Islam
adalah agama yang amat mementingkan soal ukhuwah sesama manusia dalam segenap perkara yang
dilakukan. Ianya sebagai ruang untuk saling melengkapi antara satu sama lain di
dalam menyempurnakan amanah sebagai khalifatullah di dunia ini. Ini bertepatan
dengan fitrah kejadian manusia yang diciptakan dengan penuh kepelbagaian dan
keistemewaan masing-masing. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 13
yang bermaksud:
“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu
daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu
berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal”
Petanda dan bukti signifikannya
nilai ukhuwah dalam kehidupan umat
manusia dapat dilihat daripada:
- Penciptaan Siti Hawa as daripada rusuk kiri Nabi Adam as sebagai ‘peneman kesunyian’ ketika di syurga mahupun setelah dihantar ke dunia.
- Pensyariatan perkahwinan sejak zaman Nabi Adam as, termasuklah juga poligami.
- Pensyariatan talak (penceraian) sebagai jalan keluar terakhir yang amat tidak digalakkan terhadap ikatan perkahwinan yang menemui jalan buntu.
- Pensyariatan faraid untuk memelihara dan menyuburkan tautan ukhuwah kekeluargaan akibat ke Pensyariatan faraid untuk memelihara dan menyuburkan tautan ukhuwah kekeluargaan akibat kemungkinan wujudnya pertingkaian dalam pembahagian harta pusaka.mungkinan wujudnya pertingkaian dalam pembahagian harta pusaka.
- Tindakan mempersaudarakan kaum Ansar dan Muhajirin sebaik sahaja penghijrahan Rasulullah saw ke Madinah.
- Pengharaman riba, arak dan judi yang menjadi penyebab kepada banyak kejahatan.
- Pensyariatan qardul hasan, jual beli dan ‘partnership’ dalam kegiatan ekonomi.
- Pengiktirafan hubungan dan semangat kejiranan dalam masyarakat.
-
Tasawwur
Kerjasama Ekonomi Dalam Islam
Asasnya, kerjasama ekonomi bertujuan untuk menstabilkan keadaan ekonomi
negara dan masyarakat yang terlibat dengan mengharmonikan kerjasama dagangan
peringkat antarabangsa (eksport dan import) bagi mengoptimumkan keperluan
masing-masing. Agar lahirnya kesejahteraan ekonomi secara bersama, dari segi
memudahkan mobilasi sumber ekonomi, modal, kepakaran dan teknologi serta
pasaran. Ini dilakukan dengan menghapuskan atau setidak-tidaknya memudahkan
sekatan-sekatan perundangan di peringkat lokal dan global.
Juga, bertujuan membina kekuatan bersama agar benteng kekuatan umat dan
agama tidak mudah dibolosi oleh musuh-musuh Islam yang sentiasa mencari ruang
dan peluang untuk menghancurkannya melalui pelbagai cara. Ibarat seperti ‘sebatang
lidi yang mudah dipatahkan, tetapi tidak apabila sudah seikat’. Bahkan pula, ia
membawa manafaat kepada orang lain untuk dijadikan penyapu. Allah SWT berfirman dalam Surah as-Saff, ayat
4 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berperang di
jalan-Nya dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan seperti satu bangunan
yang tersusun kukuh”
Islam tidak menghalang apa jua bentuk atau dengan siapapun kerjasama
ekonomi ingin dilaksanakan asalkan asas yang paling utama adalah takwa kepada Allah SWT dengan
sebenar-benarnya, yang merupakan jalan kejayaan ekonomi yang hakiki di dunia
dan di akhirat. Dan, ia dilaksanakan dengan penuh berakhlak berdasarkan
muamalat Islam. Firman Allah SWT dalam Surah ali-Imran, ayat 102 yang
bermaksud:
“Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah
dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati kecuali dalam
keadaan Islam”
Umat Islam memerlukan kerjasama
ekonomi sebagai wadah:
- Untuk saling melengkapi antara satu sama lain, kerana Allah SWT menciptakan manusia dengan pelbagai kelebihan dan kekurangan.
- Untuk mobilisasi sumber ekonomi yang fitrahnya dijadikan oleh Allah SWT secara bertebaran di serata alam.
- Untuk mengoptimumkan kos pengeluaran, pemasaran dan pengagihan barang dan perkhidmatan dalam ekonomi kerana ia boleh dilakukan secara kolektif.
