Pages

Monday, November 16, 2015

Memperkasa Ekonomi Islam Di Malaysia




Ekonomi Islam adalah  ilmu  yang mempelajari perilaku ekonomi manusia bersandarkan kepada al-Quran dan Sunnah dan urf tijari (amalan komersial) yang tidak bertentangan dengan syariat. Antara tujuan utama ekonomi Islam adalah untuk mewujudkan keseimbangan di antara kepentingan individu dengan kepentingan masyarakat. Dalam konteks ini, kepentingan individu dan masyarakat harus sejajar dan tidak bertentangan antara satu sama lain. Keseimbangan ini akan terbentuk melalui penglibatan anggota masyarakat di dalam kegiatan ekonomi yang dibenarkan oleh syariat secara produktif di samping penyelarasan melalui dasar, polisi dan akta tertentu yang digubal dan dilaksanakan secara telus dan adil oleh pemerintah bagi mengawal dan mengurus sebarang kemungkinan salah laku dalam pasaran.

Peranan kerajaan amat signifikan dalam sesebuah ekonomi negara melalui gerak laku di peringkat makro dan mikro berbanding unit-unit ekonomi yang lain, iaitu isi rumah dan peniaga. Justeru itu, kerajaan perlu melaksanakan langkah-langkah yang sejajar dan bersrategik secara berterusan untuk memperkasa amalan ekonomi Islam di Malaysia.

Di antara tindakan awal yang boleh dilaksanakan bagi merealisasi tujuan ini adalah dengan menerapkan dan merakyatkan kefahaman “pengagihan semula harta kekayaan ” (Redistribution of wealth) dalam masyarakat. Di antara hikmah di sebalik perlaksanaan pengagihan semula harta kekayaan adalah:


1)      Memenuhi keperluan asasi semasa masyarakat.

2)      Membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

3)      Menjana sektor ekonomi Negara.



Tindakan ini boleh dilaksanakan melalui institusi zakat dan waqaf yang akan menggalakkan kitaran ekonomi yang sihat dalam penyusunan semula sesebuah masyarakat atau negara ke arah memajukan dan meningkatkan kualiti dan taradf hidup di peringkat individu dan masyarakat.

Bagi tujuan ini, pengukuhan institusi zakat dari sudut pengagihan dan pentadbiran perlu diberikan perhatian dan tindakan. Berdasarkan statistik, pungutan zakat di Selangor sahaja pada tahun 2014 telah melebihi sasaran, dengan jumlah kutipan sebanyak RM 582.1 juta berbanding RM 517.3 juta dalam tempoh yang sama pada tahun 2013. Angka ini membuktikan bahawa institusi zakat di Malaysia berupaya menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Islam di Malaysia. Namun, penambah baikan dari sudut pentadbiran dan agihan yang sedia ada perlu terlebih dahulu dilaksanakan.

Dengan berdiri teguhnya institusi zakat, sesebuah masyarakat atau negara boleh menjadi maju dan kualiti taraf hidup di peringkat individu dan masyarakat boleh ditingkatkan melalui bantuan secara menyeluruh dan bantuan bulanan kepada asnaf- asnaf zakat terutamanya golongan fakir, miskin dan muallaf agar mampu berdikari dan akhirnya menyumbang kembali kepada institusi zakat. Kitaran ini akan mewujudkan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Islam yang lebih mapan.

Untuk itu, pusat zakat di setiap negeri seharusnya mempergiatkan peranan untuk turun padang bagi mencari golongan fakir dan miskin dengan pelbagai medium termasuklah dengan aplikasi media sosial seperti facebook, whatsap, instagram dan sebagainya. Dan, pada masa yang sama memupuk kesedaraan masyarakat umum tentangbagaimana zakat mampu membasmi kemiskinan dan kesan positifnya kepada ekonomi Negara secara keseluruhan. Perkara ini amat penting untuk memastikan tidak ada asnaf-asnaf yang tercicir dalam pengagihan zakat ini dan masyarakat yang berkelayakan sebagai pembayar zakat pula menunaikan tanggungjawab mereka secara berterusan.  Jika ini dapat dilaksanakan secara konsisten, ia akan melengkapkan kitaran ekonomi secara sihat dan asnaf-asnaf akan menyumbang kembali sebagai pembayar zakat setelah mereka berjaya kelak.

