Pages

Tuesday, September 6, 2011

Merdeka Hati

Alhamdulillah! Setinggi-tinggi syukur ke hadrat ALLAH SWT, atas ruang dan kesempatan yang diberikan, kerana sekali lagi kita dapat meraikan ulang tahun kemerdekaan yang ke-54 pada tahun ini. Tanggal 31 Ogos 1957, telah menjadi titik permulaan terbebasnya Tanah Melayu daripada cengkaman penjajahan kuasa asing  yang berlarutan sejak tahun 1511, apabila Portugis mula menakluki Kesultanan Melayu Melaka.

Pengalaman pahit dan jerih payah kehidupan ketika di bawah penjajahan beberapa kuasa asing seperti Belanda, Jepun dan British telah memberikan makna yang besar terhadap erti kemerdekaan dan kebebasan kepada kita.  Alfatihah! kita sedekahkan kepada semua para pejuang kemerdekaan, termasuklah kepada mereka yang dikatakan ‘tidak tercatat’ dalam dokumentasi sejarah semasa atas jasa dan pengorbanan mereka demi tanahair yang tercinta ini. Percayalah, tanpa susah payah dan penat jerih mereka yang menggerakkan agenda perjuangan menentang kezaliman penjajah, barangkali kita masih berada di bawah belenggu ‘tilam empuk’ mereka. Doa kita agar rmereka ditempatkan dikalangan para syuhada’ dan mereka yang beriman. InsyaAllah…

Jika diperhatikan, disepanjang usia 54 tahun kita menjalani kehidupan sebagai ‘rakyat yang merdeka’ di bumi Malaysia yang bertuah ini, pelbagai mehnah ataupun ujian berjaya kita lalui dalam suasana penuh aman damai dalam kejeleketan ukhuwah serta mahabbah sesama kita, tanpa mengira soal perbedaan kaum, fahaman politik, amalan agama dan budaya. Alhamdulillah…

Namun sejak akhir-akhir ini, mulai terbit anasir-anasir yang boleh dianggap sebagai mencemari ‘nikmat kemerdekaan’ yang sudah kita kecapi sejak lebih lima abad yang lalu. Hari ini, makin menjadi-jadi ‘pertelingkahan’ sesama kita sehingga Al-Qur’an dan Hadis tidak lagi dijadikan ‘tempat kembali’ tatkala bertelagah dan berbeza pandangan. Begitu juga, ‘keredhaan’ sesama sendiri lebih menjadi ‘aulawiyyat’ (keutamaan) daripada keredhaan ALLAH SWT.

Pada mereka yang berbeda fahaman politik pula, seolah-olah mahu ‘berkerat rotan’ untuk tidak mahu mencari jalan damai. Apa yang menjadi dasar dan fokus perjuangan adalah menunding jari untuk mencari kesalahan ‘puak-puak’ lain yang tidak sefahaman dengan mereka, dan ‘adabul ikhtilaf’ (adab-adab perbedaan pandangan) sudah dipandang begitu enteng. 

Juga, mereka yang berlainan amalan agama dan budaya, saling menyanggahi antara satu sama lain, sehingga agama dilihat sebagai ‘penyebab’ kepada permusuhan terutamanya kepada mereka yang tidak memegang kepada mana-mana ‘anutan ketuhanan’. Dengan itu, Islam sebagai ‘ad-din’ yang memanifestasikan satu cara hidup yang lengkap, perlu mengambil pendekatan yang bersifat ‘mendamaikan’. Namun, mestilah dalam kerangka ketinggian serta kesempurnaan Islam sebagai agama samawi yang terakhir.

Juga dilihat, yang berharta makin begitu terpisah dengan mereka yang tidak berharta dan hidup dalam serba kedaifan. Seolah-olah wujudnya ‘tembok pemisah’ yang menghalang terlaksananya semangat bertolongan ke arah kebaikan (taawun ala birri wa taqwa), sehingga yang daif terus dalam kedaifan, yang kaya terus kaya raya.

Juga menyedihkan, yang berkuasa semakin angkuh dengan kuasa yang dimiliki, sehingga ia sanggup digunakan sewenang-wenangnya demi kepentingan diri dan kaum kerabatnya. Amalan rasuah dan penipuan semakin begitu melekat dalam kehidupan. Maruah diri sudah dinilai dengan harta dan wang ringgit! Begitu juga dengan budaya ‘saman menyaman’ di mahkamah dan ‘sumpah laknat’ di rumah-rumah ALLAH dijadikan senjata ampuh untuk mempertahankan antara yang hak dan batil.

