Pages

Saturday, April 30, 2011

Wadiah

Pada asasnya, wadiah bermaksud menyimpan atau menjaga harta yang dimiliki oleh seseorang. Dari segi sirah, ianya telah dipraktikkan ketika peringkat awal penghijrahan masyarakat Makkah ke Madinah, di mana Baginda dan Saidina Ali KW telah diamanahkan untuk menjaga harta-benda mereka.

Wadiah adalah amalan yang bersifat amanah tanpa liabiliti, kecuali terbukti ada unsur-unsur kecuaian dan salah laku oleh pihak yang menjaganya. Ini telah disepakati oleh sebahagian besar fuqaha'.

Dalam satu Hadtih yang diriwayatkan oleh Ibn Majah yang bermaksud:

"Sesiapa yang diberikan amanah untuk menjaga harta, dia tidak wajib menjamin"

Begitu juga, tidak ada apa yang disebut sebagai 'upah simpan' dalam wadiah. Ia lebih merupakan amalan yang bersifat sukarela.

Dalam al-Qur'an tidak ada pensyariatan secara khusus berhubung wadiah. Namun, terdapat ayat-ayat yang dikaitkan dengan aspek amanah sepertimana berikut:

"Dan (beruntunglah) orang yang memelihara amanah dan janji" (Surah al-Mu'minun: 8)

"Sesungguhnya ALLAH menyuruh kamu menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya.  Dan apabila kamu menghukum dikalangan manusia, maka laksankanlah dengan adil" (Surah an-Nisa':58)

Merujuk kepada amanah, ia membawa dua implikasi penting, iaitu ganjaran dan hukuman daripada ALLAH SWT. 

Sehubungan dengan itu, ALLAH SWT berfirman sepertimana berikut:

"Dan janganlah kamu berdebat (untuk membela) orang-orang yang mengkhianati dirinya" (Surah an-Nisa':107)

"Sesungguhnya ALLAH membela orang yang beriman. Sesungguhnya ALLAH tidak menyukai orang yang khianat dan kufur" (Surah al-Hajj:38)

"Dan jika kamu (Muhammad) khuatir pengkhiantan daripada satu golongan, maka kembalilah perjanjian itu kepada mereka secara jujur. Sesungguhnya ALLAH tidak menyukai orang yang khianat" (Surah al-Anfal:58)

Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Tirmizi sabda Rasulullah SAW:
"Kembalikan amanah kepada mereka yang mempercayai kamu. Jangan mengkhianti mereka yang mengkhianti kamu"

Merujuk kepada aspek amanah dalam Islam, perlaksanaannya dapat dibahagikan kepada 4 iaitu:
  • Amanah pada ALLAH
  • Amanah pada diri sendiri
  • Amanah pada manusia
  • Amanah pada makhluk lain

Fuqaha' secara sepakat mengatakan bahawa wadiah dibolehkan. Ini kerana amat mustahil bagi seseorang itu untuk menyimpan hartanya sendiri sepanjang masa. Dalam keadaan tertentu seperti ketika bermusafir, sakit dan jenayah yang berleluasa, pasti seseorang diperlukan untuk menjaga hartanya.

Bagi Hanafi, wadiah dilihat satu perkara yang digalakkan. Begitu juga bagi Shafie dan Hanbali. Namun, ianya hanya digalakkan kepada mereka yang mampu melaksanakan amanah tersebut dan tidak digalakkan kepada mereka yang tidak yakin untuk melaksanakannya dengan baik.

Bagi Maliki, secara umumnya wadiah dibolehkan. Namun, jika dalam keadaan tertentu seperti ramainya mereka yang khianat atau pecah amanah, dalam situasi ini adalah menjadi sesuatu yang wajib kepada mereka yang mampu melaksanakannya.
Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Host