Pages

Sunday, April 17, 2011

Kadar Keuntungan Murabahah Bersandarkan Kadar Faedah Semasa

Dalam transaksi Murabahah, wujud beberapa isu daripada perspektif Shariah, antaranya apabila  terdapat institusi yang menjadikan kadar faedah semasa sebagai kayu pengukur dalam menentukan kadar keuntungan  Murabahah. Dengan alasan, untuk memastikan produk-produk berasaskan prinsip tersebut lebih berdaya saing atau kompetitif berbanding dengan produk yang seumpama dalam perbankan konvesional.

Amalan yang biasanya dilakukan adalah dengan menjadikan LIBOR (London Inter-Bank Offered Rate) sebagai rujukan dalam menentukan kadar keuntungan transaksi Murabahah. Sebagai contoh, jika kadar  semasa LIBOR  adalah 6%, maka kadar keuntungan transaksi Murabahah ditetapkan pada 6% atau lebih tinggi.

Tidak dinafikan, amalan seperti ini telah menerima pelbagai kritikan dengan rumusan ianya mesti turut diharamkan sebagaimana kadar faedah. Seafdhalnya, amalan ini perlu dijauhi untuk mengelak daripada sebarang fitnah dan manipulasi pihak-pihak yang berkepentingan.

Namun, jika diteliti ada asasnya juga kepada amalan ini. Sebagaimana yang kita maklum, perkara paling utama yang menentukan samada sah atau tidak sesuatu transaksi Murabahah adalah keaslian transaksi jual beli itu sendiri yang bersandarkan kepada syarat-syarat tertentu yang telah ditetapkan. Justeru, jika transaksi  tersebut berlaku tanpa melanggari mana-mana syarat-syarat yang telah ditetapkan, adalah tidak wajar mengahukumnya  sebagai 'haram' atau tidak sah, semata-mata kerana kadar keuntungannya bersandarkan kepada kadar faedah semasa. Ini kerana secara teknikalnya, ia tidak mengandungi sebarang  elemen faedah (riba) yang diharamkan.

Argumentasinya adalah seperti berikut:

Katakan Ramusamy dan Ramli yang telah membuat keputusan untuk menceburi perniagaan minuman. Ramusamy bertindak sebagai penjual minuman yang berasaskan arak dimana dia mengambil keputusan untuk menetapkan 6% sebagai kadar keuntungannya pada setiap tin arak yang dijual. Jika setin arak kosnya adalah RM 5.00, maka harga jualannya adalah RM 5.50. Manakala Ramli bertindak sebagai penjual minuman berkarbonat di mana lokasi perniagaan mereka adalah berdekatan antara satu sama lain. Melihat  kepada permintaan dan keuntungan perniagaan Ramusamy yang agak menggalakkan, Ramli mengambil keputusan untuk mengikut jejak langkah sahabat baiknya itu  untuk menentukan kadar keuntungan jualan minuman berkarbonatnya. Dengan harapan, permintaan dan keuntungan perniagaannya juga turut meningkat.

Jika diamati contoh yang dikemukakan di atas, keuntungan yang diraih oleh Ramli adalah halal,walaupun secara zahirnya dilihat kadar keuntungan yang digunakan adalah bersandarkan kepada aktiviti perniagaan yang jelas haram. 

Perkara yang sama dapat dikaitkan dalam amalan menyandarkan kadar keuntungan Murabahah kepada kadar faedah semasa. 

Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Host