Selain daripada itu juga, ekonomi Islam dapat diperkasakan melalui institusi Waqaf dimana individu atau organisasi menyumbangkan harta benda mereka secara sukarela. Ini berbeza dengan zakat, harta waqaf boleh turut dilaburkan dan hasil pelaburan tersebut boleh melipat gandakan jumlah bantuan kewangan kepada penerima yang layak. Justeru itu, kerajaan perlu bertindak sebagai medium penggerak untuk mengukuhkan kedudukan institusi waqaf dalam ekonomi Negara. Antaranya dengan mengkomersialkan harta waqaf dan menggalakkan pemberian waqaf wang tunai melalui atas talian dan memberikan insentif tertentu kepada majikan-majikan yang menggalakkan potongan gaji.  Ini kerana institusi waqaf dilihat berpotensi dalam pembangunan ekonomi negara khususnya pembangunan ekonomi Islam dimasa hadapan.

Antara tindakan lain yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan adalah dengan menggalakkan penglibatan masyarakat dalam pembangunan industri kecil dan sederhana yang bermatlamat untuk meningkatkan pengeluaran barang-barang dan perkhidmatan yang bersifat keperluan dalam pasaran. Untuk itu, langkah drastik perlu diambil dengan menyediakan modal pendahuluan melalui pinjaman tanpa faedah melalui institusi waqaf kepada peniaga-peniaga yang layak serta memberikan latihan khususnya berkaitan perniagaan dan perusahaan. Langkah ini dapat membantu dalam memastikan kestabilan jangkamasa panjang ekonomi masyarakat Islam di Malaysia.

Galakan secara berterusan harus diberi kepada masyarakat Islam untuk menjadi pengeluar barangan halal keperluan harian dan mengurangkan kebergantungan kepada produk-produk asing. Dan, ini boleh juga dianggap sebagai keperluan ke arah mencapai kestabilan ekonomi.

Di samping itu, pasaran modal Islam juga perlu diperkukuhkan. Setakat ini, Malaysia adalah perintis kepada kewujudan pasaran modal Islam secara lebih berstruktur dan ‘well-regulated’. Penglibatan kerajaan dalam menjayakan misi ini dilihat sebagai penyumbang terbesar dalam kejayaan industri pasaran modal Islam. Sehubungan dengan itu, untuk memastikan kestabilan dan kerancakan pasaran modal Islam, kerajaan harus terus mendukung dengan memberi insentif seperti potongan cukai  di atas penerbitan sukuk dan pelaburannya oleh syarikat-syarikat dana pelaburan tempatan dan antarabangsa. Ini bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai pelabur menyertai pasaran modal Islam terutama pelabur individu sekaligus dapat memperkasa ekonomi dan keyakinan global terhadap sistem ekonomi Islam.

Selain itu,kerajaan perlu lebih menggalakan institusi perbankan konvensional untuk beralih kepada penawaran produk perbankan patuh syariah. Ini kerana sistem ekonomi konvensional yang berorientasikan riba atau caj faedah dan pelaburan dana dalam aktiviti tidak patuh Shariah seperti pelaburan dalam perniagaan arak atau judi telah menimbulkan banyak krisis dalam masyarakat. Tambahan, sistem perbankan yang berasaskan riba telah membuka lebih banyak peluang kepada aktiviti-aktiviti spekulasi dalam pasaran yang boleh menyumbang kepada ketidakstabilan ekonomi Negara dan krisis ekonomi yang pastinya akan menyusahkan banyak pihak dalam masyarakat

Sebab itulah, Islam secara jelas mengharamkan amalan riba atau faedah dalam aktiviti ekonomi, Allah s.w.t berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 275 yang bermaksud:

‘’ Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya”.

Secara teori, kadar faedah yang tinggi akan menimbulkan inflasi yang mengurangkan kuasa beli pengguna dan kemudiannya akan memberi kesan negatif kepada ekonomi secara keseluruhan. Inflasi juga akan menggalakkan aktiviti penyorokan barangan (hoarding) oleh peniaga yang ingin mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan yang lebih tinggi. Ini akan menyumbang kepada ketidakcekapan dalam pengurusan ekonomi keseluruhannya.

Bahkan, sistem ekonomi yang berasaskan riba ini juga akan mencipta jurang ekonomi yang besar antara golongan kaya dan golongan miskin. Data IMF membuktikan bahawa jurang besar berlaku sejak tahun 1965 sehingga ke hari ini. Kadar faedah juga memberi kesan kepada pelaburan, pengeluaran dan mewujudkan pengangguran. Dengan peningkatan kadar faedah, ia akan memberi kesan kepada kemerosotan dalam pelaburan seterusnya akan menjejaskan kadar pengeluaran dan akan menyebabkan peningkatan kadar pengangguran dan kemiskinan.


No comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Host