Pages

Sunday, May 1, 2011

Margin Keuntungan Dalam Islam

Keuntungan adalah antara tujuan utama berlakunya transaksi perniagaan di kalangan manusia. Islam memberikan kebebasa kepada 'ahlinya' yakni mereka yang terlibat secara langsung dalam bidang perniagaan untuk menentukan margin keuntungan masing-masing. Para fuqaha' secara sepakat menyatakan bahawa, tidak ada penetapan khusus dalam Syarak secara kuantitatifnya tahap minimum atau maksimum margin keuntungan yang perlu dipatuhi oleh seorang peniaga.

Islam hanya memberikan panduan secara kualitatif kepada setiap peniaga dalam menentukan kadar keuntungan sesuatu barang atau perkhidmatan yang dijual dalam pasaran. 

Yang pertama, margin keuntungan yang ditetapkan berdasarkan kepada kebenaran, yakni selepas mengambil kira kos-kos yang terlibat serta mencerminkan kualiti yang sebenar. Banyak berlaku pada hari ini, dimana peniaga berdalih dengan pembeli (ketika dalam proses tawar menawar) mengatakan bahawa kosnya terlalu tinggi untuk dijual pada harga yang lebih murah. Sedangkan kos sebenar jauh lebih murah daripada apa yang didakwa. Tetapi, atas dasar ingin mengekalkan margin keuntungan yang tinggi, peniaga sanggup menyembunyikan kebenaran. 

Begitu juga berkenaan dengan kualiti barang yang dijual. Banyak peniaga menyakini pelanggan mereka dengan mengatakan sesuatu produk begitu tinggi kualitinya untuk dijual pada harga yang lebih murah. Padahal, hakikat sebenar kualitinya jauh lebih rendah daripada apa yang dimaklumkan. Tapi, atas dasar untuk mengekalkan margin keuntungan yang tinggi, mereka sanggup menyembunyikan kebenaran yang sebenar.

Ini jelas bertentangan dengan hakikat kehidupan manusia di atas muka bumi ini. Sedangkan juga antara misi besar para nabi dan rasul adalah membawa mesej kebenaran kepada umat manusia. Firman ALLAH SWT dalam al-Hijr, ayat 64 yang bermaksud:

"Kami datang kepadamu membawa kebenaran dan sesunggunya kami adalah orang yang benar"

Keduanya, biarlah margin keuntungan yang ditetapkan mengandungi unsur amanah,iaitu amanah daripada ALLAH SWT. Sebagaimana yang kita maklum, kita semua dengan kepelbagaian peranan masing-masing adalah khalifah-Nya, yang diamanahkan untuk mentadbirurus dunia ini dan seisinya dengan sebaik mungkin. Biarapapun peranan kita, amanah kekhalifahan ini adalah satu kewajipan untuk dilaksanakan samada diperingkat mikro, dan juga makro. 

Sebagai peniaga, angka margin keuntungan yang ditetapkan ke atas barang dan perkhidmatan yang dijual perlulah menyumbang ke arah melancarkan perlaksanaan amanah kekhalifahan oleh semua pihak. Penetapan margin keuntungan yang terlalu tinggi, akan memberikan tekanan dari segi kewangan kepada masyarakat dan umat. Tekanan kewangan sebagaimana yang berlaku dikebanyakan temapat pada hari ini, telah menyebabkan banyak orang terpaksa bertungkus-lumus bekerja siang dan malam untuk mencari tambahan rezeki demi menampung peningkatan harga barang di pasaran, akibat daripada kurangnya ihsan dalam diri peniaga untuk tidak terlalu mementingkan margin keuntungan mereka. Keadaan yang terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing menyebabkan ada yang teralpa dengan amanah kekhalifahan yang tergalas pada bahu mereka.

Ingatlah, sebagai peniaga sebenarnya mereka menggalas amanah yang cukup besar kepada masyarakat dan umat. Apabila membicar soal amanah, ia mesti dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Ini kerana, ia akan dipersoal di Akhirat kelak. Firman ALLAH SWT dalam Surah an-Nisa', ayat 58 yang bermaksud:

"Sesungguhnya ALLAH menyuruh kamu melaksanakan amanah kepada mereka yang berhak, dan apabila kamu menghukum dikalangan, maka hukumlah dengan adil"

Ketiganya, bairlah margin keuntungan yang ditetapkan, juga mengandungi keikhlasan diri terhadap ALLAH SWT bukannya perkara-perkara lain. Wujudnya keikhlasan dalam diri amat penting untuk menghilangkan rasa sombong dan tamak dalam diri, yang akhirnya akan membawa kebaikan kepada semua. 

Dengan adanya keikhlasan dalam diri, peniaga tidak akan keterlaluan dalam menetapkan margin keuntangan mereka, kerana dengan harga barang yang terlalu tinggi akan menyebabkan banyak pihak tertekan dan merasa diri mereka dizalimi. Orang yang menyebabkan kesusahan dan kezaliman kepada orang lain, akan jauh daripada pandangan ALLAH SWT. Apabila manusia jauh daripada pandangan ALLAH SWT pasti hidupnya menjadi tidak tenteram, walaupun secara zahirnya mereka dilihat begitu hebat dengan kekayaan yang melimpah ruah. Ingatlah, bahawa tempat jatuhnya pandangan ALLAH SWT adalah pada hati yang bersih dan ikhlas terhadap-Nya. Dalam Surah al-Maun, ayat 4 hingga 7, ALLAH SWT berfirman yang bermaksud:

"Maka celakalah orang yang solat, yakni yang lalai dalam solat mereka, (dan) yang riya'."

