Pages

Wednesday, October 8, 2014

Buletin Usrah Muamalat - Edisi Oktober 2014

KUASAI KUASA BELI UMAT

Oleh: Abdul Hadi Jusoh



Kuasa beli adalah sesuatu yang amat penting kepada pengguna, peniaga dan sistem ekonomi secara keseluruhannya. Asasnya, ia merujuk kepada keupayaan pengguna untuk memiliki barangan dan perkhidmatan dalam pasaran melalui pelbagai bentuk sumber pendapatan yang diperolehi seperti gaji, elaun, bonus, sewa, dividen dan sebagainya. Dalam ungkapan yang lebih mudah, kuasa beli dikaitkan dengan nilai wang dan jumlah barangan atau perkhidmatan yang mampu dibeli oleh pengguna.

Daripada perspektif ekonomi Islam, kuasa beli turut dianggap sebagai sesuatu yang amat relevan dengan kehidupan kerana ia memberikan kesan langsung dan tidak langsung kepada keseluruhan agenda kehidupan, di dunia ini dan di akhirat kelak. Justeru, ianya perlu dipenuhi dan ditadbir urus dengan sebaik mungkin berlandaskan tatacara yang tidak bertentangan dengan syariat Allah SWT.

Namun, kuasa beli bukanlah matlamat paling utama dalam kehidupan sebagaimana yang diasuh oleh budaya Kapitalisme. Ia hanyalah sekadar wasilah untuk menyempurnakan amanah kekhalifahan yang telah terpikul ke atas bahu setiap insan, seawal pengutusan Nabi Adam as dan Siti Hawa ke dunia ini.

Ketidakupayaan dalam kuasa beli akan membatasi urusan muamalat dan ibadah dalam kehidupan seharian. Ini kerana, ‘tanpa wang yang mencukupi’ sudah pasti hidup akan berdepan dengan pelbagai kesukaran untuk memenuhi tuntutan keperluan kehidupan seperti tempat tinggal, makan minum dan pakaian dengan sempurna. Sedangkan, ke semua itu mempunyai kaitan langsung dengan fokus dan kualiti ‘habluminallah’ dan ‘habluminannas’ seseorang hamba.

Kuasa beli mempengaruhi interaksi dalam ekonomi. Interaksi yang baik akan meningkatkan taraf hidup rakyat dalam erti kata tuntutan keperluan rohani dan jasmani dapat dipenuhi dengan sebaik mungkin oleh sebahagian besar rakyat. Akibatnya, mereka dapat menjalani kehidupan yang rukun dan damai dan dapat bekerja dengan penuh itqan.

Walaubagaimanapun, kita perlu berhati-hati dalam mengurus kuasa beli ini. Agar ianya, tidak bersifat seperti ‘gali lubang tutup lubang’ atau ‘kais bulan makan bulan, kais pagi makan pagi’, yang kemudiannya menjadi penyebab kepada bermaharajalelanya kezaliman dalam masyarakat. Akibatnya, yang daif dan tidak bijak mengambil peluang akan terjebak dengan kemelaratan hidup. Mereka hidup ibarat dalam keadaan kaki dan tangan diikat. Sedangkan, bekalan yang ada hanya sekadar cukup untuk mengalas perut.

Dari segi sumbernya pula, ia mestilah yang benar-benar ‘halalan toyyiban’. Matlamat menghalalkan cara tidak boleh sesekali dijadikan hujah dan justifikasi untuk menghalalkan setiap sen pendapatan yang diperolehi. Begitu juga, ia tidak wajar diperolehi semata-mata dengan berhutang. Peribahasa, ‘ukur baju di badan sendiri’ wajar dijadikan sandaran. Apatah lagi, yang diperolehi dengan cara menipu, merampas, rasuah dan sebagainya.

Hikmahnya, agar kuasa beli sentiasa setara dengan interaksi permintaan dan penawaran terhadap barangan dan perkhidmatan dalam pasaran. Ini penting bagi memastikan harga barangan dan perkhidmatan yang dijual tidak terlalu ‘over pricing’ ataupun ‘under pricing’. Agar, semua pihak mendapat keadilan dan hak masing-masing.

Realiti yang berlaku pada hari ini, aliran kuasa beli telah ‘diganggu’ oleh pendapatan daripada rasuah, pengubahan wang haram dan jenayah. Juga, akibat pembiayaan  peribadi dan kad kredit yang tidak terkawal. Di mana, ini semua telah menekan dan melemahkan kuasa beli terutamanya bagi golongan yang berpendapatan rendah dan tidak berkemampuan kerana keuzuran tertentu.

Dalam situasi umat Islam yang ditekan daripada segenap sudut secara halus sejak ratusan tahun yang lalu, pengukuhan kuasa beli akan berupaya menjadi jalan keluar atau setidak-tidaknya sebagai agen kepada perubahan ekonomi yang lebih menepati syariat. Barangkali juga, sebagai ‘kick-start’ dan pelengkap kepada wasilah yang bersifat ‘political will’ ke arah sistem kehidupan yang lebih Islami secara keseluruhannya. Wallahu’alam, - AHJ
 

BERHATI-HATI DENGAN SKIM CEPAT KAYA

Oleh: Hashim Ahmad Shiyuti



Sejak akhir-akhir ini, pelbagai kaedah dan cara telah diperkenalkan oleh penganjur skim cepat kaya dengan slogan untuk membantu menambahkan pendapatan. Ada yang menawarkan skim pelaburan yang menjamin peroleh bulanan secara tetap dari sudut wang ringgitnya dan juga tempohnya. Ada pula yang menawarkan keuntungan yang besar yang tidak mungkin diperolehi oleh perniagaan-perniagaan yang biasa. Sesetengahnya pula ada yang menawarkan pendapatan secara konsisten tanpa perlu lagi bekerja membanting tulang empat kerat.