Juga pada mereka yang berilmu, mulai zahir nilai takburnya dan rasa kehebatan diri terhadap ilmu dan kepakaran yang dimiliki, sehingga lunturnya semangat ‘balighu anni walau ayah’ (sampaikan daripadaku walaupun sepotong ayat) dikalangan umat. Jikapun ada, habuan lebih diutamakan dan soal ‘amanah ilmu’ dikemudiankan!

Inalillahi wainna ilaihi raajiun…inilah antara ‘mehnah besar pasca merdeka’ yang jika diamati sebenarnya  berpunca daripada ‘hati-hati yang tidak merdeka’. Walaupun secara zahirnya, kita sudah lama merdeka!

Merdeka hati sebenarnya amat signifikan dengan kehidupan kita seharian. Yang membawa kesan yang begitu besar kepada seluruh kehidupan kita di dunia ini dan di Akhirat kelak. Sungguhpun begitu, ramai yang terlepas pandang dan tidak melihat ia sebagai hakikat pencetus dan pengukuh semangat serta hasil kemerdekaan yang kita nikmati hari ini.

Secara simboliknya, Rasulullah SAW mengibaratkan hati sebagai raja kehidupan. Manakala, seluruh anggota badan dianggap sebagai rakyat yang pasti akur kepada suruhannya. Begitu juga, Baginda meletakkan hati sebagai punca kemaksiatan diri seseorang terhadap ALLAH. Hati adalah tempat jatuhnya pandangan ALLAH, tidak sebagaimana ‘jasad’ yang menjadi tempat jatuhnya pandangan manusia. Jika baik hatinya, maka baiklah penilaian dan tindakannya, jika jahat hatinya, maka jahatlah penilaian dan tindakannya.

Hati yang merdeka perlu mempunyai 4 sifat asas yang utama iaitu rabbani (bertuhan), akhlaqi (berakhlak), insani (manusiawi) dan wasati (seimbang). Jika keempat-empat sifat ini dirangkum bersama, InsyaAllah, kita akan dapat menikmati sebuah kehidupan yang benar-benar merdeka bukan setakat di dunia, bahkan apa yang lebih penting kemerdekaan di Akhirat kelak.

Hati yang rabbani sentiasa meletakkan segala-galanya kerana ALLAH di sepanjang kehidupannya di dunia, samada ketika suka dan duka. ‘Habluminallah’ (hubungan dengan ALLAH) akan sentiasa diperkukuhkan. Dan, setiap perancangan, perlaksanaan dan matlamat akhir setiap ikhtiarnya, akan disandarkan sepenuhnya kepada ALLAH. Ini bertepatan dengan firman ALLAH SWT yang bermaksud:

“Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di setiap penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezeki-Nya. Dan, hanya kepada-Nyalah kamu (kembali setelah) dibangkitkan” (Surah al-Mulk : 15)

Penyerahan diri kepada manusia hanya akan meyebabkan hati menjadi kecewa dan gundah gulana serta hilang nikmat ketenangan, terutama jika apa yang dihajati tidak kesampaian. Ini kerana, keupayaan sifat adil manusia begitu terbatas, maka tidak ia akan mampu memberikan keadilan yang hakiki kepada semua pihak. Dan apa yang pasti, segelintir atau sebahagian terpaksa dikorbankan. Namun, tidak sepertimana keadilan ALLAH, ini kerana ruang lingkup keadilan-Nya sedikitpun tidak terbatas. Dengan itu, setiap makhluk pasti akan merasainya berdasarkan kepada ikhitiar masing-masing. Maka tidak perlu timbul soal zalim menzalimi antara satu sama lain, kerana fokusnya adalah ‘keadilan rabbani’, bukannya ‘keadilan manusiawi’.

