Pages

Tuesday, November 17, 2015

Penjelasan terperinci YaPEIM terhadap dakwaan NOW joli duit anak yatim



Berikut penjelasan YaPEIM oleh Ketua Pengarah/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YaPEIM.


Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) adalah sebuah institusi yang ditubuhkan di bawah Akta Pemegang Amanah 1952 pada 13 Oktober 1976 sebagai instutusi yang berorentasikan ekonomi dan kebajikan.
Salah satu program pembangunan ekonomi Islam yang paling berjaya ialah Program Ar Rahnu YaPEIM yang kini telah dilaksanakan melalui 202 buah cawangan di seluruh negara.
Malah YaPEIM adalah pelopor dan peneraju dunia dalam memperkenalkan instrumen Ar Rahnu sejak 1993.
Program Ar Rahnu terbukti telah menjana keuntungan yang amat memberangsangkan. Tahun ini sahaja, YaPEIM berjaya menjana pendapatan mencecah RM83 juta dari aktiviti Ar Rahnu. Pendapatan ini telah meningkat sebanyak RM11 juta berbanding RM72 juta tahun 2014.
Selain daripada Ar-Rahnu, YaPEIM kini mula terlibat secara aktif di dalam bidang perniagaan yang lain seperti pasaraya, perniagaan berasaskan emas, bidang keselamatan (termasuk perlindungan takaful dan CCMS) dan pelaburan hartanah. Ketika ini YaPEIM sedang menggerakkan Tabung Ibadah Qurban dan meneliti peluang untuk menceburi di bidang penternakan.
Melalui pelbagai pendekatan ekonomi yang dilaksanakan ini, Rezab Pendapatan YaPEIM terus bertambah dengan Aset Bersih sebanyak RM138 juta pada tahun 2014 dan dijangka bertambah menjadi RM160 juta sehingga Disember tahun 2015. Berdasarkan Laporan Kewangan 2014, jumlah aset keseluruhan YaPEIM berjumlah RM1.034 bilion.
YaPEIM berjaya menjana pendapatan sendiri tanpa perlu bergantung kepada bantuan (geran) kerajaan dalam pengurusan dan operasinya.
Hasil dari kejayaan dan keuntungan yang dijana melalui pelbagai aktiviti perniagaan pembangunan ekonomi YaPEIM memperkenalkan pelbagai program kebajikan seperti Skim Kecemerlangan Pelajar Nasional – SANTUN (melibatkan 5,200 orang pelajar yang cemerlang termasuk pelajar dari keluarga miskin), Program Sinar Kasih dan Skim Khairat Nasional (dengan kumpulan sasar 200 ribu keluarga yang berdaftar di bawah e-Kasih), Program Pembangunan Komuniti dan Program Pembangunan Keusahawanan (mencecah 120,000 orang pada penghujung tahun 2015). Untuk rekod, YaPEIM juga merupakan penyedia dana dan pelopor utama bersama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi Skim Pembiayaan Ikhtiar Malaysia di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebelum ianya diambil alih oleh Kerajaan.
Seiring dengan pendekatan YaPEIM yang ingin berkongsi dengan masyarakat dalam melaksanakan pelbagai program kebajikan, YaPEIM turut membuka ruang kepada masyarakat untuk menyumbang melalui skim-skim yang diperkenalkan termasuk melalui Skim Potongan Gaji Bulanan.
YaPEIM sentiasa berpegang kepada prinsip Syariah dan nilai integriti yang tinggi dalam urusan pengoperasiannya
Amat malang bagi umat Islam, walaupun YaPEIM telah menempa pelbagai kejayaan dan telah menebar bakti sejak mula beroperasi, kini YaPEIM terpaksa berdepan dengan pelbagai pertuduhan jahat daripada Akmal bin Nasir, Ketua Cabang PKR Johor Bahru merangkap Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan [National Oversight and Whistleblowers (NOW)] yang bertujuan menjatuhkan reputasi YaPEIM.
