Pages

Wednesday, August 7, 2013

Bersikap Jujur - Abdul Hadi Jusoh

Jika kita bersifat jujur ikhlas semata-mata kerana Allah SWT, bukannya mengharapkan timbal balas dan pengiktirafan manusia sekeliling, InshaAllah, akan hadir pertolongan tanpa disangka-sangka. Tampaknya, mudah tetapi itulah hakikat kehidupan. Sesiapa yang jujur, pasti akan mendapat hak dan habuannya dalam pelbagai watak seperti ketenangan hidup, keberkatan umur dan rezeki, dipermudahkan setiap urusan, gerak hati agar terhindar daripada perancangan jahat manusia dan sebagainya.

Pendek kata, tidak rugi jika bersifat jujur. Tapi syaratnya mestilah semata-mata kerana Allah SWT. Jika sikap jujur disandarkan selain daripada-Nya, ianya akan menjadi bertempat dan bermusim. Dengan itu, seseorang hanya akan bersifat jujur bila ada habuan dan pulangan yang dijanjikan. Tanpa keduanya, sikap jujur pasti jauh diketepikan. Pada ketika itu, jujur sudah jadi ibarat bahan dagangan yang boleh ditawar menawar harganya.

Sikap jujur perlu bermula dari sekecil-kecil perkara yang terkait rapat dengan urusan kehidupan seharian kita baik ketika bersendirian mahupun bersama khalayak. Mana mungkin kita boleh bersikap jujur dalam urusan yang lebih besar, jika urusan yang lebih kecil pun kita sudah tidak mampu berbuat demikian. Ibarat dengan duit empat lima ringgit pun sudah tergoyah kejujuran kita, bagaimana pula jika jutaan ringgit.

Sebagai muhasabah diri, kadang-kadang kita terlalu 'memandang' perkara-perkara yang lebih besar. Manakala, yang kecil terus tidak diambil peduli dan acuh tidak acuh saja. Sedangkan, yang kecil itulah menjadi permulaan kepada segala-galanya. Lihat saja, bagaimana asalnya unggun api yang marak menyala? Bagaimana pula asalnya arus yang deras yang merosakkan? Bagaimana pula asalnya sepohon pokok yang merimbun? Bukankah, semuanya bermula dengan sesuatu yang 'kecil'?

Percayalah, lambat laun sikap tidak jujur pasti akan 'memakan diri sendiri'. Jika bukan hari ini, pasti esok. Jika bukan esok, pasti lusa. Jika tidak di dunia ini, pasti di akhirat kelak. Itu satu keyakinan yang perlu dipetahankan sampai bila-bila. Sebab itulah, jika diri kita kerap kali diuji dengan pelbagai musibah, satu demi satu, maka renung-renungnlah dengan melihat sejauh mana tahap dan amalan kejujuran kita setakat ini. Yang paling penting, kejujuran kita dengan Allah SWT.

Bersikap jujurlah, walau dalam sekecil-kecil perkara...walau tidak ada mata yang memandangnya dan juga terpaksa melepaskan pengiktirafan dan habuan manusia. Percayalah dan yakinilah kepada 'ruh kejujuran' anugerah Allah SWT. Kita pasti tidak akan rugi. Malah akan bertambah tanpa disangka-sangka!

Semoga tarbiyyah Ramadhan yang kita lalui kali ini, yang telah membenihkan sikap jujur dalam diri akan terus kita pertahankan untuk sepanjang tahun @ Kota Bharu, Kelantan.

No comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Host