Rasulullah SAW juga turut memberi penekanan tentang niat dalam kehidupan. Dalam satu Hadith disebut:

"Sesungguhnya amalan bergantung pada niat. Dan, sesungguhnya setiap orang akan memiliki sesuatu yang bersesuian dengan niatnya. Maka, sesiapa yang berhijran kerana ALLAH dan rasul, dan sesiapa yang berhijrah kerana dunia, dan sesiapa yang berhijrah kerana wanita untuk dinikahi. Maka, hijrah mereka apa yang mereka niatkan"

Seterusnya, margin keuntungan yang ditetapkan perlulah menjadi penyebab kepada peningkatan tautan ukhuwah terutamanya sesama Islam, bukannya pemisah. Usah jadikan margin keuntungan yang tinggi sebagai benteng yang memisahkan kelompok peniaga dengan masyarakat. Sehingga kedua-duanya saling membenci serta berdendam antara satu sama lain.

Sifat dendam dan benci yang terluat dalam diri akan mendorong kepada tindakan yang di luar tabi' seperti mencuri, merompak dan membunuh saudara seagama. Sehinggakan, masing-masing merasa diri terancam dan tidak selamat. 

Tanpa ukhuwah, masyarakat akan leka dengan keseronokan dan keakuan diri. Nasib dan kesusahan orang lain tidak akan lagi dipedulikan, walaupun jiran bersebelahan rumah. Sedangkan ukhuwah antara tindakan paling awal selepas penghijrahan Rasullah dan para sahabat ke Madinah, apabila mengambil langkah mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar. Ikatan persaudaraan tersebut telah meningkatkan semangat perngorban dan bertolongan sesama mereka, yang akhirnya melahirkan sebuah masyarakat madani Madinah yang aman damai.

Ukhuwah adalah antara asas kepada matlamat kejadian manusia yang diwarnai dengan kepelbagaian bangsa dan jantina sebagaimana firman ALLAH SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat ke-13 yang bermaksud:

"Wahai manusia, Kami jadikan kamu lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenali antara satu sama lain"

Yang paling jelas disebut dalam ayat ke-10 dalam surah yang sama, yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, maka damailah antara kedua saudaramu"

Diterangkan dengan panjang lebar dalam satu hadith baginda Rasulullah SAW berkenaan dengan ukhuwah dan hak-hak yang perlu dilaksanakan:

"Jangan dengki pada orang lain, jangan merosak (harga) orang lain untuk menaikkan harga, jangan merosak hubungan kekeluargaan, jangan bertransaksi ketika orang bertransaksi dan jadilah bagi yang lain. Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain, dia tidak menekan, tidak mengaibkan dan tidak pula menghinakannya. Di sinilah kesolehan, sambil Rasulullah menunjuk-nunjuk tiga kali ke dada. Bantulah baik dia menganiyai mahupun teraniya. Seorang sahabat bertanya, "Ya Rasulullah! Aku tahu bahawa aku akan membantunya ketika dia dianiyai, tetapi bagaimana aku membantunya jika dia menganiyai? Jawab Rasulullah, "Hendaklah kamu melindunginya daripada melakukan perkara tersebut, itulah cara membantunya"

Kualitatif yang kelima adalah, margin keuntungan yang ditetapkan perlulah berasaskan kepada ilmu dan kajian yang mendalam tentang barang itu sendiri, pasaran dan keperluan semasa. Bukannya berdasarkan spekulasi dan sifat tamak yang terluat dalam diri.

Ilmu dan kajian yang dilaksanakan mestilah dihubungan dengan ketakwaan terhadap ALLAH SWT. Barulah hasil ilmuan dan kajian itu adalah sesuatu yang hebat, dan apa yang lebih penting dapat memberikan kebaikan dan manafaat kepada manusia.

Ilmu dan kajian perlu dihubungkan dengan ketakwaan, kekuatan akal sendirian tidak akan mampu menelaah sesuatu yang bukan bersifat zahiri. Hanya hidayat ALLAH SWT yang mencetuskan ilham dan petunjuk kepada manusia tentang perkara-perkara yang tidak bersifat zahiri ini. Dan, hidayat hanya akan dapat diperolehi dengan jalan ketakwaan terhadap-Nya. Ini kerana, ianya tidal boleh diwarisi dan dibayar dengan wang ringgit.

Martabat orang yang mencari ilmu cukup tinggi di sisi ALLAH SWT, sebagaimana disebut dalam satu Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Darda yang bermaksud:

"Sesiapa yang melangkah di jalan ilmu, maka ALLAH SWT melapangkan jalannya ke Syurga"

Kualitatif yang terakhir sekali ialah keadilan. Dalam Islam, keadilan bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya dan memberikan kepada yang berhak menerimanya.

Justeru, margin keuntungan yang ditetapkan terutama barang yang bersifat 'dhururiyyat' dan 'hajiyyat', perlulah memberikan keadilan kepada semua pihak tanpa mengira status dan kedudukan. Harga barang yang terlalu mahal akan menyebabkan golongan yang tidak berkemampuan hidup dalam keadaan serba kekurangan, sehingga ada yang tidak mampu memenuhi kebutuhan hidup yang paling asas iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Jika dilihat di bandar-bandar besar, mereka yang hidup merempat tanpa makan-minum dan pakaian yang sempurna agak begitu jelas. Sebahagiannya terpaksa bergantung harap kepada ihsan orang ramai. Sehingga ada yang sanggup berhujan panas bersama anak-anak kecil meraih simpati di kaki-kaki lima dan rumah-rumah ALLAH.

Kesimpulannya, setiap peniaga bebas menetapkan kadar margin keuntungan mereka asalkan dalam kerangaka kebenaran, amanah, keikhlasan, ukhuwah, ilmu dan keadilan. Semoga apa jua peranan yang kita laksanakan menjurus ke arah keredhaan-Nya di dunia dan di Akhirat.

No comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Host