Akmal bin Nasir pada 9 November 2015 membuat satu pertuduhan bahawa YaPEIM telah membelanjakan wang sejumlah RM223,000.00 untuk kempen pilihan raya kecil di Parlimen Rompin.
Kemudiannya pada 11 November 2015, Akmal bin Nasir membuat pertuduhan bahawa Presiden dan Timbalan Presiden serta keluarganya menerima pendapatan keseluruhan sebanyak RM154,700 sebulan.
Pada 13 November 2015, Akmal bin Nasir mengeluarkan lagi kenyataan bahawa terdapat satu skandal melibatkan YaPEIM di mana wang sebanyak RM410,978.56 yang sepatutnya digunakan untuk amal jariah telah disalahgunakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Y.B Dato’ Seri Jamil Khir Baharom. Akmal bin Nasir menambah bahawa walaupun perjalanan tersebut dikatakan untuk tujuan “Pemantapan dan Pemerkasaan Kelab Santun YaPEIM”, berdasarkan perbelanjaan-perbelanjaan yang dicaj dan dibayar oleh YaPEIM adalah bersifat sukaria dan langsung tiada unsur amal jariah. Beliau turut menyatakan bahawa pembayaran dibuat menggunakan duit yang dikhususkan untuk kegunaan anak yatim dan miskin.
Namun keesokan harinya pada 14 November 2015 beliau tampil membuat pembetulan jumlah yang dibelanjakan iaitu sebanyak RM590,000.00 yang dibelanjakan di dalam program di Amerika Syarikat dan mendakwa hanya melibatkan 100 orang peserta sahaja.
Terbaru pada 16 November 2015 petang, Akmal Nasir membuat pertuduhan bahawa YaPEIM membelanjakan sebanyak RM290,000.00 bagi penganjuran kursus perkahwinan di Paris yang dirasmikan oleh Dato’ Seri Jamil Khir Baharom. Beliau membuat tuduhan bahawa program tersebut tidak mencerminkan matlamat kebajikan dan amal jariah.
YaPEIM memandang serius segala pertuduhan yang dilemparkan oleh Akmal Bin Nasir kerana ianya telah menyebabkan krisis keyakinan dikalangan penyumbang dan meletakkan YaPEIM di dalam pandangan umum yang sangat buruk. Ianya turut memberi kesan negatif dalam urusan perniagaan YaPEIM. Tuduhan penyalahgunaan dan penyelewangan dana Amal Jariah (Skim Potongan Gaji) serta pembaziran adalah tuduhan berat yang berniat jahat dan bermotifkan politik. Lebih mendukacitakan ia telah diterima oleh sebahagian daripada masyarakat di dalam dan luar negara berdasarkan maklumat yang terkandung dalam dokumen dalaman YaPEIM yang dicuri dan kemudiannya diputarbelitkan oleh NOW.
YaPEIM dengan ini menyangkal sekeras-kerasnya segala pertuduhan dan ingin menjelaskan serta menyatakan dengan tegas bahawa:
1 – YaPEIM bukanlah sebuah badan kerajaan. YaPEIM adalah sebuah perbadanan yang tertakluk kepada Surat Ikatan Amanah yang berdaftar di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 (selepas ini dirujuk sebagai “Surat Ikatan”).
2 – Setakat tahun 2014, YaPEIM telah mengeluarkan sejumlah RM453,089,453.00 bagi tujuan program pembangunan sosio-ekonomi (amal jariah). Dalam tempoh yang sama jumlah kutipan sumbangan amal jariah YaPEIM melalui Skim Potongan Gaji (SPG) dan skim-skim lain hanyalah sebanyak RM334,931,764. Manakala sejumlah RM118,157,689.00 adalah jumlah penambahan dari Dana Perniagaan YaPEIM bagi pengeluaran amal jariah yang diambil daripada sumber dana perniagaan YaPEIM.