Hati yang akhlaqi terbit daripada hati yang rabbani yang akan sentiasa terlekat padanya sifat-sifat mahmudah (sifat-sifat yang baik) dan terhindar daripada sifat-sifat mazmumah (sifat-sifat yang keji). Bertepatan dengan peranan hati sebagai raja kehidupan, pengaruh sifat-sifat mahmudah ini akan dilangsungkan kepada seluruh anggota badan kita. Natijahnya, agar lahirlah penilaian dan tindakan yang baik dalam konteks dan peranan masing-masing. Seorang penjawat awam contohnya, dia akan sentiasa melaksanakan amanahnya dengan sebaik mungkin tanpa terjerat dengan perkara-perkara yang tidak baik seperti rasuah, penipuan, diskriminasi, konspirasi dan sebagainya. Begitu juga, seorang ahli politik akan sentiasa berpolitik secara ‘intergriti’ bukannya semata-mata kerana ‘undi’. Justeru, tiada lagi budaya politik wang, sakit menyakiti antara satu sama lain, cantas mencantas sesama sendiri, fitnah-memfitnah. penipuan dan sebagainya. Begitu juga dalam konteks hubungan kejiranan yang semakin ditinggalkan pada hari ini. Dengan adanya sifat mahmudah ini, keakraban jiran akan menjadi lebih menusuk dan sikap bertolongan akan terus menjadi amalan. Hasilnya, akan lahirlah sebuah komuniti kejiranan yang aman damai serta bebas daripada ancaman yang tidak sihat seperti fitnah mefitnah, berprasangka buruk, kecurian dan sebagainya. Dan, hak-hak jiran akan sentiasa terpelihara.

Hati yang insani pula akan sentiasa menyuburkan semangat ‘habluminannas’ (hubungan sesama manusia) dengan mengeratkan hubungan silaturrahim secara istiqamah dan ikhlas.  Ini sejajar dengan saranan ALLAH SWT bahawa setiap mereka yang beriman adalah bersaudara dan keakrabannya ibarat ‘cubit peha kiri, peha kananpun akan turut terasa’. Dengan itu, segala sifat mazmumah seperti hasad dengki, angkuh dan sombong, memperkecilkan orang lain dan sebagainya perlulah dipadamkan dalam hati sepenuhnya. Jangan biarkan ia terbit walaupun sedetik! Dengan suburnya sifat insani ini, budi pekerti akan sentiasa dijaga tatkala berhubungan, kerana dibimbangi akan menyakiti hati. Begitu juga, biar apapun ujian, ia tidak mudah diganggu gugat dengan api fitnah dan adu domba yang dilemparkan. Akhirnya, seluruh umat dapat hidup dalam suasana yang aman damai dan ‘merdeka’ dalam erti kata yang sebenar.

Akhir sekali, hati yang wasati iaitu, hati yang sentiasa meletakkan kesederhanaan (wasatiyyah) dalam setiap timbang tara kehidupan, samada ketika beribadah mahupun bermuamalah. Hati yang terpahat dengan kesederhaan akan mendidik diri agar sentiasa menikmati kehidupan ini dengan penuh rasa kesykuran serta menerima nikmat yang dimiliki seadanya. Terlalu ghairah mendambakan apa yang tiada telah menyebabkan tercetusnya pelbagai konflik dalam kehidupan. Mereka yang kaya akan sentiasa mencari jalan untuk menambah kekayaan mereka walaupun dengan cara yang salah. Begitu juga mereka yang berkuasa akan terus merasa ‘tamak’ dengan kuasa yang ada dan mencari pelbagai ‘jalan’ dan ‘helah’ untuk terus kekal berkuasa sehingga ‘matlamat difatwakan untuk menghalakan cara’. Bagi masyarakat khalayak pula, masing-masing berlumba-lumba mendekati mereka yang dianggap dapat memberikan ‘habuan’ yang lumayan, sehingga ukhuwah menjadi bermusim dan bersebab. Hasilnya, kehidupan masyarakat dan umat menjadi porak poranda dan akhirnya akan membuka ruang kemusnahan umat kelak.

Justeru, tidak bermakna kemerdekaan yang kita nikmati pada hari ini jika hati kita tidak benar-benar merdeka. Percayalah, tanpa kemerdekaan hati akan terbukalah ruang dan peluang umat dan Negara kita di jajah kembali. Ayuh! kita semarakkan 'merdeka hati' ini bersama-sama demi Islam dan tanahair yang tercinta ini. Allahuakbar!!

Wassalam

No comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Host