Pages

Sunday, August 5, 2012

Serigala Bertopeng (Siri 1)

Hari ini genaplah 15 tahun 10 hari aku berada di kedudukan ini. Satu kedudukan yang menjadi kegilaan dan dambaan pada mereka yang bercita-cita dan bernafsu besar sepertiku, sehingga redha dengan permusuhan sesama sendiri. Padahal tampak pada luarnya aku begitu menyanjungi dan menjaga amanah perlantikanku ini. Hakikatnya, akulah serigala bertopeng yang menjadi penyebab kepada kerosakan dan kezaliman di wataniku ini.
Entah mengapa tiba-tiba perasaan dan hatiku merasa begitu resah, fikiranku menjadi tidak menentu, apa saja yang dibuat menjadi tidak kena pada pertimbangan akal budiku. Masih terngiang-ngiang bait-bait tazkirah Ramdhan yang secara tidak sengaja menusuk ke gegendang teling ketika dalam perjalanan pulang dari bertemu sang serigala bertopeng yang lain, yang hanya berpura-pura mendokongku, tetapi sebenarnya hanya sekadar mahukan ‘syafaatku’ untuk mendapatkan kontrak-kontrak tertentu, yang terpaksa aku ‘polisikan’ dengan pelbagai pendekatan demi manafaat bersama.
Pemanduku tidak jadi untuk menukar siaran radio yang menyiarkan tazkirah Ramadhan sebagaimana kebiasaannya, apabila melihat raut wajahku yang seolah-olah begitu teruja dengan apa yang disampaikan. Pemanduku sudah mengerti dan begitu memahami yang aku tidak begitu menggemari sebarang program radio yang berunsurkan keagamaan. Biasanya, dia akan cepat-cepat menukar ke siaran kegemaranku sebaik sahaja aku melabuhkan punggungku di kerusi. Padaku, banyak rancangan agama yang disiarkan sudahkan diadunkan dengan pelbagai fitnah palsu terhadapku, yang konon-kononnya aku tidak menjaga hak dan keadilan mereka yang berada di bawah tanggungjawabku.
Sebelum ini berkali-kali aku mengamuk dan menghempap tangan ke meja ketika pertemuan dengan orang-orang kananku, yang juga aku sifatkan sebagai serigala-serigala yang bertopeng sepertiku. Semuanya tunduk dan patuh padaku demi mengharapkan ‘syafaat’ demi memenuhi uncang masing-masing. Aku tahu semua itu, bagaimana nilai kontrak yang aku luluskan begitu besar, tetapi nilainya menjadi begitu kecil di penghujungnya, kerana di sepanjang perjalanan sudah dikaut oleh banyak serigala bertopeng yang lain. Tapi apakan daya, aku terpaksa membutakan mata, memekakkan telinga untuk semua itu. Jika tidak, aku tidak akan berada pada kedudukan ini. Mereka akan pasti bersengkongkol dengan serigala-serigala bertopeng yang lain untuk menghancurkanku.
Satu ketika masih aku teringat, dimana pagi itu aku begitu memarahi orang kananku yang aku amanahakan untuk mencatur urusan yang berkaitan keagamaan dalam pentadbiranku. Mana tidaknya, pada awal pagi-pagian aku sudah disindiri dengan begitu pedas dalam satu slot bicara rohani radio rasmi pentadbiranku, apabila berkumandang satu pepatah arab yang berbunyi:
“Si penjaga itulah juga yang menjadi penyamun”
Namun sesudah itu, aku terfikir sendirian...masakan pokok bergoyang jika tidak angin yang meniupnya. Mana mungkin mungkin ratusan ribu, malah jutaan lautan manusia yang berhimpun secara aman melakukan kesilapan yang sama kerana memfitnahku? Mana mungkin sahabat-sahabat lamaku yang satu ketika dulu, ketika aku masih baru setahun jagung mengenal erti kehidupan ini turut bersama dalam fitnah itu? Masakan kaum kerabatku yang gulungan ijazahnya tidak setebalku turut sama dalam fitnah itu? Mana mungkin para cendiakawan dan ulama’ yang begitu dekat dengan agamaku, turut sama dalam fitnah itu? Mana mungkin ibuku yang mengandungkanku sembilan bulan sepuluh hari tanpa mengenal jerih payah, turut mengiakan fitnah terhadap anak yang dikandungnya? Apakah benar semua fitnah itu???
Tetapi pagi Ramadhan kali ini benar-benar merubah caraku melihat ‘tasawwur’ kehidupan ini. Satu pagi yang penuh dengan ketenangan, namun bertemankan keresahan diriku yang sarat dengan ketidakpastian. Satu pagi yang tidak pernah aku rasakan seresah ini, walaupun sebelum ini aku sudah acap kali berdepan dengan pelbagai masalah yang yang besar dan rumit. Satu persatu detik-detik ‘kesilapan sengajaku’ terpapar di skrin benak fikiranku...yang paling meresahkan, tentang jumlah kekayaan yang aku miliki pada hari ini...secara angkanya memang tidak masuk akal. Tidak akan bisa dengan gaji tahunan aku sebanyak itu mampu mengumpul kekayaan yang sebegitu banyak, hanya dalam tempoh 15 tahun 10 hari aku menduduki jawatan tertinggi di wataniku. Dengan, kekayaan yang  kumiliki pada hari ini, aku mampu untuk mengakhiri kehidupan beberapa generasi selepasku. Mereka tidak perlu lagi bersusah payah sepertimana aku hari ini, sehingga terpaksa menjadi serigala bertopeng.