* Kutipan SPG dan Skim-skim lain RM334,931,764.00
* Dana Perniagaan YaPEIM RM118,157,689.00
* Jumlah Pengeluaran Amal Jariah RM453,089,453.00
3 – Maka tuduhan bahawa YaPEIM menyalahgunakan atau menyeleweng kutipan duit sumbangan amal jariah daripada para penyumbang di bawah Skim Potongan Gaji adalah tidak benar sama sekali dan jelas ianya merupakan satu fitnah jahat yang bertujuan untuk menghakis keyakinan penyumbang kepada institusi perniagaan Islam seperti YaPEIM.
4 – Atas sebab itu, tidak timbul sebarang isu kononnya YaPEIM membayar elaun Presiden dan Timbalan Presiden menggunakan duit sumbangan amal jariah melalui Skim Potongan Gaji. Segala pembayaran gaji, elaun dan keseluruhan kos operasi ditanggung sepenuhnya melalui dana daripada aktiviti perniagaan dan perkhidmatan yang dilaksanakan YaPEIM. Lebih penting sejak awal penubuhan hingga kini YaPEIM diaudit oleh Jabatan Audit Negara.
5 – Presiden dan Timbalan Presiden telah memberi sumbangan yang besar dan berkesan kepada kemajuan dan perkembangan YaPEIM. Melalui usaha dan komitmen penuh mereka dan disokong pengurusan dan semua kakitangan menjadikan Rezab Pendapatan YaPEIM terus bertambah dengan Aset Bersih sebanyak RM138 juta pada tahun 2014 dan dijangka bertambah menjadi RM160 juta sehingga Disember tahun 2015. Jumlah keseluruhan Aset YaPEIM berjumlah RM1.034 bilion.
6 – YaPEIM menjalankan perniagaan seakan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) seperti PNB, Tabung Haji dan Felda. Namun bagi jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah tidak menikmati pembayaran bonus dan dividen sebagaimana syarikat berkaitan kerajaan atau institusi korporat yang lain.
7 – Berkenaan perlantikan ahli keluarga Timbalan Presiden di dalam YaPEIM, ingin dijelaskan bahawa pelantikan mereka telah dibuat mengikut proses dan prosedur perlantikan yang sah dan tiada peraturan yang menghalang pelantikan ahli keluarga di dalam YaPEIM. Mereka mula dilantik di dalam anak syarikat YaPEIM berdasarkan kelayakan dan keperluan yang wujud. Wan Johan Wan Ismail memiliki ijazah sarjana muda Perancangan, Bangunan dan Perumahan dan Ijazah sarjana (masters) pengurusan Projek daripada Universiti Sains Malaysia manakala Tuan Haji Ismail bin Mohd Nasib pula merupakan pemegang Ijazah Sarjana Kaunseling University of Western Michigan, Amerika Syarikat, post graduate Diploma Universiti Kebangsaan Malaysia dan Sarjana Muda Sejarah, Universiti Malaya. Beliau juga merupakan pensyarah Bachelor of Education TESL Universiti Kebangsaan Malaysia dan jawatan terakhir adalah Pegawai Kebajikan Pelajar, Chicago, Amerika Syarikat. Mereka juga telah memberikan sumbangan kepada pembangunan perniagaan YaPEIM.
8 – Setiap aktiviti atau keputusan yang dibuat di dalam YaPEIM adalah berdasarkan kepada polisi yang telah diluluskan oleh Lembaga Pemegang Amanah selaras dengan Surat Ikatan. Ahli Lembaga Pemegang Amanah pula terdiri daripada 12 ahli lembaga dari pelbagai latarbelakang antaranya akauntan, peguam, bekas mufti, rektor universiti, mantan Timbalan Naib Canselor, Pegawai Tinggi Kerajaan dan lain-lain. Selain itu YaPEIM turut dikawal-selia Jawatankuasa Pengawasan Syariah yang sentiasa memantau segala urusan operasi YaPEIM.