Perlu diketahui bahawa skim-skim ini adalah sebenarnya racun di dalam madu dan duri di dalam bunga yang mana manis pada zahirnya tetapi mudarat pada hakikatnya. Skim-skim ini telah mengakibatkan ramai yang telah tertipu dengan paparan-paparan indah yang dijelmakan sehingga ada yang ‘terkorban’ dengan menanggung hutang yang lebih besar, serta ada juga yang habis semua simpanan dan wang pencen.

Terdapat beberapa ciri-ciri persamaan di antara skim-skim cepat kaya tumbuh seperti cendawan sesudah hujan yang perlu dijauhi agar tidak menyebabkan penyesalan dikemudian hari. Pertama, skim-skim ini menawarkan dividen/keuntungan yang berlipat-ganda lebih tinggi berbanding institusi-institusi kewangan atau pelaburan berlesen.

Keduanya, skim-skim ini menawarkan jumlah keuntungan tetap dan tinggi secara konsisten jika dibandingkan dengan dana-dana pelaburan yang ditawarkan oleh institusi-institusi pelaburan dan kewangan berlesen di negara ini.

Ketiganya, tidak menyatakan secara jelas kepada pelabur-pelabur berhubung kelulusan pihak Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan lain-lain agensi-agensi pengelolaan dan penguatkuasaan pasaran yang ditubuhkan oleh pihak kerajaan.

Keempatnya, skim pelaburan dijanjikan dengan nilai risiko kerugian yang hampir sifar dan tidak akan sesekali menemui kegagalan walaupun keadaan ekonomi dan pasaran kewangan menjunam.

Perlu difahami, tidak ada jalan mudah dan singkat untuk menikmati kesenangan hidup di dunia ini, apatah lagi di akhirat kelak. Segala-galanya hanya akan dapat dikecapi melalui ikhtiar yang bersungguh-sungguh dengan penuh berkualiti, tanpa sedikitpun mengenal erti putus asa.

Justeru, berhati-hatilah dengan sebarang jenis pelaburan skim cepat kaya yang ingin disertai, agar ia tidak menjadi penyebab kepada bebanan kewangan yang lebih besar di hari kemudian. Wallahu’alam.



REALITI MASYARAKAT MELAYU ISLAM SEKARANG

Oleh: Mohamad Razif Ibrahim



Realitinya, masyarakat Melayu hari ini masih tidak mengendahkan al-Qur’an sebagai sumber panduan dan perundangan hidup. Akibatnya, dari sudut pencapaian kita masih jauh ketinggalan dalam bidang perniagaan, pendidikan, ekonomi dan sosial, samada di peringkat nasional apatah lagi antarabangsa.

        Selepas 57 tahun merdeka, kebanyakan aset hartanah seperti bangunan-bangunan pencakar langgit, kilang-kilang, ladang-ladang, hotel-hotel terkemuka, pusat-pusat peranginan, institusi-institusi pendidikan bertaraf dunia dan kependudukan di Bandar-bandar besar dikuasai oleh masyarakat bukan Islam kecuali dibeberapa tempat sahaja. Hanya setakat jalan-jalan utama sahaja yang dinisabkan dengan nama orang Melayu.

          Di samping itu, masyarakat Melayu juga tidak begitu arif dalam bab pengurusan harta dan pewarisannya berbanding dengan masyarakat bukan Melayu. Sehingga nilai harta yang diwarisi daripada satu generasi semakin mengecil. Justeru, sesudah 57 tahun kita merdeka dan ‘looking forward’ 57 tahun lagi, apakah lagi kekuatan yang boleh menjadi menjadi banteng bagi kelangsungan kita semua dalam kehidupan dunia yang semakin mencabar dan kompleks.

          Barangkali, pada masa hadapan pakar-pakar sosial kemanusiaan dan ‘science anthropology’ akan cuba mencari jawapan kenapa masyarakat Melayu yang dahulunya mempunyai nilai harta yang telah mencecah lebih RM2.4 trillion, menjadi masyarakat yang ketinggalan dalam ekonomi dan pendidikan pada waktu itu.

           Pernahkah kita terfikir samada harta yang sedia ada ini akan berupaya menjamin kelangsungan hidup kita dan generasi yang akan datang. Jawapannya, pasti tidak, jika tidak ada sebarang usaha untuk memperkasakan ekonomi secara kolektif dan benar-benar berlandaskan syariat Allah SWT mulai sekarang. Antaranya, dengan memperkasakan sistem ekonomi yang tidak berasaskan riba dan memperkukuhkan keupayaan ekonomi zakat dalam masyarakat. Agar wujudnya keadilan ekonomi yang akan menjadi titik permulaan kepada kejayaan ekonomi yang lebih besar dalam masyarakat.

         Percayalah, selagi mana sistem ekonomi masih berasaskan riba, maka selagi itulah keadilan ekonomi dalam masyarakat tidak akan dapat dicapai. Malah, jurang pendapatan dalam masyarakat makin melebar. Dan, jumlah hutang isi rumah akan juga makin meningkat. Akhirnya, banyak masa dan tenaga diperuntukkan untuk mencari wang siang dan malam, sehingga terabai hak kita dengan Allah dan hak kita sesama manusia. Sedangkan, hidup ini hanyalah sementara, yang barangkali esok ataupun lusa kita akan dijemput pulang ke sisi Allah SWT.

               

*Diterbitkan oleh Daya Fikir Solutions (Daya Fikir) untuk edaran umum secara PERCUMA.

Blog: www.dayafikir@blogspot.com                                                              Facebook: Daya Fikir

No comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Host