SHAH ALAM 14 Sept. - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari
ini meminta rakyat supaya tidak salah sangka dan salah faham terhadap
usaha pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang dilaksanakan bukan dengan
jalan memintas atau mengambil hak orang lain mahupun menafikan
kepentingan sesiapa.
Sebaliknya, ia dilaksanakan selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu
terus mencipta serta menjana kekayaan baharu agar nikmat dan
kemakmurannya dapat diraih dan dirasai oleh semua rakyat Malaysia secara
adil dan saksama.
"Yang pasti! Kami lakukan apa yang adil, kami lakukan apa yang betul,
dan kami buat apa yang saksama. Maknanya, kita tidak mempunyai apa-apa
nawaitu (niat) atau sekelumit pun rasa prejudis terhadap bangsa lain,"
kata Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi
Bumiputera di sini.
Beliau dengan tegasnya berkata kerajaan ini adalah kerajaan yang
berhemah lagi bertanggungjawab ke atas seluruh lapisan rakyat, tanpa
mengira latar belakang, sama ada Bumiputera atau bukan Bumiputera, Islam
mahu pun bukan Islam.
Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata sejarah telah membuktikan
dalam pembangunan ekonomi negara, terutama sejak Dasar Ekonomi Baru
dilaksanakan, bukan sahaja Bumiputera, bahkan semua rakyat Malaysia
berkongsi nikmat, meraih manfaat bersama, hasil daripada pembangunan
ekonomi negara.
"Jelasnya, ini telah kita lakukan bukanlah dengan mengambil, atau
menidakkan hak sesiapa, tetapi sebenarnya melalui penciptaan kekayaan
baharu dan penjanaan pertumbuhan ekonomi yang mampan," katanya.
Perdana Menteri berkata sejak Merdeka, semua perancangan serta dasar
ekonomi Bumiputera telah digubal berasaskan perhitungan komposisi
masyarakat majmuk tersebut.
Maka, Bumiputera sebagai teras kepada agenda nasional, tidak boleh
dinafikan oleh sesiapa dan sebarang prakarsa bersifat nasional yang
tidak mengambil kira atau mengabaikan agenda Bumiputera, adalah tidak
adil dan saksama, kata Perdana Menteri.
Beliau berkata perkara ini sangat mustahak untuk difahami dengan
sebaik-baiknya oleh semua pihak iaitu kerajaan sentiasa menginsafi dan
beringat-ingat tentang agenda Bumiputera sebagai agenda nasional.
"Ini kerana, jika sekiranya kaum majoriti Bumiputera tidak terbela
dan berasa diri mereka terancam atau dipinggirkan, negara tidak akan
mengecapi keamanan, kestabilan, dan kita tidak mungkin mencapai impian
menjadi negara maju yang sejahtera dan sentosa seperti yang didambakan
pada tahun 2020," kata Najib.
Najib turut menyelar sesetengah pelaku politik yang tidak sudah-sudah
menyalakan api perkauman sehingga menggerunkan dan memesongkan
pemikiran rakyat.
"Suka tidak suka, seandainya tidak berhati-hati dan terpengaruh
dengan sentimen pihak luar, melalui dalang dan petualang dalaman ini,
maka, tempiasnya akan terpercik kepada kita. Sekiranya dibiarkan dan
tidak dibendung, Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berdaulat
lagi Merdeka pada akhirnya akan musnah dan membungkam," kata Najib. -
BERNAMA
No comments:
Post a Comment