Dalam Islam tuntutan mencari
rezeki dalam erti kata bekerja untuk
memenuhi nafkah diri dan keluarga, merupakan satu kewajiban secara 'fardhi' (individu) yang terpikul atas
bahu setiap orang yang berkemampuan dari segi fizikal, akal dan emosi. Rentetan
daripada itu, Islam melarang mereka yang hakikatnya berkemampuan untuk bekerja,
tetapi hidup semata-mata atas belas ihsan orang lain. Untuk itu, Islam
memberikan fleksibiliti kepada umatnya, untuk mencari apa saja kurniaan ALLAH
SWT di bumi ini asalkan tidak menyanggahi hak-Nya dan hak sesama manusia.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud:
“Carilah segala segala kesenangan Akhirat anugerah ALLAH kepada kamu, dan
janganlah kamu lupakan kesenangan nasibmu di dunia, dan buatlah kebajikan
sesama manusia sebagaimana ALLAH berbuat kebajikan kepadamu, dan janganlah
mencari kerosakan di bumi. Sesunggunya ALLAH tidak menyukai orang yang
melakukan kerosakan” (Surah al-Qasas, ayat 77)
Islam
mengiktiraf bekerja sebagai mekanisma kehidupan. Tujuannya, hanya untuk
menyempurnakan amanah kekhalifahan yang telah ‘ditaklifkan’ (dipertanggungjawabkan) oleh ALLAH SWT sejak
penciptaan Nabi Adam AS. Dan, bukannya dianggap sebagai satu-satunya matlamat
kehidupan yang sebagaimana yang difahami dan dianuti oleh masyarakat moden
muktakhir ini. Dan hari ini, apa yang membimbangkan fahaman dan anutan ini
telah turut meresap masuk ke dalam amalan berkehidupan umat Islam di serata
dunia. Sehinggakan ada yang sanggup bertuhankan kerjaya siang dan malam dan
langsung mengetepikan hak-hak rabbaniyyah
yang sepatutnya menjadi ‘aulawiyyat’
(keutamaan). Juga, hak-hak insaniyyah yang
sepatutnya menjadi pelengkap kehidupan.
Akibatnya, timbullah
pelbagai musibah kehidupan yang tidak terduga seperti terputusnya silaturrahim
dek kerana perebutan harta, terjadinya persengketaan sesama sendiri dek kerana
kerana perebutan kuasa, ternoktahnya semangat bertolongan dek kerana ketamakan
diri dan sebagainya . Barangkali, ini semua antara petanda balasan ataupun
ingatan ALLAH SWT kepada kita semua. Agar, kembali menjalani kehidupan yang
lebih mendekati ALLAH SWT.
Lantaran
itu, daripada kaca mata ekonomi Islam, bekerja adalah satu ibadah umum yang
pasti mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda di sisi ALLAH SWT di Akhirat
kelak. Bahkan, di dunia pun kadang-kadang sudah nampak petanda ganjaran-Nya
iaitu melaui keberkatan hidup, khususnya bagi mereka yang bekerja semata-mata
untuk mencari 'mardhatillah'
(keredhaan ALLAH), dan tidak langsung mengharapakan 'mardhatinnas' (keredhaan manusia).
Namun
Islam tidak sesekali menafikan realiti
kehidupan. Baginya, peluang pekerjaan dalam ekonomi tidak akan sesekali wujud
dengan sendirinya ataupun secara
'magikal' tanpa kesepaduan dan 'taawun'
(bertolongan) gerak laku kehidupan dikalangan aktor-aktor ekonomi iaitu,
isi rumah, peniaga dan pemimpin (kerajaan). Hakikatnya, mereka saling
bergantungan antara satu sama lain. Dan, tidak akan lengkap putaran kehidupan
berekonomi, sekiranya ada salah satu daripada mereka pincang ataupun tidak
berperanan secara produktif.
Biar
apapun peranan kita, samada sebagai isirumah, peniaga dan pemimpin (kerajaan),
ke semuanya perlu bekerja berdasarkan perspektif dan taklif masing-masing. Ini
bermakna, setiap daripada kita mengharapakan adanya peluang pekerjaan yang
seoptimum mungkin dalam ekonomi. Agar, segala keupayaan dan potensi diri
masing-masing dapat digunakan dengan sebaiknya untuk mencari habuan kehidupan
buat diri dan keluarga. Tanpa pekerjaan, kita pasti berhadapan dengan hari-hari
sukar dalam kehidupan.
Justeru,
untuk memastikan setiap daripada aktor ekonomi tetap ‘berkerjaya’. Maka, setiap
daripada mereka perlu melaksanakan ‘kerja-kerja’ masing dengan sebaik mungkin.
Tidak boleh ada di antara mereka yang ‘curi tulang’ ataupun leka dengan tidak
melaksanakan peranan masing-masing yang telah ditaklifkan. Ini kerana, setiap
taklif yang dipukul adalah merupakan amanah daripada ALLAH SWT, bukannya
sekadar amanah sesama manusia. Dan, setiap taklif yang terlaksana pasti akan
diaudit di hadapan ALLAH SWT di akhirat kelak. Mereka yang melepasi audit
tersebut dengan amalan kebaikan yang telah dilakukan akan mendapat ganjaran
syurga yang terisi dengan bermacam-macam nikmat yang kekal abadi selamanya.
Dan, bagi mereka pula yang melepasi audit tersebut dengan amalan kejahatan akan
mendapat ganjaran neraka yang terisi di dalamnya dengan bermacam-macam seksaan
yang titik noktahnya hanyalah dalam pengetahuan ALLAH SWT.
Dengan itu, ke semua
aktor ekonomi yang yang tertusuk nilai rabbaniyyah dalam dirinya tidak akan
sesekali melanggari taklif yang telah diamanahkan oleh ALLAH SWT kepadanya. Ini
kerana, mereka begitu amat merasa takut dan bimbang terhadap seksaan ALLAH SWT
yang pasti bermula sesudah diri berada di alam barzakh dan diteruskan dengan
seksaan yang lebih pedih di akhirat kelak. Bagi mereka, kesesuahan di dunia
masih ada ruang untuk mencari tempat bertaut untuk meminta pertolongan mereka
yang terdekat dan mengasihi mereka. Di dunia juga, masih ada peluang untuk
memintas hujah penghakiman sesama manusia. Begitu juga, masih ada peluang untuk
menangguh setiap hukuman yang telah dijatuhkan. Tetapi, tidak sesekali di
akhirat kelak. Tidak ada lagi penolong daripada mereka yang dikasihi, tidak ada
lagi penghujahan daripada mereka yang bijak pandai dan tidak ada lagi negosiasi
yang dapat menangguhkan seksaan yang telah dihukumkan oleh ALLAH SWT. Segala
keputusan adalah muktamad!
No comments:
Post a Comment