Pages

Saturday, July 30, 2011

Indahnya Islam Jika Dihayati & Diamalkan

Islam itu indah... keindahannya hanya dapat dirasai jika kita benar-benar menghayati & mengamalkannya dengan setulus hati, iaitu semata-mata kerana ALLAH. Bukannya atas dorongan kebaikan & keuntungan duniawi yang bakal diperolehi.

Subhanallah...Maha suci ALLAH segala-galanya memang indah, jika gaya hidup Islam menjadi pilihan kita. Bukan sekadar alternatif tatkala sudah terjerat dengan pelbagai masalah kehidupan.

Sudah tersurat, Islam adalah agenda kehidupan yang 'syumul'. Kita disaran oleh Rasulullah SAW agar menghayati dan mengamalkannya dari 'end to end'. Disebut dalam al-Quran sebagai 'udkhulu fi silm kafah' yg bermaksud 'masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan'. Tidak hanya pada sudut-sudut tertentu, terutama yang dilihat mampu memberi ruang kebaikan duniawi.

Asasnya, Islam amat menitikberat kemurnian hubungan antara hamba dengan pencipta, antara hamba dengan hamba dan antara hamba dengan makhluk ciptaan ALLAH SWT yang lain.

Subhanallah, jika Islam benar-benar dihayati dan diamalkan, seisi alam akan hidup dengan penuh kerukunan dan aman damai. Pasti tidak akan ada kezaliman, penindasan, penipuan dan pelbagai sifat mazmumah yang lain sesama hamba. Kerana masing-masing akur dengan penyerahan sepenuhnya kepada ALLAH SWT sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam. Masing-masing berlumba-lumba melaksanakan perkara-perkara yang baik dan menghindari segala perkara yang dimurkai oleh ALLAH SWT. Baik ketika bersendirian mahupun ketika dalam tatapan pandangan manusia. Ihsan terhadap ALLAH menjadi penemannya pada setiap waktu.

Jika ini dapat kita telusuri dalam melaksanakan sebarang agenda kehidupan, masing-masing mempunyai fokus yang satu iaitu mencari keredhaan ALLAH SWT (mardhatillah) dalam setiap perkara yang dilakukan, baik ketika bermuamalat apatah lagi ketika beribadat.

Ibadat adalah pokok kehidupan yang bertunjangkan hati yang tulus kepada ALLAH tanpa sedikitpun keraguan. Manakala, muamalat adalah ranting kehidupan yang berdahankan kepatuhan pada kitab ALLAH dan sunnah Rasulullah SAW.

Hakikatnya, keredhaan ALLAH yang sebenarnya menjadi penentu jatuh bangunnya kehidupan seseorang hamba, baik di dunia apatah lagi di Akhirat. Bukannya, nilai kekayaan harta yang dimiliki, begitu juga dengan pangkat dan kuasa yang ada dalam gengaman.

Tanpa keredhaan-Nya, hidup pasti tidak akan ke mana. Walaupun di dunia kita adalah juara dalam pelbagai lapangan kehidupan, sehingga pengiktirafan sudah tidak lagi terkira. Namun, jika kita mengakhiri kehidupan dunia ini dengan keangkuhan dan kesombongan terhadap-Nya, kehidupan yang sengsara yang kekal abadi akan menunggu kita di Akhirat kelak.

Di Akhirat kelak, kita hanya mempunyai dua kesudahan iaitu antara syurga dan neraka. Jika tidak ke syurga, ke nerakalah tempatnya. Jika tidak ke neraka ke syurgalah tempatnya. Pilihan bukan di tangan kita lagi, ianya sudah menjadi hak mutlak ALLAH SWT. Tidak sebagaimana di dunia, peluang seluas-luasnya diberikan kepada kita untuk membuat pilihan. Walaupun kita seringkali menyalahgunakan peluang yang diberikan oleh ALLAH SWT dengan memilih jalan yang bertentangan dengan kehendak-Nya. Sungguhpun begitu, dalam sesetengah keadaan kita masih diberikan peluang kedua untuk mengubah keadaan yang lebih baik. Itupun, masih ada sesetengah dikalangan kita yang sekali lagi menyalahgunakan peluang kedua yang diberikan oleh ALLAH SWT, tanpa adanya rasa keinsafan dan keyukuran terhadap-Nya.

Islam itu indah pada fitrahnya. Namun, kerakusan 'tangan-tangan' manusialah yang mencalar dan mencemarkan keindahannya. Sehingga ada sesetengah yang menjadikan Islam sebagai batu loncatan untuk meraih habuan duniawi yang berlipat-ganda dengan hanya menjadikan Islam sebagai 'trademark' dan 'branding'. Bukannya agenda kehidupan yang begitu indah kepada setiap manusia!

Semoga perkongsian ini menjadi dentuman keinsafan kepada kita semua. Doa kita agar keindahan Islam akan sentiasa terpelihara. Ameen...

No comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Host