- Untuk mewujudkan keadilan dan kesejahteraan ekonomi dalam masyarakat akibat wujudnya persafahaman dalam perancangan dan tindakan ekonomi.
Bentuk Kerjasama Ekonomi
Dalam kerangka yang lebih besar, tujuan terbentuknya kerjasama ekonomi antara
negara-negara bukanlah untuk meruntuhkan ekonomi negara-negara lain yang tidak
sealiran dari segi fahaman dan dasar politik serta ekonomi serantau. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Maidah, ayat 2
yang bermaksud:
”Hendaklah kamu tolong menolong dalam kebaikan dan ketaqwaan,
dan janganlah saling membantu dalam perbuatan dosa dan permusuhan. Dan
bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras dalam hukuman-Nya.”
Bahkan, potensi dan ruang kepelbagaian yang wujud perlulah
dimanafaatkan dengan sebaik mungkin kerana padanya ada rahmat (kebaikan). Yang
kadang-kadang kita gagal melihatnya dengan pandangan mata kasar dan logik akal.
Baginda Rasulullah saw bersabda dalam satu hadith yang bermaksud:
“Perbezaan di antara umatku adalah rahmat”
Kerjasama ekonomi juga perlu bersifat telus kepada semua pihak yang
terlibat terutama dari segi terma dan kaeadah perlaksanaanya. Ia mestilah dijelaskan dengan sebaik mungkin agar
tidak ada mana-mana pihak yang akan tertipu dan terjerat sehingga terpaksa menanggung
kerugian dalam tempoh yang panjang. Dengan kata lain, apa yang dikatakan
mestilah dikotakan sepenuhnya tanpa ada dolak-dalih. Firman Allah SWT dalam
Surah as-Saff, ayat 2-3 yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman!
Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak kerjakan? (Itu) sangatlah
dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan”
Di samping itu, ia bukanlah bersifat ‘kuda tunganggan’ oleh pihak-pihak
tertentu yang hanya bertujuan mahu meluaskan pasaran barangan dan perkhidmatan
yang mereka keluarkan. Dengan berselindung di sebalik agenda kesejahteraan dan
keadilan ekonomi bersama.
Yang paling penting, pihak-pihak
yang terbabit dalam merangka dan melaksanakannya hendaklah meletakkan Islam
sebagai ‘top priority’. Bukannya ‘personal interest’ dengan menjadikan
Islam sebagai justifikasi untuk menghalalkan apa yang asalnya haram. Apatah
lagi, dijadikan bahan dagangan atau batu loncatan semata-mata melariskan pasaran.
Begitu juga, keutamaannya perlulah
terlebih dahulu dengan dengan pihak-pihak yang seakidah. Agar terlebih dahulu
terbina terbina kekuatan dan benteng ekonomi umat sebelum dipanjangkan
kerjasama seperti itu dengan pihak-pihak lain yang bukan Islam. Ianya penting
supaya kerjasama tersebut tidak hanya diwarnai dan didominasi oleh mereka yang
pastinya tidak begitu arif dengan kehendak keadilan sebenar Islam.
Seterusnya, pada ketika
timbulnya salah faham dan pertikaian, maka ‘kembali kepada Allah dan Rasul-Nya’
dan perlu diredakan dengan secepat mungkin melalui jalan musyawarah. Bukannya
melalui jalan konfrontasi, konspirasi dan pembohongan. Semata-mata untuk meraih sokongan bagi
menjatuhkan pihak yang berselisih agar ianya tidak menjadi penyebab kepada
permusuhan yang berpanjangan.
Akhir sekali, kerjasama ekonomi yang terlaksana hendaklah dijadikan sebagai
medan jihad ‘biamwalikum wan anfusikum’, agar pertumbuhan dan
pembangunan ekonomi yang bakal dicapai tidak hanya berakhir di dunia ini. Malah,
ia menjadi penyebab kepada kebahagian di akhirat kelak yang kekal abadi untuk
selamnya. Dan, ia bukan sebagai ‘liabiliti yang berat’ ketika berhadapan dengan
penghakiman Allah SWT di sana kelak. Jika itulah yang berlaku, kitalah manusia
yang ‘paling rugi’, walaupun kerjasama tersebut telah menghasilkan ‘berbillion’
keuntungan.
No comments:
Post a Comment