Dalam konteks hari ini, terdapat pelbagai sumber untuk mendapatkan wang. Ada pihak yang begitu menjaga tentang adab-adab dalam mencari rezeki. Ada yang lain tidak begitu menitikberatkan, bagi mereka asalkan ada ruang untuk 'buat duit', kenapa mahu dilepaskan?
Kesannya, 'pelbagai status' wang yang bergerak dalam ekonomi kita samada melalui bisnes ataupun transaksi sosial termasuklah derma dan sedekah.
Para fuqaha' melihat ianya antara isu penting daripada perspektif Shariah. Bagi mereka yang memiliki 'harta yang haram', mereka mensusur galurkan kepada tiga kelompok:
- Pihak yang secara keseluruhan daripada hartanya adalah haram : Bagi Ibn Taimiyyah, seseorang tidak dibolehkan untuk melakukan transaksi bisness dengan pihak yang keseluruhan hartanya adalah haram yang bersumber rompakan, curi, pecah amanah, rasuah, riba dan apa jua perkara yang menyebabkan berlakunya pemindahmilikan harta secara batil atau tidak sah. Manakala, Ibn Rushd berpandangan, seseorang tidak dibolehkan melakukan transaksi bisnes, kecuali dia tidak mengetahui hakikat yang sebenar.
- Pihak yang sebahagian daripada hartanya adalah haram : Para fuqaha' lampau berbeda pandangan dalam hal ini. Bagi Hanafi dan sesetengah Maliki, seseorang dibolehkan berbuat demikian sekiranya harta yang halal melebihi harta yang haram. Bagi Shafie, Hanbali dan sesetengah Maliki menyatakan ianya adalah makruh (tidak digalakkan), sungghupun secara relatifnya harta yang haram lebih sedikit daripada harta yang halal. Merujuk kepada al-Syaukani dan al-Muhasibi, seseorang dibenarkan untuk melakukan transaksi tanpa melihat berapa bahagian halal atau haram. Ianya berdasarkan kepada justifikasi Rasulullah SAW dan para sahabat yang telah melakukan transaksi dengan masyarakat bukan Islam di Madinah, yang secara umumnya harta-harta mereka diperolehi secara tidak sah melalui riba, rompakan dan sebagainya. Terdapat sesetengah Maliki dan sebahagian kecil Hanbali, mengatakan ianya haram.
- Pihak yang keseluruhan hartanya tidak mempunyai status yang jelas, samada halal atau haram. Secara keseluruhannya, para fuqaha' telah sepakat ianya dibolehkan.
Justeru, buat pilihan yang berdasarkan 'mardhatillah' (keredhaaan ALLAH), bukannya semata-mata mencari habuan dunia yang seterusnya menjadi penyebab kepada jauhnya kita daripada ALLAH SWT.
No comments:
Post a Comment