Mengikut Sheikh Dr. Yusuf al-Qardhawi, Fiqh al-Awlawiyyat bermaksud meletakkan setiap sesuatu pada tangga dan peringkatnya yang sebenar dengan meletakkan timbang-tara keadilan sebagai asas, samada dari aspek perbuatan, pemikiran, hukum - hakam dan nilai - nilai akhlak yang mulia.
Dalam kehidupan berekonomi, perkara - perkara yang paling penting mestilah menjadi 'top priority', kemudian yang penting, kurang penting dan selanjutnya. Asas kepada timbang-tara keadilan untuk menetapkan tingkat keutamaan ini mestilah berdasarkan al-Qur'an dan as-Sunnah, yang menjadi penunjuk jalan kepada kebijksanaan akal. Ini kerana, akal secara bersendirian begitu terbatas dan tidak akan berupaya untuk mencerna wadah keadilan yang sebenar.
Imam Ibn Taimiyyah telah menggariskan beberapa asas Fiqh al-Awlawiyyat yang dapat kita jadikan sebagai 'principal guidelines' dalam merangka keutamaan sebarang aktiviti ekonomi, samada di peringkat individu mahupun organisasi dan negara. Antaranya:
- Perbandingan antara al-Masalih (kemaslahatan) atau al-Manafi' (kemanafaatan).
- Perbandingan antara al-Mafasid (kerosakan) atau al-Madar (kemudaratan).
- Perbandingan antara al-Masalih (kemaslahatan) dan al-Mafasid (kerosakan), sekiranya berlaku pertembungan antara kedua - duanya.
Dalam Islam, al-Masalih (kemaslahatan) diiktiraf pada kedudukan yang berbeza - beza. Ia dapat dibahagikan kepada tiga kedudukan asas iaitu:
- Al-Daruriyyat (perkara yang bersifat keperluan atau darurat)
- Al-Hajiyyat (perkara yang bersifat keperluan tetapi tidak pada tahap darurat)
- Al-Tahsiniyyat (perkara yang bersifat pelengkap)
Al-Daruriyyat sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Ghazali dan as-Shatibi, ia melibatkan lima perkara asas yang menjadi keperluan hidup seseorang yang wajib dipenuhi mengikut tingkat keutamaan berikut:
- Memelihara agama
- Memelihara nyawa
- Memelihara akal
- Memelihara keturunan
- Memelihara harta
Dalam konteks menetapkan keutamaan dalam al-Masalih (kemaslahatan), susur galur keutamaan berikut perlu diikuti, iaitu:
- Kemaslahatan yang pasti ke atas kemaslahatan yang belum pasti berlakunya.
- Kemaslahatan yang besar ke atas kemaslahatan yang lebih kecil.
- Kemaslahatan masyarakat (orang ramai) ke atas kemaslahatan individu.
- Kemaslahatan golongan yang lebih ramai ke atas kemaslahatan yang lebih sedikit
- Kemaslahatan yang kekal ke atas kemaslahatan yang bersifat sementara.
- Kemaslahatan yang yang asasi ke atas kemaslahatan yang bersifat pinggiran.
- Kemaslahatan masa depan yang kuat ke atas kemaslahatan masa kini yang lemah.
Moga - moga tulisan ringkas ini akan sedikit sebanyak memberikan 'penunjuk arah' kepada kita semua dalam merencana Fiqh al-Awlawiyyat setiap amalan ekonomi dan kewangan yang kita laksanakan. InsyaALLAH...
No comments:
Post a Comment