Pages

Tuesday, March 15, 2011

Tanggapan Shariah Terhadap Pelaburan

Islam menuntut umatnya agar terlibat dalam aktiviti ekonomi untuk menjana pendapatan bagi memenuhi keperluan hidup diri dan keluarga. Ia tidak menetapkan had secara kuantitatif terhadap harta atau kekayaan yang ingin diraih. Asalkan secara kualititatifnya yang diukur melalui penetapan dalam Shariah yang termuat dalam al-Qurán dan diperincikan melalui hadith tidak dilanggari samada secara jelas mahupun berselindung.

Raslullah telah menegaskan bahawa 9/10 daripada rezeki bersumberkan perniagaan. Secara praktikalnya, ia dapat dilaksanakan samada kita terlibat secara langsung dalam sesuatu perniagaan ataupun sekadar menjadi pelabur ataupun rakan kongsi.

Terma pelaburan bukan sesuatu yang baru dalam sirah Islam. Ia telah dipelopori  sejak zaman Rasulullah SAW dan para sahabat lagi. Saidatina Khadijah (RA) misalnya, telah melabur dalam misi perniagaan yang diusahakan oleh Baginda Rasulullah SAW yang bersandarkan prinsip Mudharabah.
Sedikit tentang Mudharabah. Ia merujuk kepada perkongsian untung di antara pihak-pihak yang terlibat dalam transaksi perniagaan tertentu. Secara operasinya Mudharabah akan berlaku apabila satu pihak menyumbangkan modal, manakala satu pihak lain menyumbangkan tenaga dan kepakaran untuk menjalankan perniagaan tersebut. Dalam hal ini, keuntungan akan dibahagikan mengikut persetujuan bersama. Manakala kerugian yang dialami akan ditanggung sepenuhnya oleh pelabur, kecuali kerugian yang disebabkan oleh kecuaian dan salah laku usahawan seperti rasuah, penipuan dll.

Jika dirungkai dan diamati, Islam membuka ruang seluasnya kepada umat untuk terlibat dalam pelbagai pelaburan dengan bersandarkan prinsip-prinsip tertentu yang digariskan dalam al-Qurán dan hadis Rasulullah SAW. Selain daripada prinsip Mudharabah yang telah disebutkan diatas, terdapat beberapa prinsip-prinsip lain yang seringkali digunakan seperti Murabahah, Wadiah, Istisna', salam dll.
Asas utama kepada sebarang pelaburan perlulah tidak melibatkan sebarang aktiviti yang bersangkut paut dengan riba. Sebahagian besar ulama bersepakat bahawa amalan pengambilan dan pemberian faedah  dalam konteks perbankan konvensional pada hari ini adalah sinonim dengan riba. Dan, ianya adalah jelas haram kerana ia dilihat bersifat menindas terutama bagi mereka yang tidak berkemampuan. Pengamalan riba secara berleluasa akan menjarakkan status ekonomi dikalangan masyarakat. Mereka yang kaya akan terus meraih keuntungan mudah. Manakala, mereka yang miskin akan terus dihimpit dengan bebanan kadar faedah yang tinggi dan berganda.

Seterusnya, aktiviti pelaburan perlu bebas daripada sebarang elemen perjudian samada secara langsung atau tidak. Dalam Islam, judi adalah sesuatu jelas haram atas hikmah untuk menggelak ketidakadilan kepada diri, keluarga dan masyarakat. Judi juga dilihat sebagai antara pencetus utama kepada keruntuhan institusi keluarga, masyarakat dan umat. Lama kelamaan umat menjadi lemah dan tamadun yang dibina akan kekal lama.

Selain daripada itu, pelaburan juga mestilah bebas daripada sebarang aktiviti spekulasi yang keterlaluan dan tidak berasas sifatnya. Islam membenarkan spekulasi yang berasaskan kepada kajian yang mendalam serta tidak menyebabkan ketidakadilan kepada mana-mana pihak yang terlibat. Amalan spekulasi yang keterlaluan secara tidak terkawal akan melemahkan daya ikhtiar dan mejurus ke arah penindasan dikalangan umat.

Akhir sekali, pelaburan tidak boleh sesekali dikaitkan dengan industri-induistri yang jelas haram dalam Islam seperti pembuatan arak, dadah dan apa saja yang memudaratkan diri, umat dan agama.

Perlu diingat, pelaburan bukannya matlamat kehidupan. Ianya hanya mekanisme dalam menambah baik perlaksanaan tangunggjawab kita sebagai khalifatullah di atas muka bumi ini. Sebagai khalifah-Nya kita berperanan untuk menguruskan dunia dan seisinya dengan sebaik mungkin tanpa menimbulkan sebarang kemudaratan. Ini bermakna, kita diberikan fleksibiliti dalam melaksanakan amanah tersebut, selagi mana ia tidak menyanggahi ketetapan yang telah ditentukan oleh ALLAH SWT, yang sebahagiannya telah disebutkan di atas.


No comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Host