Pages

Wednesday, January 27, 2016

Hibah

Sejak kebelakangan ini, ada pihak-pihak tertentu yang sewenang-wenangnya menggunakan pemberian hibah sebagai kaedah untuk mempromosikan ‘produk-produk pelaburan Islam’ mereka, tanpa menyediakan kefahaman dan penjelasan yang telus berkenaan struktur produk berkenaan termasuk konsep Syariah yang digunakan. Ada sesetengah produk yang ditawarkan lebih mirip kepada skim cepat kaya.
Pemberian Hibah Dalam Mudarabah (perkongsian untung)
Secara umum, mudarabah merujuk kepada perkongsian antara mudarib (pengusaha) dan rabbul mal (pemilik modal) untuk melaksanakan projek atau pelaburan tertentu, yang telah dipersetujui bersama dari segi nisbah/peratusan sumbangan modal dan agihan keuntungan. Sekiranya, projek atau pelaburan tersebut mengalami kerugian yang bukan disebabkan oleh salah laku atau kecuaian mudarib (pengusaha), kerugian tersebut akan ditanggung sepenuhnya oleh rabbul mal (pemilik modal). Jika berlaku sebaliknya, kerugian perlu ditanggung oleh mudarib (pengusaha) sepenuhnya atau setakat kerugian sebenar yang berpunca daripada salah laku atau kecuaiannya.
Dalam perbankan Islam, mudarabah biasanya digunakan untuk menstruktur produk deposit, pelaburan dan pembiayaan. Pemberian hibah oleh mudarib (pengusaha) kepada rabbul mal (pemilik modal) adalah dibenarkan. Namun, ia mestilah berdasarkan kepada syarat-syarat berikut:
a) Sumber hibah bukan daripada modal mudarabah.
b) Sumber hibah bukan daripada bahagian keuntungan yang dimiliki oleh rabbul mal (pemilik modal)
c) Pemberian hibah bukan disebabkan jaminan modal atau keuntungan oleh mudarib (pengusaha) kepada rabbul mal (pemilik modal)
Pemberian Hibah Dalam Qard (pinjaman tanpa nilai tambahan)
Secara umum, qard merujuk kepada pinjaman daripada pemiutang kepada penghutang tanpa sebarang nilai tambahan kepada jumlah pinjaman setelah cukup tempoh pembayaran balik.
Dalam konteks qard, pemberian hibah adalah dibenarkan. Namun, ia mestilah berdasarkan kepada syarat-syarat berikut:
a) Pemberian hibah tidak termasuk/termaktub dalam salah satu syarat ketika melaksanakan qard.
b) Tidak ada paksaan dalam pemberian hibah. Ia tertakluk sepenuhnya kepada budi bicara penghutang.
c) Penghutang tidak menyatakan kadar hibah yang akan diberikan termasuk sebagai ‘indicative rates’ atau ‘prospective rates’.
d) Penghutang tidak menyatakan ‘historical rates’ pemberian hibah dengan tujuan untuk mempromosi produk qard. Namun, jika atas tujuan ketelusan, ia adalah dibenarkan.

No comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Host