Jika kita sering ke pasar untuk membeli barang-barang keperluan spt ikan, sayur, buah-buahan dan sebagainya, sudut pandangan mata kita akan lebih tertumpu kpd barang-barang yang dijual secara longgok, kerana ia kelihatan lebih murah dibandingkan dengan yang dijual secara timbang.
Di pasar-pasar malam biasanya, buah-buahan, ikan dan sayur-sayuran akan dilonggokan pada harga di bawah harga pasaran, tidak spt biasa.
Agak acap kali juga saya terkena, bila membeli buah-buahan di pasar malam. Sangkaan baik saya ketika membeli berakhir dengan memakan beberapa biji yang hampir busuk ataupun sebahagiannya sudah busuk. perkara ini sepatutnya tidak berlaku, jika seseorang peniaga benar-benar menghargai amanahnya sebagai seorang peniaga.
Saya teringat kpd satu kisah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA ketika satu hari Rasulullah SAW melintasi sebuah kedai yang menjual pelbagai makanan. Katanya:
'Sesungguhnya Rasulullah SAW lalu berhampiran selonggok makanan di pasar. Baginda pun memasukkan tangan ke dalam longgokan makanan tersebut, lalu jarinya terasa basah. Baginda bersabda, 'Ápakah ini wahai tuan punya makanan? Penjual itu berkata, 'Wahai Rasulullah makanan itu terkena hujan'. Baginda pun bersabda, 'Alangkah baiknya jika engkau letakkan makanan yang basah ini di bahagian atas longgokan supaya ia boleh dilihat oleh orang ramai? Sesiapa yang menipu, bukan daripada kalangan umatku'
Sewajarnya, penjual mesti memaklumkan perkara yang sebenar kepada pembeli ttg barang yang ingin dijualnya. Adalah tidak beretika, menjual barang yang rosak tanpa memaklumkan kepada pembeli, walaupun ia dijual pada harga di bawah harga pasaran. Jika ini berlaku, penjual tersebut dianggap menipu.
Dalam hadith lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
'Seseorang muslim adalah saudara kepada seorang muslim yang lain. Tidak halal bagi seseorang muslim yang menjual sesuatu barang yang ada kecacatan kepada saudaranya kecuali dia menjelaskan kecacatan itu kepadanya'
Akhlak baik ini juga perlu dipraktikkan juga oleh peniaga bukan Islam, kerana akhlak dalam Islam bersifat kemanusiaan, justeru setiap manusia perlu mengamalkannya.
Dalam pada itu, pihak ketiga juga perlu memaklumkan tentang kecacatan barang yang dijual di pasar, sekiranya dia mengetahui. Sabda Rasulullah SAW dalam satu hadith yang bermaksud:
'Tidak halal bagi seseorang yang menjual sesuatu kecuali dia menjelaskan keaiban yang ada padanya. Tidak halal juga bagi sesiapa yang mengetahui perkara itu kecuali dia menjelaskannya'
Untuk itu, marilah sama-sama kita berganding bahu untuk melahirkan satu komuniti peniaga yang benar-benar jujur dan amanah dalam transaksi, agar perjalanan ekonomi umat akan lebih diberkati dan diredhai oleh ALLAH SWT.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment