KUASAI KUASA
BELI UMAT
Oleh: Abdul
Hadi Jusoh
Kuasa beli adalah sesuatu
yang amat penting kepada pengguna, peniaga dan sistem ekonomi secara
keseluruhannya. Asasnya, ia merujuk kepada keupayaan pengguna untuk memiliki
barangan dan perkhidmatan dalam pasaran melalui pelbagai bentuk sumber
pendapatan yang diperolehi seperti gaji, elaun, bonus, sewa, dividen dan
sebagainya. Dalam ungkapan yang lebih mudah, kuasa beli dikaitkan dengan nilai
wang dan jumlah barangan atau perkhidmatan yang mampu dibeli oleh pengguna.
Daripada perspektif ekonomi
Islam, kuasa beli turut dianggap sebagai sesuatu yang amat relevan dengan
kehidupan kerana ia memberikan kesan langsung dan tidak langsung kepada keseluruhan
agenda kehidupan, di dunia ini dan di akhirat kelak. Justeru, ianya perlu
dipenuhi dan ditadbir urus dengan sebaik mungkin berlandaskan tatacara yang
tidak bertentangan dengan syariat Allah SWT.
Namun, kuasa beli bukanlah
matlamat paling utama dalam kehidupan sebagaimana yang diasuh oleh budaya
Kapitalisme. Ia hanyalah sekadar wasilah untuk menyempurnakan amanah
kekhalifahan yang telah terpikul ke atas bahu setiap insan, seawal pengutusan
Nabi Adam as dan Siti Hawa ke dunia ini.
Ketidakupayaan dalam kuasa
beli akan membatasi urusan muamalat dan ibadah dalam kehidupan seharian. Ini
kerana, ‘tanpa wang yang mencukupi’ sudah pasti hidup akan berdepan dengan
pelbagai kesukaran untuk memenuhi tuntutan keperluan kehidupan seperti tempat
tinggal, makan minum dan pakaian dengan sempurna. Sedangkan, ke semua itu
mempunyai kaitan langsung dengan fokus dan kualiti ‘habluminallah’ dan
‘habluminannas’ seseorang hamba.
Kuasa beli mempengaruhi
interaksi dalam ekonomi. Interaksi yang baik akan meningkatkan taraf hidup
rakyat dalam erti kata tuntutan keperluan rohani dan jasmani dapat dipenuhi
dengan sebaik mungkin oleh sebahagian besar rakyat. Akibatnya, mereka dapat
menjalani kehidupan yang rukun dan damai dan dapat bekerja dengan penuh itqan.
Walaubagaimanapun, kita
perlu berhati-hati dalam mengurus kuasa beli ini. Agar ianya, tidak bersifat
seperti ‘gali lubang tutup lubang’ atau ‘kais bulan makan bulan, kais pagi
makan pagi’, yang kemudiannya menjadi penyebab kepada bermaharajalelanya
kezaliman dalam masyarakat. Akibatnya, yang daif dan tidak bijak mengambil
peluang akan terjebak dengan kemelaratan hidup. Mereka hidup ibarat dalam
keadaan kaki dan tangan diikat. Sedangkan, bekalan yang ada hanya sekadar cukup
untuk mengalas perut.
Dari segi sumbernya pula, ia
mestilah yang benar-benar ‘halalan toyyiban’. Matlamat menghalalkan cara tidak
boleh sesekali dijadikan hujah dan justifikasi untuk menghalalkan setiap sen
pendapatan yang diperolehi. Begitu juga, ia tidak wajar diperolehi semata-mata
dengan berhutang. Peribahasa, ‘ukur baju di badan sendiri’ wajar dijadikan
sandaran. Apatah lagi, yang diperolehi dengan cara menipu, merampas, rasuah dan
sebagainya.
Hikmahnya, agar kuasa beli
sentiasa setara dengan interaksi permintaan dan penawaran terhadap barangan dan
perkhidmatan dalam pasaran. Ini penting bagi memastikan harga barangan dan
perkhidmatan yang dijual tidak terlalu ‘over pricing’ ataupun ‘under pricing’.
Agar, semua pihak mendapat keadilan dan hak masing-masing.
Realiti yang berlaku pada
hari ini, aliran kuasa beli telah ‘diganggu’ oleh pendapatan daripada rasuah,
pengubahan wang haram dan jenayah. Juga, akibat pembiayaan peribadi dan kad kredit yang tidak terkawal.
Di mana, ini semua telah menekan dan melemahkan kuasa beli terutamanya bagi
golongan yang berpendapatan rendah dan tidak berkemampuan kerana keuzuran
tertentu.
Dalam situasi umat Islam
yang ditekan daripada segenap sudut secara halus sejak ratusan tahun yang lalu,
pengukuhan kuasa beli akan berupaya menjadi jalan keluar atau setidak-tidaknya
sebagai agen kepada perubahan ekonomi yang lebih menepati syariat. Barangkali
juga, sebagai ‘kick-start’ dan pelengkap kepada wasilah yang bersifat
‘political will’ ke arah sistem kehidupan yang lebih Islami secara keseluruhannya.
Wallahu’alam, - AHJ
BERHATI-HATI
DENGAN SKIM CEPAT KAYA
Oleh: Hashim
Ahmad Shiyuti
Sejak akhir-akhir ini,
pelbagai kaedah dan cara telah diperkenalkan oleh penganjur skim cepat kaya
dengan slogan untuk membantu menambahkan pendapatan. Ada yang menawarkan skim
pelaburan yang menjamin peroleh bulanan secara tetap dari sudut wang ringgitnya
dan juga tempohnya. Ada pula yang menawarkan keuntungan yang besar yang tidak
mungkin diperolehi oleh perniagaan-perniagaan yang biasa. Sesetengahnya pula
ada yang menawarkan pendapatan secara konsisten tanpa perlu lagi bekerja
membanting tulang empat kerat.
Perlu diketahui bahawa
skim-skim ini adalah sebenarnya racun di dalam madu dan duri di dalam bunga
yang mana manis pada zahirnya tetapi mudarat pada hakikatnya. Skim-skim ini
telah mengakibatkan ramai yang telah tertipu dengan paparan-paparan indah yang
dijelmakan sehingga ada yang ‘terkorban’ dengan menanggung hutang yang lebih
besar, serta ada juga yang habis semua simpanan dan wang pencen.
Terdapat beberapa ciri-ciri
persamaan di antara skim-skim cepat kaya tumbuh seperti cendawan sesudah hujan
yang perlu dijauhi agar tidak menyebabkan penyesalan dikemudian hari. Pertama,
skim-skim ini menawarkan dividen/keuntungan yang berlipat-ganda lebih tinggi
berbanding institusi-institusi kewangan atau pelaburan berlesen.
Keduanya, skim-skim ini
menawarkan jumlah keuntungan tetap dan tinggi secara konsisten jika
dibandingkan dengan dana-dana pelaburan yang ditawarkan oleh
institusi-institusi pelaburan dan kewangan berlesen di negara ini.
Ketiganya, tidak menyatakan
secara jelas kepada pelabur-pelabur berhubung kelulusan pihak Bank Negara
Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan lain-lain agensi-agensi
pengelolaan dan penguatkuasaan pasaran yang ditubuhkan oleh pihak kerajaan.
Keempatnya, skim pelaburan
dijanjikan dengan nilai risiko kerugian yang hampir sifar dan tidak akan
sesekali menemui kegagalan walaupun keadaan ekonomi dan pasaran kewangan
menjunam.
Perlu difahami, tidak ada
jalan mudah dan singkat untuk menikmati kesenangan hidup di dunia ini, apatah
lagi di akhirat kelak. Segala-galanya hanya akan dapat dikecapi melalui ikhtiar
yang bersungguh-sungguh dengan penuh berkualiti, tanpa sedikitpun mengenal erti
putus asa.
Justeru, berhati-hatilah
dengan sebarang jenis pelaburan skim cepat kaya yang ingin disertai, agar ia
tidak menjadi penyebab kepada bebanan kewangan yang lebih besar di hari
kemudian. Wallahu’alam.
REALITI
MASYARAKAT MELAYU ISLAM SEKARANG
Oleh: Mohamad
Razif Ibrahim
Realitinya, masyarakat Melayu
hari ini masih tidak mengendahkan al-Qur’an sebagai sumber panduan dan
perundangan hidup. Akibatnya, dari sudut pencapaian kita masih jauh ketinggalan
dalam bidang perniagaan, pendidikan, ekonomi dan sosial, samada di peringkat
nasional apatah lagi antarabangsa.
Selepas
57 tahun merdeka, kebanyakan aset hartanah seperti bangunan-bangunan pencakar
langgit, kilang-kilang, ladang-ladang, hotel-hotel terkemuka, pusat-pusat
peranginan, institusi-institusi pendidikan bertaraf dunia dan kependudukan di
Bandar-bandar besar dikuasai oleh masyarakat bukan Islam kecuali dibeberapa
tempat sahaja. Hanya setakat jalan-jalan utama sahaja yang dinisabkan dengan
nama orang Melayu.
Di samping itu, masyarakat Melayu juga tidak begitu
arif dalam bab pengurusan harta dan pewarisannya berbanding dengan masyarakat
bukan Melayu. Sehingga nilai harta yang diwarisi daripada satu generasi semakin
mengecil. Justeru, sesudah 57 tahun kita merdeka dan ‘looking forward’ 57 tahun
lagi, apakah lagi kekuatan yang boleh menjadi menjadi banteng bagi kelangsungan
kita semua dalam kehidupan dunia yang semakin mencabar dan kompleks.
Barangkali,
pada masa hadapan pakar-pakar sosial kemanusiaan dan ‘science anthropology’
akan cuba mencari jawapan kenapa masyarakat Melayu yang dahulunya mempunyai
nilai harta yang telah mencecah lebih RM2.4 trillion, menjadi masyarakat yang
ketinggalan dalam ekonomi dan pendidikan pada waktu itu.
Pernahkah
kita terfikir samada harta yang sedia ada ini akan berupaya menjamin
kelangsungan hidup kita dan generasi yang akan datang. Jawapannya, pasti tidak,
jika tidak ada sebarang usaha untuk memperkasakan ekonomi secara kolektif dan benar-benar
berlandaskan syariat Allah SWT mulai sekarang. Antaranya, dengan memperkasakan
sistem ekonomi yang tidak berasaskan riba dan memperkukuhkan keupayaan ekonomi
zakat dalam masyarakat. Agar wujudnya keadilan ekonomi yang akan menjadi titik
permulaan kepada kejayaan ekonomi yang lebih besar dalam masyarakat.
Percayalah,
selagi mana sistem ekonomi masih berasaskan riba, maka selagi itulah keadilan
ekonomi dalam masyarakat tidak akan dapat dicapai. Malah, jurang pendapatan
dalam masyarakat makin melebar. Dan, jumlah hutang isi rumah akan juga makin
meningkat. Akhirnya, banyak masa dan tenaga diperuntukkan untuk mencari wang
siang dan malam, sehingga terabai hak kita dengan Allah dan hak kita sesama
manusia. Sedangkan, hidup ini hanyalah sementara, yang barangkali esok ataupun
lusa kita akan dijemput pulang ke sisi Allah SWT.
*Diterbitkan
oleh Daya Fikir Solutions (Daya Fikir) untuk edaran umum secara PERCUMA.
No comments:
Post a Comment