Pages

Saturday, April 30, 2011

Wang Adalah Rahmat

Islam mengiktiraf dua peranan utama penggunaan wang dalam ekonomi, iaitu sebagai mekanisma simpanan nilai dan alat tukaran dalam transaksi antara dua pihak atau lebih. Namun, Islam tidak seperti kapitalisme yang mengiktiraf wang sebagai komoditi yang boleh dijual beli untuk menjana keuntungan.
Imam al-Ghzali melihat peranan wang cukup besar dalam melancarkan gerak laku ekonomi sebagaimana yang disebut dalam kitab ulungnya, 'Ihya Al-Uloom Ud-Deen". Beliau berpandangan, penciptaan wang meruapakan antara rahmat terbesar ALLAH SWT kepada hamba-Nya. Selain daripada itu, beliau juga menyentuh tentang sistem tukaran yang menimbulkan banyak kerumitan kepada masyarakat, juga tentang kesan buruk penggunaan wang palsu dalam aliran ekonomi. Antara perkara lain yang turut disebut adalah berkenaan dengan wahana penyalahgunaan wang.

Wang juga bukan setakat rahmat sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Ghazali, bahkan juga merupakan ujian daripada ALLAH SWT. Sebab itu dalam realiti kehidupan, ada yang terleka dengan wang yang banyak. Tidak ketinggalan juga yang 'menggilai' wang sehingga melupakan adab-adab kehidupan dan gerak laku kehidupan mereka jauh terpesong daripada ruang lingkup keredhaan ALLAH SWT. Ada juga segelintir yang begitu teruja dengan kehidupan dunia sehingga melampaui batasan kemampuan mereka, yang seterusnya mendorong kepada perkara-perkara yang melanggar tatasusila semata-mata atas nama mencari rezeki. 

Akibatnya, ada yang meletakkan wang sebagai sumber atau paksi kejahatan. Ianya tidak benar sama sekali, wang adalah rahmat. Yang menjadikan wang sebagai bencana adalah berpunca daripada kerakusan tangan-tangan manusia itu sendiri. ALLAH SWT berfirman dalam Surah ar-Rum, ayat 41 yang bermaksud:

"Berlaku kerosakan di bumi dan di lautan berpunca daripada tangan-tangan manusia...

Dalam Islam, setiap sesuatu adalah kepunyaan ALLAH SWT termasuklah wang. Apabila menyebut tentang amanah, ianya akan dipersoalkan di Akhirat kelak, iaitu tentang dua perkara ; bagaimana wang itu diperolehi dan kemana ianya dibelanjakan.

Kita hamba-Nya, bukanlah pemilik mutlak kepada wang yang dimiliki. Bahkan kita diberikan hak hanya untuk menggunakannya dengan sebaik mungkin. Sebab itulah bagi mereka yang dirahmati ALLAH SWT dengan limpahan wang, tidak perlu merasa bongkak dan sombong, kerana ia hanya pinjaman. Yang pada satu ketika nanti ianya pasti dikembalikan kepada pemiliknya, yakni ALLAH SWT.

Setiap sen wang yang mengalir masuk perlulah melalui jalan yang di redhai ALLAH SWT. Begitu juga dengan setiap sen yang dibelanjakan.Sabda Rasulullah SAW dalam satu Hadith yang bermaksud:

"Adalah lebih baik bagi orang yang bertakwa memiliki wang yang bersih (yang diperolehi dengan jalan takwa)"

Pemilikan wang yang banyak, sewajarnya makin mendekatkan diri kepada ALLAH SWT, bukan sebaliknya sebagaimana yang banyak berlaku pada hari ini. Di mana, ketika zaman 'wang cukup-cukup makan', kita begitu dekat dengan ALLAH SWT. Namun, tidak sesudah 'zaman lebihan wang'.

Sebagaimana yang disebut sebelum ini, wang adalah rahmat yang dipinjamkan penggunaanya kepada manusia. Untuk itu, wang yang dimiliki wajib dibelanjakan untuk keperluan diri, keluarga dan orang yang tidak berkemampuan seperti mereka yang miskin, ditimpa musibah dan anak-anak yatim. Ia bukan untuk disimpan sehingga menimbulkan rasa kikir dalam diri. Orang yang terlalu kikir terhadap diri dan orang lain dianggap zalim, kerana tidak menunaikan hak anugerah ALLAH SWT, iaitu wang untuk dibelanjakan pada jalan-Nya.

Namun, ia tidak bermakna kita boleh berbelanja sewenang-wenangya tanpa mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan oleh antaranya tidak menjurus ke arah pembaziran. Islam begitu mengherdik orang yang membazir secara keterlaluan, sehingga disamakan statusnya sebagai rakan karib syaitan laknatullah.

Pengertian 'membazir' mengikut Imam an-Nawawi ia bermaksud membelanja secara tidak sah (terutamanya di sisi ALLAH SWT dan juga perundangan ciptaan manusia) atau mendorong kepada kerosakan diri, orang lain dan alam sekitar.

Dalam Hadith ada disebut antara tiga perkara yang ditegah ALLAH SWT adalah antaranya membazir. Manakala dua tegahan yang lain termasuklah mengumpat dan banyak persoalan (terutama yang tidak mendatangkan kebaikan).

Semoga rahmat ALLAH SWT ini akan menjadikan kita lebih bertakwa kepada-Nya, tanpa mengira berapa banyaknya jumlah wang yang mengalir masuk ke kantung kita sekalipun. Biarlah kita kaya dalam ketakwaan, bukannya kekufuran terhadap nikmat dan rahmat kurniaan-Nya. InsyaALLAH, kita terselamat dunia dan Akhirat.

No comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Host