Pages

Monday, April 11, 2011

Bai al-Ma'dum

Secara asasnya, jual beli dalam Islam mesti melibatkan kewujudan barang jualan (mahal al-aqd atau ma'qud allaih) ketika transaksi berlaku. Transaksi-transaksi yang berlaku tanpa kewujudan barang jual beli disebut bai' al- ma'dum yang biasanya dikaitkan dengan transaksi 'futures contracts' dan 'warrants' dalam konteks transaksi kewangan moden pada hari ini.

Para fuqaha' lampau ada yang berbeza pandangan tentang hukum bai' al-ma'dum ini. Bagi Mazhab Hanafi dan Syafi', jelas setiap transaksi mesti melibatkan kewujudan barang jual beli. Jika tidak, ianya dianggap tidak sah. Dalam situasi ini, mereka merujuk kepada pengharaman Rasulullah terhadap pejualan anak unta yang belum dilahirkan dan barangan yang tidak wujud. Walaubagaimanapun, pengecualian diberikan dalam kes 'salam, ijarah, musaqah dan istisna' berdasarkan prinsip 'istihsan'.

Mazhab Maliki juga sealiran dengan Hanafi dan Syafi' terutamanya yang melibatkan 'mu'awadhat maliyah' (kontrak tukar menukar). Namun, tidak bagi kontrak yang berasaskan tabarru'at (pemilikan secara sukarela) seperti hibah.

Bagi Mazhab Hanbali, tidak ada kondisi sedemikan sebagaimana yang dirujuk oleh kedua-dua Mazhab di atas. Apa yang penting adalah ketidakwujudan elemen ketidakpastian (gharar) dalam kontrak sebagaimana yang diharamkan oleh Islam. Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim berpandangan bahawa pengaharam bukannya disebabkan 'ma'dum' ketika berlakunya transaksi, tetapi lebih kepada kewujudan elemen ketidakpastian (gharar). Ini berasaskan kepada dua argumentasi berikut:


  • Tidak ada penetapan dalam al-Qur'an, Hadith dan juga para sahabat tentang ketidakbolehan bai' al-ma'dum. Cuma ada dinyatakan dalam Hadith tentang larangan penjualan barangan tertentu yang tidak wujud ciri-cirinya. Juga barangan yang wujud tetapi tidak ketika berlakunya transaksi. Ini jelas menunjukkan pengharaman adalah berasaskan elemen ketidakpastian (gharar), iaitu ketidakmampuan untuk menyerahkan barangan yang dijual samada ia wujud ataupun tidak sebaik sahaja selesainya perjanjian jual beli. Sebagai contoh, jual beli haiwan yang terlepas lari daripada jagaan.

  • Terdapat situasi tertentu dimana bai' al-ma'dum dibolehkan oleh syarak, seperti jual beli buah-buahan dan benih yang belum sampai tempoh matangnya. Transaksi ini dibenarkan oleh Baginda Rasulullah (SAW). Ianya dianggap bai' al-ma'dum kerana penjual tidak dapat menyerahkan barangan jualan sebaik sahaja sempurnanya perjanjian jual beli. Dalam hal ini, transaksi salam, istisna' dan ijarah adalah termasuk dalam kategori bai' al-ma'dum yang dibenarkan berdasarkan prinsip 'istihsan'. Ini bermakna, i'llah (penyebab) pelarangan bai' al-ma'dum adalah ketidakpastian (gharar), bukannya ketidakwujudan barangan jual beli. 

No comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Host