Pages

Tuesday, March 29, 2011

Pemilikan Harta Dari Perspektif Islam

Harta adalah hak mutlak ALLAH SWT. Manusia hanya diberikan hak untuk menjaga dan menguruskannya dengan sebaik mungkin. Ia merupakan satu amanah yang begitu besar yang dipertanggungjawabkan oleh ALLAH SWT kepada manusia. Sedangkan makhluk lain ciptaan-Nya tidak sanggup untuk melaksanakannya. Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanah kepada langgit, bumi dan gunung-ganang; tetapi semuanya enggan untuk memikul amanah tersebut dan mereka khuatir tidak dapat melaksanakannya, lantaran itu manusia memikulnya..." (Surah al-Ahzab:72)

Secara umumnya, apabila bicara tentang amanah, tiga perkara utama perlu diberikan perhatian iaitu:
  • setiap amanah yang diberikan perlu dilaksanakan dengan telus dan rasa penuh tanggungjawab.
  • setiap amanah yang diberikan hanya bersifat sementara. Tatkala tiba saat dan ketika, ia mesti dikembalikan kepada tuan empunya, iaitu ALLAH SWT.
  • setiap amanah yang diberikan beriringan dengan habuan dan hukuman daripada ALLAH SWT.  
Justeru itu, setiap harta yang dimiliki akan menjadi persoalan besar di hadapan ALLAH SWT di Akhirat kelak, tentang bagaimana ia diperolehi dan kemana ia dibelanjakan. Kedua-duanya perlu seiringan pada jalan-Nya. Hari ini berlaku dimana:
  • harta diperolehi pada jalan-Nya, tetapi tidak dibelanjakan pada jalan-Nya
  • harta diperolehi bukan pada jalan-Nya, tetapi dibelanjakan pada jalan-Nya
  • harta diperolehi bukan pada jalan-Nya dan dibelanjakan juga bukan pada jalan-Nya
Yang terbaik adalah harta yang diberkati iaitu, harta yang diperolehi pada jalan-Nya dan dibelanjakan juga pada jalan-Nya. Antara petanda harta yang dimiliki adalah berkat:
  • harta tersebut memberikan kebaikan kepada diri dan juga lain.
  • harta tersebut menyubur ketenangan hidup pemiliknya.
  • harta tersebut bukan menjadi sumber perbalahan dan putusnya ukhuwah sesama Islam.
  • harta tersebut makin mendekatkan diri pemiliknya kepada ALLAH SWT, bukan makin menjauhi-Nya dek kesibukan mengumpul harta kekayaan.
Semoga setiap sen yang kita perolehi dan belanjakan akan sentiasa pada jalan-Nya. Biarlah kita merasa susah sedikit kerana ALLAH, kerana habuan-Nya pasti berbaloi pada saat kita bertemu-Nya di Akhirat kelak. Moga-moga harta yang kita miliki menjadi 'pahala bonus' ke Syurga, bukannya 'dosa bonus' ke neraka ALLAH...Nauzubillahiminzaalik...

No comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Host