Alhamdulillah!
Dengan rahmat dan kasih sayang-Nya, kita masih berpeluang bertemu sekali lagi
untuk lebih memahami dan menghayati keindahan ekonomi yang telah digagaskan
oleh Islam, iaitu sebagai ad-deen yang lengkap dan melengkapkan seluruh
agenda kehidupan umat manusia seluruhnya. Tujuannya hanyalah satu, untuk
mencapai ‘al-falah’, iaitu satu
kejayaan dua dimensi yang sememangnya tidak ada pada agama-agama lain di dunia
ini selain daripada Islam; ‘fi dunya
hasanah’ (kebaikan di dunia) dan ‘fil
akhirat hasanah’ (kebaikan di akhirat).
Jika pada tulisan yang
lalu ia lebih berkisar kepada elemen pertama dalam falsafah ekonomi Islam iaitu
rabbaniyyah (ketuhanan) dan
signifikannya dalam pengagihan sumber ekonomi yang ada secara lebih tersusun
dan adil, agar manafaatnya dapat dirasai oleh sebahagian besar masyarakat. Dan,
bukan hanya dikuasai oleh sesetengah kelompok tertentu, terutamanya yang
‘bijak’ meraih dan memanafaatkan peluang yang terbuka luas di hadapan mereka.
Sehingga kadang-kadang menidakkan hak orang lain secara batil, yang sebenarnya
lebih layak daripadanya, tetapi tidak diberikan peluang dan kesempatan yang
sewajarnya.
InsyaAllah! pada tulisan kali ini, kita
akan menyantuni tentang bagaimana signifikannya elemen rabbaniyyah (ketuhanan)
ke arah mengoptimumkan peluang pekerjaan kepada masyarakat melalui keterlibatan
secara bersepadu ke semua aktor ekonomi yang ada iaitu isi rumah, peniaga dan
pemimpin (kerajaan).
Dalam
Islam tuntutan mencari rezeki dalam erti
kata bekerja untuk memenuhi nafkah diri dan keluarga, merupakan satu kewajiban
secara 'fardhi' (individu) yang
terpikul atas bahu setiap orang yang berkemampuan dari segi fizikal, akal dan
emosi. Rentetan daripada itu, Islam melarang mereka yang hakikatnya
berkemampuan untuk bekerja, tetapi hidup semata-mata atas belas ihsan orang
lain. Untuk itu, Islam memberikan fleksibiliti kepada umatnya, untuk mencari
apa saja kurniaan ALLAH SWT di bumi ini asalkan tidak menyanggahi hak-Nya dan
hak sesama manusia. Firman ALLAH SWT yang bermaksud:
“Carilah segala segala kesenangan Akhirat anugerah ALLAH kepada kamu, dan
janganlah kamu lupakan kesenangan nasibmu di dunia, dan buatlah kebajikan
sesama manusia sebagaimana ALLAH berbuat kebajikan kepadamu, dan janganlah
mencari kerosakan di bumi. Sesunggunya ALLAH tidak menyukai orang yang
melakukan kerosakan” (Surah al-Qasas, ayat 77)
Islam
mengiktiraf bekerja sebagai mekanisma kehidupan. Tujuannya, hanya untuk
menyempurnakan amanah kekhalifahan yang telah ‘ditaklifkan’ (dipertanggungjawabkan) oleh ALLAH SWT sejak
penciptaan Nabi Adam AS. Dan, bukannya dianggap sebagai satu-satunya matlamat
kehidupan yang sebagaimana yang difahami dan dianuti oleh masyarakat moden
muktakhir ini. Dan hari ini, apa yang membimbangkan fahaman dan anutan ini
telah turut meresap masuk ke dalam amalan berkehidupan umat Islam di serata
dunia. Sehinggakan ada yang sanggup bertuhankan kerjaya siang dan malam dan
langsung mengetepikan hak-hak rabbaniyyah
yang sepatutnya menjadi ‘aulawiyyat’
(keutamaan). Juga, hak-hak insaniyyah yang
sepatutnya menjadi pelengkap kehidupan.
Akibatnya, timbullah
pelbagai musibah kehidupan yang tidak terduga seperti terputusnya silaturrahim
dek kerana perebutan harta, terjadinya persengketaan sesama sendiri dek kerana
kerana perebutan kuasa, ternoktahnya semangat bertolongan dek kerana ketamakan
diri dan sebagainya . Barangkali, ini semua antara petanda balasan ataupun
ingatan ALLAH SWT kepada kita semua. Agar, kembali menjalani kehidupan yang
lebih mendekati ALLAH SWT.
Lantaran
itu, daripada kaca mata ekonomi Islam, bekerja adalah satu ibadah umum yang
pasti mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda di sisi ALLAH SWT di Akhirat
kelak. Bahkan, di dunia pun kadang-kadang sudah nampak petanda ganjaran-Nya
iaitu melaui keberkatan hidup, khususnya bagi mereka yang bekerja semata-mata
untuk mencari 'mardhatillah'
(keredhaan ALLAH), dan tidak langsung mengharapakan 'mardhatinnas' (keredhaan manusia).
Namun
Islam tidak sesekali menafikan realiti
kehidupan. Baginya, peluang pekerjaan dalam ekonomi tidak akan sesekali wujud
dengan sendirinya ataupun secara
'magikal' tanpa kesepaduan dan 'taawun'
(bertolongan) gerak laku kehidupan dikalangan aktor-aktor ekonomi iaitu,
isi rumah, peniaga dan pemimpin (kerajaan). Hakikatnya, mereka saling
bergantungan antara satu sama lain. Dan, tidak akan lengkap putaran kehidupan
berekonomi, sekiranya ada salah satu daripada mereka pincang ataupun tidak
berperanan secara produktif.
No comments:
Post a Comment