Pages

Thursday, September 29, 2011

Pejuang Ilmu

Ilmu perlukan ‘perjuangan’ untuk memilikinya. Baik ilmu fardhu ain, mahupun ilmu fardhu kifayah. Ia tidak akan sesekali hadir tanpa ‘dicari’ serta melalui susah payah dan pahit maun kehidupan.

Ilmu ibarat ‘tuan’ yang memiliki pelbagai hikmah dan kebijaksanaan. Dan, kita adalah ibarat ‘hamba’ yang dahagakan hikmah dan kebijaksanaan  untuk mencari bekalan hidup dunia dan Akhirat.

Ilmu ibarat aliran air yang mengalir dari puncak gunung ke lembah – lembah dengan membawa seribu macam manafaat dan pengharapan kepada manusia dan seluruh makhluk ciptaan ALLAH SWT. Begitulah kiasannya, seorang pejuang ilmu perlu mencari ‘mualim’ untuk menadah  ketinggian hikmah ilmu. Bukannya ‘mualim’ yang melewati denai untuk menemui pejuang - pejuang ilmu. Begitulah hakikatnya, akhlak yang sebenar dalam pencarian ilmu.

Hari ini dunia makin menjadi lintang pukang. Mualim diasak atas dasar kebutuhan dunia  agar melewati denai yang berpenghujungan di lembah demi memenuhi tuntutan si pejuang ilmu. Pejuang ilmu hari ini tidak ramai yang sudi mahu merentas ‘hutan belantara’ untuk sampai ke puncak gunung untuk menemui mualim.

Hari ini dunia sudah seakan melupai peranan dan jasa besar mualim. Kedudukan mereka bukan lagi kedudukan yang dihormati seperti mana zaman ‘lampu minyak tanah’ yang menjadi ‘penyuluh kehidupan’ zaman datuk nenek moyang kita.

Mualim hari ini bukan lagi berwatakan satria yang menjadi dambaan masyarakat, seperti mana dahulu. Sehingga ada yang menggelarkan mualim hari ini adalah mualim ‘cari makan’. Begitu biadap bunyinya. Apakah kita sudah lupa? Tanpa mualim pejuang ilmu sepanjang zaman tidak akan mampu bertahan di gelanggang, warisan ilmu akan lenyap, dan hikmah serta kebijaksanaan akan menjadi galang ganti kepada kelesuan bangsa dan kehancuran tamadun yang dibina.

Pejuang ilmu hari ini lebih selesa bermualimkan kecanggihan teknologi dengan hanya beberapa ‘klik’ pada hujung jari. Soal sahih ataupun tidak, bukan lagi perkara pokok yang perlu diambil kisah. Apa yang penting, tugasan berwajib yang menjadi penentu kepada lulus atau gagal dalam sesuatu ‘pertempuran ilmu’ itu dapat disempurnakan tepat pada masa dan ‘skema’ yang  telah diperuntukkan. Soal ‘fakih’ bukan lagi isu. Sedangkan ilmu tanpa ‘kefakihan’ sebenarnya tidak membawa makna yang besar kepada kehidupan. Ibarat pohon yang subur tetapi tidak berbuah. Tampaknya gah, tetapi hakikatnya kosong!

Pejuang ilmu ada keutamaannya dalam kehidupan. Sebagaimana yang disebut oleh Allah SWT dalam Surah at-Taubah, ayat 122 yang bermaksud:

“Tidak sepatutnya bagi kaum mukminin semuanya pergi (ke medan perang). Mengapakah tidak ada sebahagian daripada mereka yang mendalami pengetahuan mereka tentang agama dan memberi peringatan kepada kaumnya pada saat mereka kembali...”

Dalam konteks ‘muamalat’ contohnya, pejuang ilmu yang benar-benar ‘fakih’ tentang ilmu muamalat perlu terus disuburkan dalam pelbagai dimensi. Agar ruang lingkup kewangan Islam pada hari ini akan mampu menyaingi keperkasaan kewangan konvensional yang sudah bertapak sejak hampir 500 tahun yang lalu. Matlamatnya hanya satu, iaitu untuk menyediakan sistem kewangan alternatif yang terbaik  yang menunjangi pencarian rezeki umat serta menjadi teladan terhadap keindahan ajaran Islam itu sendiri. Bukan hanya sekadar  untuk memenuhi tuntutan agama.

Diharap dengan pemugaran kefakihan dalam pelbagai lapangan ilmu, para pejuang ilmu akan mampu menyumbang ‘sesuatu’ kepada keberkatan dan kesejahteraan hidup umat di dunia dan di Akhirat kelak. Semoga usaha yang kerdil ini akan menjadi catatan kebaikan tatkala berhadapan dengan penghakiman ALLAH  SWT di Padang Mahsyar kelak. InsyaAllah...

Sekadar Menginsafi Diri,
ABDUL HADI JUSOH, 27 Sep 2011.

No comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Host