunia, pasti di akhirat kelak) apabila ianya dijadikan sebagai antara
‘ruang suapan’ kepada mereka yang mempunyai kuasa untuk meluluskan sesuatu
projek. Jika ini yang berlaku, usia ukhuwah dan mahabbah yang telah terbina
tidak akan kekal lama, kerana asasnya secara hakikat sudah bersyarat.
Begitu juga, ia tidak seharusnya berakhir dengan umpatan dan
kejian, baik kepada tuan rumah mahupun kepada para tetamu yang hadir. Bahkan,
perlu disudahi dengan ucapan dan doa agar terus dimurahkan rezeki dalam keadaan
penuh keberkatan daripada Allah SWT. Juga, agar benih pertemuan yang telah
disemai itu akan terus menyubur dalam kerahmatan dan keberkatan Allah SWT,
tidak hanya bernoktah apabila berakhirnya majlis tersebut.
Semoga Allah SWT memberkati dan meredhai segala usaha yang kita
lakukan ini. Selamat berkunjung ke rumah terbuka @ Kota Bharu, Kelantan.
No comments:
Post a Comment