Aku sememangnya sedar, tidak sepatutnya menjadi sekaya itu ketika mendokong amanah yang telah dipertanggungjawabkan, apatah lagi menjadi serigala bertopeng yang mengambil hak orang lain tanpa kredhaan mereka. Benarlah kata-kata penyair Arab yang aku temui dalam satu buku yang pernah dibaca satu ketika dulu, namun sedikitpun tidak pernah terdetik untuk mengambil iktibar daripadanya:
“Tugas penggembala kambing adalah untuk mencegah serigala dari menyusup, namun bagaimana ini boleh berlaku jika yang menjaga kambinh itu adalah serigala sendiri?
Ya ALLAH! Begitu banyak kesilapanku terhadap-Mu dan mereka di bawah tanggungjawabku. Aku sepatutnya meneladani bagainda Rasulullullah SAW sebagai ‘qudwah hasanah’ (teladan terbaik) dengan menjadikan dua warisan tinggalannya, iaitu al-Quran dan as-sunnah sebagai pedoman, yang selagimana kita berpegang kepada keduanya, selagi itulah manusia akan tetap berada pada jalan yang lurus. Aku juga, sepatutnya meneladani para khulafa’ ar-rasyidin dan khalifah Umar Abdul Aziz sebagai mentor kempimpinan wataniku. Bukannya berkiblatkan fahaman dan metodologi tokoh-tokoh agung barat serta Yahudi yang kebanyakkannya sesat dan menyesatkan.
Ya ALLAH! Selama ini aku begitu menyanjungi musuh yang menentang agama-Mu. Aku juga seringkali memusuhi mereka yang mendokong ketinggian agama-Mu. Aku juga seringkali menidakkan hikmah dan kedudukan syariat-Mu, yang sepatutnya menjadi tunjang kepada setiap perkara yang kuputuskan dalam wataniku.
Ya ALLAH! Selama ini aku telah mengabaikan tanggungjawabku sebagai hamba-Mu yang selayaknya. Aku begitu jarang melaksanakan suruhan-Mu. Begitu juga, acap kali kumelanggari tegahan-Mu dengan sewenang-wenangnya, demi memenuhi tuntutan nafsu serakahku terhadap tiga ‘ta’ yang disebut oleh Pak Hamka sebagai takhta, harta dan wanita. Yang paling merugikanku, aku telah mengabaikan tiang agama-Mu, dengan seringkali melupakan tika dan waktu untuk bersama-Mu setidak-tidaknya lima waktu sehari semalam. Apatah lagi, untuk menegakkan tiang-tiang yang lain. Segala-galanya dek kesibukanku memusnahkan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepadaku oleh rakyat di wataniku.
Ya ALLAH! Selama ini aku tidak menjaga kesucian agama-Mu, sehingga membuka ruang ‘riddah’ (murtad) kepada mereka yang berada di bawahku. Yang paling merugikanku adalah di Akhirat kelak, kerana aku telah melindungi mereka yang menggerakkan usaha untuk menyesatkan umat agar berpaling sedikit demi sedikit daripada agama-Mu, demi menjaga kemandiranku di kedudukan ini.
Ya ALLAH! Selama ini aku telah memalingkan suruhan-Mu yang sebagaimana yang terkandung dalam Surah al-Maidah, ayat ke-2. Aku tidak bertolong-tolongan kerana kebaikan dan ketakwaan, bahkan aku telah bertolongan kerana kejahatan dan permusuhan. Akibatnya, sudah berapa ramai yang telah kuzalimi mereka yang tidak bersalah tanpa memberikan ruang pembelaan yang seadilnya, demi menjaga keperkasaan di kedudukanku ini.
Ya ALLAH! Selama ini akulah menjadi peruntuh kepada benteng umat yang sepatutnya kupertahankan sehingga ketitisan darah ‘syahid’. Aku telah tidak melaksanakan amanahku, kerana telah melanggari peringatan Rasulullah SAW yang ditinggalkan melalui hadisnya yang bermaksud:
“Orang mukmin dengan mukmin yang lain, ibarat binaan yang memperkuat antara satu sama lain”
Ya ALLAH! Apakah masih ada ruang untukku berpatah kembali untuk memperbaiki segala kesilapanku? Aku berjanji dengan setulusnya, dengan bersaksi kesesaan-Mu dan kerasulan Muhammad SAW pada pagi pertengahan Ramadhan ini , bahawa aku tidak akan sesekali mengulangi kembali segala sejarah hitam sebagai serigala bertopeng yang telah menzalimi hamba-hamba-Mu.
Ya ALLAH! Ampunilah dosa-dosaku, dosa-dosa isteriku, dosa-dosa anak-anakku serta kaum kerabatku, dosa-dosa mereka yang pernah bersengkongkol denganku selama ini dan rahmatilah mereka yang pernah aku zalimi. Moga-moga inilah detik permulaan yang akan diredhai dan dirahmati oleh-Mu untukku menanggalkan topeng serigala ini buat selama-lamanya...bersambung.

Yang Daif Pada-Mu,
Abdul Hadi Jusoh

No comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Host