9 – Aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh YaPEIM adalah bertujuan untuk memenuhi matlamat penubuhan iaitu pembangunan sosio-ekonomi umat Islam dan kebajikan. YaPEIM telah menjalankan pelbagai program samada di dalam negara mahupun di luar negara. Berkenaan program-program yang dijalankan oleh YaPEIM di luar negara ianya merupakan sebahagian daripada Strategi Lautan Biru bagi menerapkan nilai-nilai kepimpinan dan keusahawanan di kalangan pelajar-pelajar Malaysia di luar negara selain memastikan kebajikan mereka diberi perhatian. Program-program yang telah dirangka juga adalah bertujuan memberikan peluang kepada pelajar-pelajar untuk berdialog secara terus dengan YB Menteri yang bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Islam. Sepanjang dialog dan interaksi yang dibuat mereka telah diberikan kefahaman dan penerangan berkaitan isu-isu kenegaraan, isu-isu semasa hal ehwal Islam, isu-isu keganasan, LGBT dan lain-lain.
10 – YaPEIM ingin menyangkal tuduhan bahawa YB Menteri telah hadir ke program-program anjuran YaPEIM di luar negara adalah untuk bersukaria. YB Menteri telah dijemput oleh YaPEIM bukan sahaja untuk merasmikan dan terlibat di dalam program-program secara langsung dengan para pelajar tetapi juga mewakili YaPEIM dalam mengadakan perbincangan dengan pihak Kedutaan Malaysia dan Education Malaysia yang menjaga secara langsung kebajikan para pelajar Malaysia di luar negara.
11 – Berdasarkan fakta-fakta di atas amat jelas sekali bahawa pertuduhan-pertuduhan yang dilemparkan oleh Akmal Bin Nasir dan NOW adalah tidak berasas sama sekali, berunsur fitnah dan berniat jahat. Ianya telahpun berjaya menghakis keyakinan para penyumbang dan dengan persepsi serta pandangan buruk masyarakat dan pelabur terhadap YaPEIM sudah pasti menjejaskan perniagaan dan pertumbuhan YaPEIM sebagai satu badan yang telah banyak menyumbang ke arah pembangunan sosio-ekonomi umat Islam.
12 – Tambah memeritkan daripada fitnah ini, adalah kesan kepada penerima-penerima sumbangan amal jariah YaPEIM yang terdiri daripada 200,000 keluarga kumpulan sasar Program Sinar Kasih dan Skim Khairat Nasional, 120,000 usahawan kecil yang terlibat dalam program pembangunan komuniti dan program pembangunan usahawan serta 5,200 pelajar di bawah Skim Kecemerlangan Pelajar Nasional (SANTUN).
13 – Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang masih mempunyai kepercayaan dan terus menyokong YaPEIM dalam menjayakan misi membangun sosio-ekonomi umat Islam di negara ini.
14 – YaPEIM dan individu-individu yang kredibilitinya terjejas teruk dengan fitnah NOW akan mengambil tindakan undang-undang dalam masa terdekat. YaPEIM juga memohon kerjasama agensi-agensi penguatkuasaan tertentu bagi menyekat kegiatan jahat NOW mencuri dokumen-dokumen dalaman YaPEIM dan seterusnya menyebarkan maklumat palsu dan memutarbelitkan fakta bertujuan memfitnah YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Dato Seri Jamil Khir Baharom, YaPEIM dan peneraju-peneraju tertinggi YaPEIM.-17/11/2015

Monday, November 16, 2015

Memperkasa Ekonomi Islam Di Malaysia




Ekonomi Islam adalah  ilmu  yang mempelajari perilaku ekonomi manusia bersandarkan kepada al-Quran dan Sunnah dan urf tijari (amalan komersial) yang tidak bertentangan dengan syariat. Antara tujuan utama ekonomi Islam adalah untuk mewujudkan keseimbangan di antara kepentingan individu dengan kepentingan masyarakat. Dalam konteks ini, kepentingan individu dan masyarakat harus sejajar dan tidak bertentangan antara satu sama lain. Keseimbangan ini akan terbentuk melalui penglibatan anggota masyarakat di dalam kegiatan ekonomi yang dibenarkan oleh syariat secara produktif di samping penyelarasan melalui dasar, polisi dan akta tertentu yang digubal dan dilaksanakan secara telus dan adil oleh pemerintah bagi mengawal dan mengurus sebarang kemungkinan salah laku dalam pasaran.

Peranan kerajaan amat signifikan dalam sesebuah ekonomi negara melalui gerak laku di peringkat makro dan mikro berbanding unit-unit ekonomi yang lain, iaitu isi rumah dan peniaga. Justeru itu, kerajaan perlu melaksanakan langkah-langkah yang sejajar dan bersrategik secara berterusan untuk memperkasa amalan ekonomi Islam di Malaysia.

Di antara tindakan awal yang boleh dilaksanakan bagi merealisasi tujuan ini adalah dengan menerapkan dan merakyatkan kefahaman “pengagihan semula harta kekayaan ” (Redistribution of wealth) dalam masyarakat. Di antara hikmah di sebalik perlaksanaan pengagihan semula harta kekayaan adalah:


1)      Memenuhi keperluan asasi semasa masyarakat.

2)      Membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

3)      Menjana sektor ekonomi Negara.



Tindakan ini boleh dilaksanakan melalui institusi zakat dan waqaf yang akan menggalakkan kitaran ekonomi yang sihat dalam penyusunan semula sesebuah masyarakat atau negara ke arah memajukan dan meningkatkan kualiti dan taradf hidup di peringkat individu dan masyarakat.

Bagi tujuan ini, pengukuhan institusi zakat dari sudut pengagihan dan pentadbiran perlu diberikan perhatian dan tindakan. Berdasarkan statistik, pungutan zakat di Selangor sahaja pada tahun 2014 telah melebihi sasaran, dengan jumlah kutipan sebanyak RM 582.1 juta berbanding RM 517.3 juta dalam tempoh yang sama pada tahun 2013. Angka ini membuktikan bahawa institusi zakat di Malaysia berupaya menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Islam di Malaysia. Namun, penambah baikan dari sudut pentadbiran dan agihan yang sedia ada perlu terlebih dahulu dilaksanakan.

Dengan berdiri teguhnya institusi zakat, sesebuah masyarakat atau negara boleh menjadi maju dan kualiti taraf hidup di peringkat individu dan masyarakat boleh ditingkatkan melalui bantuan secara menyeluruh dan bantuan bulanan kepada asnaf- asnaf zakat terutamanya golongan fakir, miskin dan muallaf agar mampu berdikari dan akhirnya menyumbang kembali kepada institusi zakat. Kitaran ini akan mewujudkan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Islam yang lebih mapan.

Untuk itu, pusat zakat di setiap negeri seharusnya mempergiatkan peranan untuk turun padang bagi mencari golongan fakir dan miskin dengan pelbagai medium termasuklah dengan aplikasi media sosial seperti facebook, whatsap, instagram dan sebagainya. Dan, pada masa yang sama memupuk kesedaraan masyarakat umum tentangbagaimana zakat mampu membasmi kemiskinan dan kesan positifnya kepada ekonomi Negara secara keseluruhan. Perkara ini amat penting untuk memastikan tidak ada asnaf-asnaf yang tercicir dalam pengagihan zakat ini dan masyarakat yang berkelayakan sebagai pembayar zakat pula menunaikan tanggungjawab mereka secara berterusan.  Jika ini dapat dilaksanakan secara konsisten, ia akan melengkapkan kitaran ekonomi secara sihat dan asnaf-asnaf akan menyumbang kembali sebagai pembayar zakat setelah mereka berjaya kelak.

Selain daripada itu juga, ekonomi Islam dapat diperkasakan melalui institusi Waqaf dimana individu atau organisasi menyumbangkan harta benda mereka secara sukarela. Ini berbeza dengan zakat, harta waqaf boleh turut dilaburkan dan hasil pelaburan tersebut boleh melipat gandakan jumlah bantuan kewangan kepada penerima yang layak. Justeru itu, kerajaan perlu bertindak sebagai medium penggerak untuk mengukuhkan kedudukan institusi waqaf dalam ekonomi Negara. Antaranya dengan mengkomersialkan harta waqaf dan menggalakkan pemberian waqaf wang tunai melalui atas talian dan memberikan insentif tertentu kepada majikan-majikan yang menggalakkan potongan gaji.  Ini kerana institusi waqaf dilihat berpotensi dalam pembangunan ekonomi negara khususnya pembangunan ekonomi Islam dimasa hadapan.

