Perlu
disedari, hidup dalam serba kekurangan boleh menyebabkan hilangnya fokus
untuk makin mendekatkan diri kepada ALLAH SWT, yang sebenarnya menjadi kayu
pengukur kepada segala usaha dan pencapaian yang dilakukan ketika hidup di
dunia. Hari ini, jika diperhatikan masih
begitu ramai yang hidup dalam serba kedaifan, termasuklah mereka yang terpaksa
tinggal di bawah jambatan, kaki-kaki lima dan menumpang sana-sini. Dengan
sandaran, pendapatan yang tidak mencukupi untuk meyediakan
segala keperluan asas diri dan keluarga pada kadar ‘urf’ (adat) yang sepatutnya.
Akibatnya,
tidak keterlaluan untuk saya katakan, bahawa dalam keadaan hidup yang serba
kedaifan seperti ini, hubungan dengan ALLAH (habluminallah) akan menjadi
tidak menentu. Apatah lagi, hubungan sesama manusia (habluminannas).
Sebab itulah, kemiskinan dikatakan boleh mendekatkan diri kepada kekufuran
terhadap ALLAH SWT dan permusuhan sesama sendiri.
Sungguhpun
begitu, bukanlah alasan untuk meletakkan segala-galanya kepada usaha untuk
meningkatkan dan mengekalkan tahap pencapaian pertumbuhan ekonomi (economic growth), sehingga terpaksa mengorbankan
hak-hak rabbaniyyah (ketuhanan) dan insaniyyah (kemanusiaan). Sebagai
akibat, seluruh nasib dan masa depan kehidupan mereka disandarkan kepada pencapaian
pertumbuhan ekonomi (economic growth),
yang akhirnya memakan diri sendiri.
Sebab itulah,
ada yang sanggup mengambil tindakan singkat dengan melakukan sesuatu yang di
luar keterbatasan akal dan iman, semata-mata untuk mengekalkan pertumbuhan
ekonomi diri masing-masing. Begitu juga pada saat apabila diuji dengan fasa
kejatuhan prestasi ekonomi. Dimana, mereka tanpa segan silu mengambil dan memberi
rasuah, melakukan penipuan, memanipulasi pasaran. Tidak kurang juga yang
terjebak dengan tindakan membunuh diri, disebabkan tidak dapat menerima hakikat
kejatuhannya.
Selain
daripada itu, tembok individualistik dalam masyarakat, makin hari makin
menebal, dengan ungkapan yang seringkali menusuk ke telinga kita, iaitu ‘kubur
masing-masing, usah peduli urusan saya’
Sudah fitrah manusia
dijadikan oleh ALLAH SWT, yang tidak akan pernah merasa ‘qanaah’ (cukup dengan
apa yang telah dimiliki). Seumpama, satu
lombong emas yang telah dimiliki, seseorang akan terus mendambakan lombong emas
yang berikutnya. Sehingga, dalam sesetengah keadaan dia sanggup untuk mengambil
dan menidakkan hak orang lain secara batil.
Islam melihat
kecenderungan ini sebagai satu keadaan yang boleh menyebabkan porak-porandanya
kehidupan umat manusia. Jika dibiarkan tanpa sebarang pedoman dan petunjuk, mereka
akan terus bermaharajalela untuk memenuhi isi perut masing-masing, tanpa
sedikitpun terpalit rasa kasihan belas kepada mereka yang berada di sekeliling
yang kurang bernasib baik. Hakikatnya, inilah yang telah terukir dalam ‘tasawwur’ pertumbuhan ekonomi yang
digagaskan oleh sistem ekonomi yang berakar umbi pada hari ini. Sehingga mereka
yang kaya terus kaya raya, dan yang miskin terus papa kedana.
Justeru, Islam
meletakkan pertumbuhan ekonomi bukan semata-mata bersifat kuantitatif, yang disandarkan
kepada ‘KPI’ (Key Performance Index) tertentu yang perlu dicapai.
Peningkatan tahap pendapatan individu dan negara, hasil peningkatan keupayaan
pengeluaran dalam ekonomi, bukanlah cerminan pertumbuhan ekonomi (economic
growth) yang ditanggap oleh Islam. Apatah lagi, apabila wujud begitu besar
jurang pengagihan pendapatan (distributive income) di dalam masyarakat
dan juga usangnya nilai akhlak cerminan al-Qur’an dalam diri aktor-aktor
ekonomi.
Realitinya hari
ini, mereka yang berpendapatan ratusan ribu ringgit sebulan akan terus berganda
pendapatan mereka. Sedangkan, mereka yang hanya berpendapatan ratusan ringgit
sebulan, terus bertungkus lumus meredah pelbagai kepayahan. Namun hasilnya tetap
tidak ‘selumayan’ mereka yang berpendapatan ratusan ribu ringgit itu. Akibatnya,
ada dikalangan mereka yang ‘terpaksa’ mengambil hak orang secara batil, tanpa
lagi berfikir panjang semata-mata demi ‘survival’ kehidupan.
* Untuk paparan iklan hubungi : 017-2002517 / 019-2391201
* Untuk paparan iklan hubungi : 017-2002517 / 019-2391201
No comments:
Post a Comment