Antara tindakan lain yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan adalah dengan menggalakkan penglibatan masyarakat dalam pembangunan industri kecil dan sederhana yang bermatlamat untuk meningkatkan pengeluaran barang-barang dan perkhidmatan yang bersifat keperluan dalam pasaran. Untuk itu, langkah drastik perlu diambil dengan menyediakan modal pendahuluan melalui pinjaman tanpa faedah melalui institusi waqaf kepada peniaga-peniaga yang layak serta memberikan latihan khususnya berkaitan perniagaan dan perusahaan. Langkah ini dapat membantu dalam memastikan kestabilan jangkamasa panjang ekonomi masyarakat Islam di Malaysia.

Galakan secara berterusan harus diberi kepada masyarakat Islam untuk menjadi pengeluar barangan halal keperluan harian dan mengurangkan kebergantungan kepada produk-produk asing. Dan, ini boleh juga dianggap sebagai keperluan ke arah mencapai kestabilan ekonomi.

Di samping itu, pasaran modal Islam juga perlu diperkukuhkan. Setakat ini, Malaysia adalah perintis kepada kewujudan pasaran modal Islam secara lebih berstruktur dan ‘well-regulated’. Penglibatan kerajaan dalam menjayakan misi ini dilihat sebagai penyumbang terbesar dalam kejayaan industri pasaran modal Islam. Sehubungan dengan itu, untuk memastikan kestabilan dan kerancakan pasaran modal Islam, kerajaan harus terus mendukung dengan memberi insentif seperti potongan cukai  di atas penerbitan sukuk dan pelaburannya oleh syarikat-syarikat dana pelaburan tempatan dan antarabangsa. Ini bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai pelabur menyertai pasaran modal Islam terutama pelabur individu sekaligus dapat memperkasa ekonomi dan keyakinan global terhadap sistem ekonomi Islam.

Selain itu,kerajaan perlu lebih menggalakan institusi perbankan konvensional untuk beralih kepada penawaran produk perbankan patuh syariah. Ini kerana sistem ekonomi konvensional yang berorientasikan riba atau caj faedah dan pelaburan dana dalam aktiviti tidak patuh Shariah seperti pelaburan dalam perniagaan arak atau judi telah menimbulkan banyak krisis dalam masyarakat. Tambahan, sistem perbankan yang berasaskan riba telah membuka lebih banyak peluang kepada aktiviti-aktiviti spekulasi dalam pasaran yang boleh menyumbang kepada ketidakstabilan ekonomi Negara dan krisis ekonomi yang pastinya akan menyusahkan banyak pihak dalam masyarakat

Sebab itulah, Islam secara jelas mengharamkan amalan riba atau faedah dalam aktiviti ekonomi, Allah s.w.t berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 275 yang bermaksud:

‘’ Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya”.

Secara teori, kadar faedah yang tinggi akan menimbulkan inflasi yang mengurangkan kuasa beli pengguna dan kemudiannya akan memberi kesan negatif kepada ekonomi secara keseluruhan. Inflasi juga akan menggalakkan aktiviti penyorokan barangan (hoarding) oleh peniaga yang ingin mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan yang lebih tinggi. Ini akan menyumbang kepada ketidakcekapan dalam pengurusan ekonomi keseluruhannya.

Bahkan, sistem ekonomi yang berasaskan riba ini juga akan mencipta jurang ekonomi yang besar antara golongan kaya dan golongan miskin. Data IMF membuktikan bahawa jurang besar berlaku sejak tahun 1965 sehingga ke hari ini. Kadar faedah juga memberi kesan kepada pelaburan, pengeluaran dan mewujudkan pengangguran. Dengan peningkatan kadar faedah, ia akan memberi kesan kepada kemerosotan dalam pelaburan seterusnya akan menjejaskan kadar pengeluaran dan akan menyebabkan peningkatan kadar pengangguran dan kemiskinan.


 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Host